Apabila berlakunya bencana akibat daripada hujan, kita mungkin terlupa seketika akan rahmat sebenar daripada hujan yang diturunkan oleh Allah SWT . Sedangkan kita sering diingatkan oleh Allah SWT bahawa alam ini wujud sebagai satu sistem yang lengkap yang terdiri daripada bahagian-bahagian tertentu yang saling berhubung dan berkait rapat antara satu sama lain. Misalnya, dalam al-Quran ada disebutkan bahawa Allah SWT menurunkan air dari langit dan membantu menyuburkan muka bumi untuk tujuan bercucuk tanam. Seterusnya hasil pertanian akan memberi manfaat kepada manusia dan juga haiwan. Selain itu, hujan yang diturunkan dari langit juga menyerap jauh ke dalam tanah (ditapis dan dibersihkan oleh struktur tanah) lalu keluar sebagai mata air dan mengalir ke sungai-sungai untuk kegunaan seharian manusia.
Hal ini telah dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah SWT (Surah an-Nahl, ayat 10-11) yang bermaksud: “Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak; makan padanya. Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanam-tanaman dan pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga daripada segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
Daripada penjelasan ayat di atas, ia memberi gambaran yang jelas kepada kita apakah yang dikatakan hujan itu sebagai rahmat. Memang tidak dinafikan bahawa hujan juga turut mengundang bencana, bukan sahaja berlakunya banjir kilat tetapi juga banjir besar seperti yang berlaku di Thailand dan Myanmar baru-baru ini. Namun demikian, jika dilihat dari sudut positif ia sebenarnya membawa mesej seribu makna kepada kita semua. Malah, lebih tepat lagi sebagai peringatan kepada kita agar berfikir mengapakah ia berlaku dan mencari penyelesaian kepada permasalahan berkenaan.
Dengan kejadian bencana yang berlaku, kita seharusnya membuka mata dan membaca apakah mesej sebenar disebalik semua kejadian itu. Jika berlakunya banjir kilat di sesuatu kawasan, pasti ianya menujukkan bahawa terdapatnya masalah di kawasan berkenaan. Justeru, sewajarnyalah apabila hujan yang pada asalnya merupakan satu rahmat kepada kita tidak semena-mena bertukar menjadi bencana lantaran kepincangan yang dilakukan oleh kita sendiri.
Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat. Antaranya, ia berkait rapat dengan aktiviti penebus gunaan kawasan tanah hutan (kawasan telap air) secara berleluasa kepada permukaan tidak telap air seperti konkrit, simen dan sebagainya untuk keperluan pembangunan. Jika diimbas kembali, negara kita telah mengalami proses pembangunan yang pesat bermula sejak awal tahun 1960-an lagi dan berterusan sehingga ke hari ini. Dalam tempoh tersebut telah banyak kawasan hutan ditebang untuk tujuan perindustrian, pertanian dan juga pembandaran.
Situasi berkenaan secara tidak langsung telah menyebabkan peningkatan jumlah aliran air permukaan sewaktu hujan. Ketiadaan kawasan hutan tadahan menyebabkan proses penyerapan air secara semulajadi oleh akar-akar pokok tidak lagi berlaku bagi melambatkan proses aliran air. Apabila proses ini hilang, maka air akan mengalir dengan banyak ke dalam sungai sehinggakan ia tidak mampu lagi ditampung oleh sungai sekali gus mengakibatkan berlakunya fenomena banjir kilat yang lebih ketara.
Bagi menampung aliran air permukaan, banyak saluran dan longkang konkrit telah dibina. Walau bagaimanapun ia tidak banyak membantu, sebaliknya ia menimbulkan lebih banyak masalah. Lebih-lebih lagi apabila sungai dan sistem saliran yang ada dijadikan tong sampah oleh segelintir daripada kita yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini akan menyebabkan sungai dan sistem saliran menjadi cetek yang seterusnya menyebabkan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek tidak dapat menampung atau mengalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan banjir kilat akan menjadi perkara lazim.
Selain itu, proses pembandaran yang tidak terancang dan mengikut garis panduan yang sewajarnya juga menjadi punca kepada berlakunya banjir kilat. Misalnya, melalui proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang telah dipermodenkan. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebusguna dengan mengambil tanah daripada kawasan bukit. Pembukaan tanah bukit untuk tujuan pembangunan akan menyebabkan berlakunya hakisan tanah secara berleluasa dan mempercepatkan lagi kadar aliran air permukaan apabila berlakunya hujan lebat.
Ini akan menyumbang kepada berlakunya kejadian tanah runtuh yang seterusnya akan mencetekkan dasar sungai akibat daripada pemendapan kelodak. Malah, lebih memburukkan keadaan apabila ada juga di antara anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak pembangunan. Aktiviti-aktiviti seumpama ini akan menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat secara berleluasa dek kerana telah berkurangnya sistem saliran yang boleh menampung kuantiti air yang banyak.
Sampai bilakah kita hanya ingin menjadi penonton kepada bencana alam yang berlaku tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk menanganinya daripada terus berlanjutan. Sedangkan apa yang berlaku adalah rentetan daripada sikap rakus kita sendiri yang memandang enteng kepada peringatan-peringatan Allah SWT yang telah banyak dinukilkan di dalam al-Quran. Antaranya sebagaimana yang telah difirmankan dalam surah al-Ruum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Sama-samalah kita renungkan ayat ini dan mengambil iktibar serta pengajaran daripadanya agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.