Perpaduan merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat. Umat Islam khususnya harus melihat isu perpaduan ini sebagai satu perkara yang perlu diutamakan kerana Islam itu sendiri merupakan agama yang menekankan kepada aspek keamanan, persefahaman serta rasa cinta dalam kalangan umatnya dan manusia sejagat amnya. Namun begitu, mutakhir ini terdapat isu tertentu yang menggugat perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Isu-isu ini menjadi perkara yang membimbangkan apabila wujud perbalahan dan persengketaan yang mampu merugikan umat Islam itu sendiri. Seharusnya perpaduan ummah tidak berdepan dengan halangan kerana umat Islam mempunyai asas yang paling kuat dalam mengekalkan kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan umatnya. Akidah tauhid merupakan asas dan ikatan paling kuat kepada penyatuan dan kebersamaan ini. Dr. Abdullah Nashih Ulwan menjelaskan bahawa umat Islam adalah bersaudara atas dasar tautan ruh yang seharusnya mampu memperkukuh rasa kecintaan dan kasih sayang, saling hormat-menghormati serta bersikap lembut terhadap orang lain bersumberkan iman dan takwa. Namun, umat Islam perlu sedar bahawa ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang akhirnya akan membawa kepada perpecahan dan persengketaan yang amat merugikan.
Fitnah dan kebencian merupakan antara ujian kepada ikatan persaudaraan ini. Sekiranya emosi dan sikap yang keji terhasil daripada fitnah dan kebenciaan ini tidak dibendung, maka ia akan membawa kepada perpecahan yang merugikan serta merupakan satu musibah kepada umat Islam secara keseluruhan. Amat penting supaya titik persamaan dalam kalangan umat Islam itu diraikan dan sebarang perkara yang mampu membawa kepada bibit perpecahan dielakkan. Unsur-unsur perbezaan yang boleh membawa kepada persengketaan dan permusuhan perlu diuruskan dengan sebaiknya agar tidak menjadi satu barah yang kemudiannya akan membinasakan ummah dan merosakkan imej Islam. Malangnya, saban hari, kita masih lagi melihat sikap perli-memerli, keji-mengeji dan caci-mencaci antara kelompok berbeza dalam kalangan umat Islam yang memburukkan lagi pertelingkahan dan perbalahan sesama kita. Seharusnya umat Islam perlu sedar bahawa memelihara tali persaudaraan dan memperkukuh ukhuwah serta rasa kebersamaan adalah sangat utama dalam agama. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Ali Imran, 3: 103)
Usaha mengukuhan persaudaraan dan kesatuan antara pihak yang bersengketa dan bertelagah perlu diterajui oleh para pemimpin dalam kalangan umat Islam sendiri kerana mereka harus menjadi teladan yang utama. Pemimpin perlu menyahut agenda perpaduan ini agar prinsip Islam dalam memelihara tali persaudaraan dan menyuburkan rasa kasih sayang dalam kalangan umatnya mampu menjadi satu bentuk mesej dakwah kepada masyarakat pelbagai agama dan bangsa yang ada di negara ini. Islam perlu difahami sebagai agama yang menekankan kepada kesatuan, kebersamaan serta didasari oleh asas akidah tauhid yang kukuh. Asas tauhid ini seharusnya sudah cukup kuat untuk menyatukan umat Islam walaupun terdapat perbezaan dalam beberapa pendirian yang dipilih dalam perkara tertentu. Usaha pelbagai pihak bagi mengelakkan umat Islam dari berpecah belah perlu diberi sokongan padu kerana ia merupakan satu perkara yang dituntut dalam agama. Allah SWT berfirmah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu memperolehi rahmat”
(Al Hujurat, 49: 10)
Sebagai umat Islam, ketakwaan kepada Allah SWT perlu sentiasa menjadi kayu ukur kepada sebarang perkara dan tindakan yang diambil. Kita perlu sedar bahawa apa yang kita zahirkan dalam urusan di dunia ini, hanyalah bertujuan mencari reda Allah SWT di akhirat kelak. Berbeza pandangan itu bukanlah suatu perkara yang dilarang namun, adab dalam mengurus dan menyatakan perbezaan ini harus bersandarkan kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam Islam. Pemimpin umat Islam di Malaysia ketika ini perlu menjadikan agenda perpaduan ummah sebagai teras kepada pengukuhan negara dan cerminan kepada kedudukan Islam di Malaysia. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam kita merencana agenda perpaduan ummah ini. Langkah pertama yang diambil oleh Baginda SAW dalam menjalinkan tali persaudaraan antara kaum muhajirin dengan ansar di Madinah merupakan petunjuk kepada kepentingan persaudaraan dan perpaduan umat Islam dalam usaha membentuk sebuah negara dan masyarakat yang baik.
Justeru, adalah amat penting untuk kita memupuk rasa kasih sayang dan kebersamaan agar keutuhan ikatan persaudaraan ini mampu menjelmakan rasa hormat oleh masyarakat lain terhadap Islam dan kepimpinan yang diterajui oleh umat Islam. Kesannya nanti, Islam akan dilihat sebagai satu agama dan sistem kehidupan yang berupaya menyatukan umatnya atas dasar kekuatan ikatan akidah dan nilai-nilai murni yang ada padanya.