Dunia kini sedang menyaksikan peralihan besar dari era unipolar pasca Perang Dingin ke arah susunan dunia multipolar yang lebih rumit. Tidak lagi dikuasai dua kuasa besar, dunia hari ini ditentukan oleh blok-blok ketamadunan, dan ruang budaya yang saling bersaing dari segi kepimpinan pemikiran dan gagasan baharu untuk masa depan dunia yang lebih cerah.
Di pertengahan realiti baharu ini, ASEAN berdepan satu pilihan penting: adakah ia sekadar menjadi suatu blok yang pasif dalam permainan kuasa besar, atau mampu tampil sebagai watak peradaban—yang menawarkan kepimpinan pemikiran, dan model kehidupan tersendiri?
Selama ini, kekuatan dimedan antarabangsa dibataskan kepada kuasa ketenteraan dan ekonomi. Namun dalam dunia yang mula mengiktiraf kembali hakikat kepelbagaian ketamadunan, kekuatan kini dinilai melalui keupayaan untuk menawarkan suatu wawasan kehidupan dan wawasan masa depan yang lebih cerah.
Kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian warisan hikmahnya: daripada faham adab dan tadbir Islam, faham ketenteraman Buddhisme, faham keteraturan Konfusianisme, hingga kepada kebijaksanaan alam sekitar masyarakat pribumi. Semua ini bukan tinggalan sejarah, tetapi panduan untuk ketahanan masa hadapan.
Dari sudut ini, wawasan geopolitik China yang meraikan kepelbagaian ketamadunan melalui Global Civilizations Initiative, serta wawasan Nilai-Nilai Tradisional yang dianjurkan Rusia lebih akrab dengan cita-rasa dan semangat masyarakat ASEAN.
ASEAN harus memilih halatuju Dunia Multipolar dalam pengertian mengiktirafan kepada kepelbagaian ketamadunan, pandangan hidup, dan nilai, dan bukan sekadar dalam pengertian peralihan kepada dunia yang dipengaruhi oleh blok-blok antarabangsa yang lebih banyak.
Pengertian dunia multipolar sebagai pengiktirafan kepada kepelbagaian ketamadunan dan pandangan hidup ini penting kerana masyarakat kita tidak sepatutnya tunduk kepada pandangan dan kuasa-kuasa Barat khususnya yang cenderung untuk mengimport pandangan hidup dan nilai-nilai mereka terhadap seluruh dunia yang lain kerana mengandaikan pandangan hidup dan nilai-nilai mereka adalah sejagat (universal) dan paling terkehadapan.
Juga, oleh kerana ASEAN masih didiami oleh masyarakat Muslim yang kedua atau ketiga terbesar di dunia, ASEAN juga masih boleh dianggap sebagai sebahagiaan daripada kutub Ketamadunan Islam, yang diwakili khususnya oleh Malaysia, Indonesia, dan Brunei.
Dengan memposisikan ASEAN sebagai watak ketamadunan—bukan sebagai watak sampingan dalam percaturan geopolitik antarabangsa boleh membuahkan masa depan yang lebih cerah bagi semua pihak, tanpa terlalu bergantung kepada kuasa-kuasa besar lain.
Namun, salah satu sumber kekuatan ASEAN yang sering diabaikan dalam konteks masakini ialah peradaban Islam, dan perkara ini mungkin disebabkan oleh salah faham tentang hakikat Islam sebagai sebuah agama dan peradaban.
Pada hakikatnya, Islam di Asia Tenggara bukan kuasa hegemonik yang ingin menafikan kepelbagaian budaya dan agama lain, tetapi sebagai pelengkap dan penyubur kepada kepelbagaian rantau dengan keupayaan untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan setempat sekaligus memperkayakan kehidupan pada peringkat yang lebih luhur.
Faham-faham seperti “keadaan sesuatu pada tempatnya yang betul” (‘adl), “tindakan yang betul dan selaras dengan keadilan” (adab), dan “ilmu tentang kedudukan sesuatu perkara yang sebenar” (hikmah) bukan sekadar konsep agama yang sempit, tetapi panduan ketamadunan untuk pelbagai lapangan seperti tadbir urus, ekonomi, mahupun reka bentuk bandar.
Menghadapi cabaran seperti kezaliman sosio-ekonomi, kerosakan ekologi, dan tekanan hidup yang melampau, ASEAN perlukan lebih daripada dasar teknokratik. Ia memerlukan sumber peradaban yang mendalam.
Dengan memanfaatkan hikmah-hikmah ajaran agama-agama besar di rantau ini, dan atas dasar persamaan pada peringkat adab dan amalan-amalan terpuji (ethics), ASEAN boleh menjadi contoh pada peringkat antarabangsa dari segi model kehidupan yang lebih seimbang, tenteram, indah, dan bijaksana.
Dalam dunia yang sedang mencari arah baharu, ASEAN boleh menjadi suara alternatif: yang melihat agama dan ajaran-ajaran hikmah silam sebagai sumber kekuatan, bukan halangan kepada kemajuan atau masa depan yang lebih cerah, dan bukan berdasarkan ekonomi kapitalis sekular.
Kita mesti menolak model kemajuan yang tiada roh, bersifat eksploitasi, dan meminggirkan ketenteraman manusia. Peradaban sejati, seperti yang diingatkan oleh pemikir agung, Profesor Diraja Terpuji Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, tidak diukur melalui kemajuan material semata-mata, tetapi sebagai “keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat” — dan faham ini turut terpaut dengan dengan pengertian sebenar keadilan dan adab dalam pandangan hidup Islam.
Untuk menjamin terzahirnya ASEAN sebagai watak ketamadunan untuk jangka masa panjang, ASEAN mesti melabur dalam pembangunan kepimpinan pemikiran yang akan mewarisi cara fikir ketamadunan-ketamadunan di Asia Tenggara.
Pada masa ini, pembangunan kepimpinan rantau ini banyak dibentuk melalui program pihak luar seperti YSEALI (inisiatif Jabatan Negara Amerika Syarikat). Walaupun mungkin ada manfaat tertentu, namun ia cenderung untuk mendakyahkan cara fikir Barat sekular yang tidak bertitik-tolak pada akar pandangan hidup dan sejarah serantau.
Sebagai alternatif strategik, dicadangkan penubuhan program ASEAN Southeast Asian Future Leaders Fellowship (ASEAN-YSELF)—sebuah platform kepimpinan generasi baharu yang berpaksikan pandangan alam dan nilai ketamadunan serantau. Untuk ASEAN berdiri sebagai watak ketamadunan dalam dunia Multipolar, ia juga mesti mempunyai pernyataan keyakinan bahawa kita mampu membentuk pemimpin masa depan berdasarkan warisan dan kerangka pemikiran kita sendiri—bukan meniru acuan asing.