Satu cabaran yang perlu disahut oleh para cendekiawan dan ilmuwan Muslim pada tiap kali sambutan tahun baru atau abad baru ialah menawarkan tamadun Islam sebagai alternatif kepada zaman yang serba canggih ini.
Oleh yang demikian, kebangkitan semula Islam yang didokong oleh umat dan cendekiawan Muslim mestilah berupaya mengembalikan kedudukan sebenar umat Islam sebagai khayran ummatan (ummah terbaik) dalam segenap bidang kehidupan baik dari segi pemikiran, nilai akhlak dalam masyarakat, pengangkatan wibawa ummah dan seterusnya membentuk satu pandangan hidup yang berteraskan ajaran Islam sepenuhnya.
Umat Islam kini memerlukan cendekiawan dan ilmuwan yang baik dan berwibawa dalam menangani segala kerenah sosial ini. Untuk memenuhi hasrat dan cita-cita tersebut maka golongan cendekiawan Muslim perlulah memiliki beberapa ciri asas yang penting, antaranya ialah:
1. Cendekiawan yang terbina kualiti asas
Ciri yang dimaksudkan ialah ciri akidah dan keilmuan yang mantap yang perlu dibina sepanjang hayat. Begitu juga ciri kemantapan kerohanian sebagai kekuatan dalaman di samping kekuatan jasmani untuk bertindak. Dalam pandangan mana sekalipun pergerakan pembinaan cendekiawan dan ilmuwan mestilah memastikan ketiga-tiga ciri insan yang penting iaitu, mantiqi, jasmani dan rohani diberikan perhatian yang seimbang.
Sekiranya ciri ini diabaikan, maka tamadun yang bakal dibina nanti akan bersifat rapuh, goyah dan tidak bertahan lama. Sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana tamadun yang tidak berasaskan kepada akidah tauhid kepada Allah akan luntur ditelan zaman. Sebaliknya, tamadun Islam yang dibina melalui bimbingan wahyu dan akidah yang mantap telah membuktikan ia bukan sahaja dapat bertahan lama, malah diterima oleh dunia.
2. Cendekiawan yang berjiwa besar
Golongan yang tidak mudah menyerah kalah dengan suasana yang melingkunginya, serta mempunyai cita-cita yang tinggi. Ia juga bermaksud membina jiwa yang imaginatine dan berani dalam usaha untuk mencapai kemajuan, seperti Ibn Battuta yang sanggup menjelajahi dunia. Sudah pasti golongan yang berjiwa besar ini rasa terpanggil untuk mempertahankan maruahnya apabila agama, negara ataupun bangsanya dihina atau direndah-rendahkan.
3. Cendekiawan yang mempunyai kepakaran
Golongan yang mampu menterjemahkan gagasan kepada pelaksanaan dengan maklumat yang terperinci dan terkini. Malah abad yang ada dan yang akan datang, memerlukan golongan cendekiawan yang benar-benar mempunyai kepakaran dan mampu untuk mengadunkan pencapaian Barat dan Timur atau dari mana sekalipun yang seumpamanya. Ringkasnya, ia merupakan sifat yang memungkinkan golongan cendekiawan Islam yang mampu menawarkan satu pandangan pembangunan yang tersendiri yang sesuai dengan acuan Islam dan nilai masyarakat setempat.
4. Cendekiawan yang celik sejarah
Dalam acuan Malaysia, golongan cendekiawan Muslim perlu memahami sejarah pembinaan negara, terutamanya kedudukan agama Islam, persefahaman antara kaum-kaum seperti Melayu, Cina dan India, serta lain-lain ciri sejarah negara. Hakikat ini sangat penting untuk difahami oleh golongan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan kerana sebahagian besar daripada golongan ini tidak mengalami sendiri peristiwa-peristiwa penting tersebut.
5. Cendekiawan dengan rangka kerja pemikiran kompetitif
Pada penghujung abad yang lalu dan seterusnya telah memperlihatkan betapa rangka kerja minda kompetitif perlu dibina, iaitu daya saing, daya tahan dan berkemampuan dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran.
Di samping itu ia juga bermaksud membina budaya saing yang sihat di antara masyarakat berbilang kaum dan agama yang terdapat di Malaysia.
Sesungguhnya persoalan membina cendekiawan Muslim yang bakal menerajui masa depan merupakan peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak, dan tidak ada pihak yang boleh menyatakan mereka tidak terbabit dalam pembinaan masa depan.
Oleh itu, dengan berbekalkan semangat dan azam baru yang dijana oleh kesedaran Islam, kita sangat mengharapkan penglibatan dan amanah semua pihak dalam proses pembinaan cendekiawan Islam yang beriman, bertakwa dan berwawasan, kerana ia dapat menyumbang kepada menjayakan pembinaan semula kegemilangan tamadun Islam yang besar yang menjadi pegangan setiap Muslim.