“…Kedudukanku sebagai khalifah berkaitan dengan harta Allah (harta awam) adalah umpama pengurus harta anak yatim; jika aku senang, aku tidak akan sekali-kali menggunakannya, tetapi jika aku kesempitan, akan aku ambil secara berpatutan (bil ma’ruf). Walau bagaimanapun, apabila keadaan kewanganku kembali pulih, aku akan membayarnya semula…” Itu antara perkara yang pernah dinyatakan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dalam ucapan beliau sejurus dilantik sebagai khalifah bagi menggantikan Khalifah Sayidina Abu Bakar.
Ini menunjukkan bahawa pengurusan dan pentadbiran harta anak-anak yatim amat perlu diberi perhatian yang serius kerana ia sepenting pentadbiran negara, dan semustahak perbendaharaan negara. Golongan anak yatim merupakan amanah yang amat besar, tetapi bukan sebagai beban berat yang harus disambut dengan rungutan. Sesukar mana pun keadaan itu, ia tanggungjawab dan amanah untuk orang-orang dewasa yang berada di sekeliling mereka, dan juga pihak-pihak berkuasa.
Ada anak-anak yatim yang ditinggalkan ibu bapa yang meninggal dunia tanpa sebarang harta. Sebahagiannya ditinggalkan bersama-sama harta pusaka. Sebahagian keadaan pula menerima bantuan dan pemberian daripada ahli-ahli masyarakat yang bersimpati dengan kemalangan yang menimpa keluarga mereka. Dalam keadaan ini, wang atau harta yang mereka miliki itu juga merupakan amanah yang sangat besar bagi waris yang menjadi pemegang amanah.
Apa pun keadaan mereka, hak-hak mereka untuk membesar seperti kanak-kanak lain tetap tidak berubah, malah mereka layak untuk menerima lebih perhatian atas tragedi kehilangan ibu bapa mereka yang sebelum itu menjadi tempat pergantungan dan sumber kasih sayang.
Apabila berlakunya kematian yang meninggalkan waris-waris yang berada di bawah umur, berlakunya konflik sesama waris mereka, bukanlah perkara di luar kebiasaan. Walaupun ia cerita malang, yang sepatutnya tidak terjadi kerana anak-anak ini akan menjadi mangsa keadaan, tetapi itulah kisah-kisah yang semakin berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Itu belum lagi dengan senario konflik sesama waris jika berlakunya sebarang kematian yang meninggalkan harta pusaka. Kedua-duanya mempunyai faktor-faktor yang lebih kurang sama; jahil berkaitan hukum-hakam, tiada pengetahuan tentang pengurusan harta selepas berlakunya kematian, dan perasaan tamak yang tidak mampu dikawal.
Kisah yang pernah menjadi viral, yang tidak lama berlaku tempohari hanyalah cebisan kisah dan konflik antara waris-waris sehingga ia memerlukan mahkamah bagi mencapai keputusan-keputusan tertentu. Apabila waris-waris yang berkonflik sudah membawa perkara berkaitan di mahkamah untuk dibicarakan, maka pihak berkuasa melalui kementerian berkaitan mempunyai locus standi untuk menjadi pemerhati, atau membuat sebarang tindakan perlu demi kebajikan anak-anak yatim terbabit.
Di sini kita dapat lihat bahawa, walaupun dalam keadaan anak-anak yatim mempunyai waris, atau penjaga yang sah dari sudut hukum atau undang-undang, tetapi pihak kerajaan juga mempunyai autoriti bagi memastikan hak-hak mereka ini ditunaikan dengan sempurna dan berkesan.
Sudah sampai masanya untuk kita mewujudkan satu medium khusus dan mempunyai autoriti bagi menyelia, memantau sekali gus membangunkan harta anak-anak yatim di negara ini.
Berkaitan perkara ini, tinjauan pernah dibuat oleh satu delegasi dari Malaysia terhadap Yayasan Pembangunan Dana Anak-anak Yatim di Jordan pada tahun 2012. Rentetan daripada tinjauan berkenaan, satu laporan telah disediakan dan dimajukan kepada pihak kerajaan. Antara kandungan laporan berkenaan ialah dapatan-dapatan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan untuk mewujud yayasan seumpama itu.
Tujuan penubuhan yayasan yayasan tersebut adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya keraguan, syak, penyelewengan, penipuan serta mempertahankan kesucian harta anak-anak yatim.
Antara misi pembinaannya adalah berusaha untuk menjadi sebuah institusi utama dalam pelaburan dana anak-anak yatim, dan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Objektifnya pula adalah untuk mempertahankan, mengekalkan atau menjaga harta kekayaan anak-anak yatim. Seterusnya, harta-harta anak yatim ini akan diuruskan, dibangunkan, dan dilaburkan bagi membolehkan anak-anak ini (kemudiannya) mendapat pulangan dan faedah. Iaitu, dengan terlibat dalam pelaburan-pelaburan dalam bidang-bidang yang tidak bertentangan dengan Syariah. Melalui kaedah-kaedah seperti murabahah, mudharabah, persyarikatan (musyarakah), pertanian (mazra’ah) dan sebagainya.
Yayasan ini beroperasi dan mempunyai autoriti di bawah undang-undang khusus. Di Jordan, ia disebut sebagai Akta Undang-undang Anak Yatim Yayasan Tabung Pembangunan Tahun 2004.
Ia akan menerima sebarang dana atau aset anak-anak yatim melalui mana-mana perintah mahkamah. Jika ia hendak diterima pakai di Malaysia, tentulah melalui perintah mana-mana Mahkamah Syariah kerana mahkamah inilah yang mempunyai bidang kuasa dalam membicarakan perkara-perkara berkaitan perwarisan, wasiat, faraid dan yang seumpamanya.
Amalan di Jordan, walaupun yayasan ini memberi keutamaan kepada golongan anak yatim tetapi ia juga mengambil peranan sebagai ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak yang terbuang. Malah, turut memberi perhatian kepada ibu-ibu tunggal yang kematian suami, atau bercerai dan hidup miskin, tiada tempat berlindung serta mempunyai anak-anak kecil yang perlu dibesarkan.
Anak-anak yang tinggal di Pusat Jagaan Nur al-Hussain Jordan (nama bagi asrama di bawah yayasan berkenaan), seawal mereka dilahirkan sehinggalah mencapai 10 tahun bagi kanak-kanak perempuan, dan 11 tahun bagi kanak-kanak lelaki. Setelah itu mereka akan dihantar ke mana-mana sekolah berasrama penuh, dan segala perbelanjaan persekolahan dan keperluan mereka ditanggung sepenuhnya oleh pusat jagaan ini, di bawah naungan yayasan.
Institusi sebegini mungkin boleh dipertimbangkan sekali lagi oleh pihak kerajaan bagi kesejahteraan anak-anak yatim, anak-anak terbuang, dan anak-anak yang miskin dan melarat di negara ini.
Walau bagaimanapun, sama ada model ini akan disambut oleh pihak kerajaan ataupun sebaliknya, masyarakat Islam harus mempunyai keinsafan dalam melayan golongan anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Yang paling penting perlu ada rasa takut pada Allah SWT ketika menguruskan mereka.