Masyarakat Malaysia kini menjadi semakin kebendaan/ materialistik. Seseorang itu biasanya akan dinilai melalui kereta apa yang dipakai, rumah bagaimana yang didiami serta di mana, jenama pakaian yang dipakai. Budaya bermewah-mewah amat digemari seperti berbelanja di tempat-tempat eksklusif dengan mempamerkan kad kredit di sana sini.
Apa yang jelas kejayaan seseorang itu banyak diukur dari aspek kebendaan. Dia akan di pandang hebat dan dihormati hanya kerana kemewahannya. Tidak kira bagaimana dan apa cara dia mendapatkan kekayaannya adalah tidak penting. Apa yang penting adalah mempunyai kehidupan yang selesa agar dapat ditunjukkan kepada orang sekeliling.
Akibatnya semua akan berlumba-lumba untuk mencari kesenangan hidup. Hari Raya contohnya ketika baru-baru ini di mana semua sanak saudara berkumpul di kampung merupakan masa yang sangat sesuai untuk mempamerkan kereta yang baru dibeli.
Kayu pengukur kejayaan seseorang itu adalah kebendaan semata-mata; dan bukan lagi ketakwaan dan ketaatan kepada Allah. Ini membuatkan mereka yang daripada golongan kaya menjadi angkuh, takbur dan sombong kerana mereka dipandang tinggi oleh masyarakat.
Sebaliknya mereka yang serba kekurangan dan miskin dipandang hina, dicemuh dan dipinggirkan masyarakat. Sehinggakan jika mengadakan majlis orang-orang yang kurang berada tidak akan dijemput dengan alasan bakal mencacatkan majlis.
Sedangkan dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW baginda adalah dekat dengan golongan miskin termasuk anaknya sendiri. Walaupun Rasulullah SAW adalah seorang pemimpin negara, tetapi Baginda dan anak-anaknya tidak kaya dan tidak berharta. Dan jika Rasulullah SAW masuk ke dalam suatu majlis, Baginda akan duduk bersama-sama dengan orang miskin. Baginda tidak sombong dan bermegah dengan kedudukan dan pangkat.
Masyarakat kini lebih mengharapkan penghargaan daripada manusia, bukan mengharapkan keredhaan Allah. Mereka asyik memikirkan apa yang orang kata, bukan apa yang Allah kata. Tidak kira usia, samada yang tua atau muda, kekayaan dan kebendaan merupakan perkara yang utama dalam kehidupan.
Seperkara yang berkaitan dengan ini adalah kos sara hidup yang tinggi terutama di kawasan Kuala Lumpur. Mengambil contoh keperluan asas manusia yakni sebuah rumah. Harganya di Malaysia begitu melambung tinggi sehingga menjadi tidak terkawal.
Harga rumah meningkat setiap tahun dan kebanyakannya disebabkan oleh pembelian spekulasi. Jelas masalah ini memerlukan campur tangan daripada pihak berkuasa kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang. Semakin ramai mereka yang akan tergolong dalam gelandangan dan duduk di bawah-bawah jambatan.
Langkah rasionalisasi pengurangan subsidi kerajaan meliputi keperluan barangan seperti petrol dan disel, gula serta tarif elektrik tentunya mempunyai impak yang besar kepada pengguna dalam urusan perbelanjaan harian mereka. Itu tidak termasuk harga kereta dan minyak kereta yang mahal. Ini akan turut bertambah kesannya dengan Pelan Pelaksanaan GST menjelang April 2015 kelak.
Kesan negatif akibat kenaikan kos sara hidup ini amat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah. Ini kerana kuasa membeli mereka yang telah meleset dan terjejas kerana terpaksa berjimat cermat untuk keperluan asas yang lebih utama. Kesan kenaikan kos sara hidup menyebabkan golongan miskin bandar semakin meningkat kerana jurang pendapatan begitu ketara berbanding masyarakat di luar bandar.
Antara akibat dari keadaan masyarakat yang materialistik ialah budaya untuk berhutang bagi mendapatkan apa yang dihajati. Hutang yang lama belum habis sudahpun membuat hutang yang baru. Ini belum lagi budaya berhutang dengan Along disebabkan hendak mendapatkan duit dengan cepat. Memang mudah jika berurusan dengan Along tetapi kehidupan akan tertekan bila selalu didesak dan diugut untuk membayar balik hutang dengan kadar faedah yang sangat tinggi.
Bahagiakah kehidupan yang begini, sanggup berhutang semata-mata untuk mendapat penghargaan manusia? Inikah yang dikatakan negara menuju membangun menjelang 2020? Apa yang pasti semakin ramai yang mengalami tekanan mental kerana masalah kewangan. Mereka tertekan kerana memikirkan hutang keliling pinggang yang perlu diselesaikan dan bagaimana menjana pendapatan yang lebih?
Ada pula yang mengambil jalan pintas untuk memperolehi wang melalui jalan yang salah seperti merompak, mencuri, mengambil rasuah, mengambil yang bukan hak dan sebagainya. Ini akan meningkatkan kadar jenayah yang sudahpun semakin parah sekarang ini.
Mereka yang susah juga berkemungkinan akan merasa dengki melihat orang yang hidup senang dan bermewah-mewah. Perasaan dengki yang tidak dapat dibendung mungkin akan menyebabkan seseorang itu bertindak mealakukan sesuatu yang teruk seperti mengamalkan ilmu hitam untuk menjatuhkan seseorang. Budaya orang Melayu memang sentiasa manis di mulut tetapi di belakang sanggup melakukan apa sahaja asalkan hatinya puas.
Pasangan yang bercadang untuk berkahwin juga harus bersedia dengan sejumlah wang yang banyak. Majlis perkahwinan selalunya adalah masa untuk menunjuk-nunjuk dan membandingkan kehebatan majlis masing-masing.
Dengan kos sara hidup yang tinggi serta masyarakat yang terlalu mementingkan kebendaan, kita khuatir masyarakat Malaysia akan terperangkap dalam suatu lingkaran yang tiada kesudahannya. Jalan penyelesaian sudah terbentang di depan mata yakni berbalik kepada nilai-nilai yang diajar oleh agama Islam. Tiada guna bermegah-megah dengan kemewahan jika akhir hayat hidup tidak diredhai Allah.