Dalam sejarah Islam, bai‘ah bukan lafaz kesetiaan membuta tuli. Ia adalah aqad rohani yang mengikat umat dengan pemimpin mereka atas dasar ketaatan kepada Allah, bukan kepada manusia. Namun dalam dunia moden, istilah ini sering dipergunakan dalam konteks yang longgar — kadangkala disamakan dengan sumpah, kadangkala dijadikan alat politik, sehingga menimbulkan ketaksuban ketaatan membuta tuli terhadap pemimpin. Kefahaman yang kabur tentang bai‘ah menyebabkan ramai terjerumus dalam sikap taksub, bahkan menisbahkan unsur keagamaan kepada entiti duniawi yang tidak layak.
Makna Bai‘ah Menurut Bahasa dan Syarak
Dari segi bahasa, bai‘ah berasal daripada perkataan (bāy‘a) yang bermaksud “akad jual beli” — iaitu pertukaran antara dua pihak yang saling menyerahkan komitmen. Dalam konteks Islam, ia merujuk kepada ikrar ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin yang sah dalam perkara yang ma‘rūf, bukan maksiat. Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menyebut, al-bay‘ah ialah “saling mengikat janji dan ketaatan. Perkataan “mereka membai‘ahnya” bermaksud: mereka berjanji setia kepadanya dan bersepakat atas perkara tersebut. Maka setiap orang yang membai‘ahnya seolah-olah telah menyerahkan dirinya, ketaatannya dan urusannya kepada orang tersebut.” Dalam hadis disebutkan: “Tidakkah kamu membai‘ahku atas Islam?” Maknanya ialah perjanjian dan akad. Setiap seorang daripada mereka seolah-olah “menjual” apa yang ada pada dirinya (dari segi ketaatan) kepada sahabatnya (pemimpinnya) dan sahabatnya itu pula bersetuju menguruskan urusannya.” (Lisan al-Arab). Ringkasnya, dari segi bahasa bai’ah itu membawa maksud “perjanjian” (al-Mu’jam al-Wasit).
Para ilmuwan seperti al-Raghib al-Isfahani, Ibn Khaldun, al-Mawardi dan lain-lain seterusnya menjelaskan dari segi syarak pula secara umumnya yang dimaksudkan dengan bai’ah ialah “perjanjian (yang menyerupai aqad) dalam ketaatan” atau “satu kontrak yang menyerahkan urusan rakyat kepada pemimpin; ia adalah pengesahan kepimpinan (imāmah) sebagai kesinambungan tugas kenabian untuk menjaga agama dan mentadbir dunia dengan prinsip agama.
Dalil Pensyariatan Bai‘ah
Al-Qur’an menegaskan bahawa bai‘ah adalah konsep syar‘ie, bukan ciptaan manusia. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang berbai’ah denganmu (wahai Muhammad), mereka sebenarnya berbai’ah dengan Allah.” (Surah al-Fatḥ: 10). Ayat ini merujuk kepada Bai‘ah al-Ridhwan di Hudaibiyyah, di mana para sahabat berjanji setia kepada Rasulullah untuk berjuang mempertahankan Islam walau nyawa menjadi galang ganti. Ini menunjukkan bahawa bai‘ah ialah simbol keabsahan kepimpinan demi kestabilan umat.
Namun, sejak awal Islam lagi bai’ah bukan sekadar dalam lingkungan politik sahaja, iaitu merujuk kepada janji taat setia terhadap kepimpinan Baginda SAW, dan bersedia membantu Baginda berdakwah menyebar agama Islam; dan berjanji untuk berjihad mempertahankan agama Islam, tetapi juga bai’ah dalam konteks syariat, sosial dan pembentukan akhlak. Dalam Surah al-Mumtahanah (60:12), Allah SWT berfirman, mafhumnya:
“Wahai Nabi! Apabila datang kepadamu para wanita yang beriman untuk berbaiah kepadamu bahawa mereka tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak mereka, tidak akan membuat-buat tuduhan palsu yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka, dan tidak akan mendurhakaimu dalam perkara yang ma‘ruf, maka terimalah bai‘ah mereka dan mohonkan ampun kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Ini menunjukkan bahawa bai‘ah berlaku bukan sahaja dalam konteks politik, tetapi juga dalam pembentukan akhlak dan syariat. Para wanita yang beriman itu telah berbai’ah kepada Nabi SAW untuk tidak syirik kepada Allah SWT, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak mereka, tidak membuat tuduhan palsu dan tidak mendurhakai Nabi SAW. Perihal bai’ah muslimat ini diceritakan dengan terperinci oleh Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-Azim dengan turut memetik hadith-hadith daripada pelbagai imam.
Bai‘ah berbeza daripada sumpah (yamin). Bai‘ah ialah ikrar, janji taat setia kepada pemimpin sah. Janji ialah komitmen moral individu, manakala sumpah ialah pengukuhan lafaz dengan nama Allah iaitu “Wallahi, Wabillahi, Watallahi.” Melanggar sumpah menuntut kaffarah, tetapi melanggar bai‘ah dalam perkara ma‘rūf adalah berdosa khianat terhadap amanah dan janji. Dalam konteks politik Islam, bai‘ah mengikat rakyat kepada pemimpin selagi ia tidak bercanggah dengan syariat. Sabda Nabi “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada al-Khāliq.”(Riwayat Ahmad). Oleh itu, ketaatan kepada pemimpin bukan bersifat mutlak, tetapi bersyarat iaitu selama mana tidak bermaksiat kepada Allah.
Dalam dunia moden, banyak organisasi, samada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan seni bela diri dan pelbagai pertubuhan Islam, menggunakan pendekatan bai‘ah bagi melahirkan disiplin dan kesetiaan dalam organisasi. Dalam tarekat kesufian juga wujud bai’ah iaitu berjanji untuk beramal dengan ajaran Islam dan mengamalkan wirid-wirid atau hizib tertentu. Bai‘ah sebegini adalah seumpama ikrar, janji taat setia, dan disiplin organisasi. Ia merupakan ‘ahd (perjanjian) termasuklah dalam perihal menjaga rahsia, mematuhi keputusan syura dan bekerja dalam adab jamaah. Hukumnya harus jika tidak disertai dengan ketaatan membuta tuli. Apabila pemimpin atau organisasi menuntut taat mutlak, mengisytiharkan bai‘ahnya seperti bai‘ah kepada Allah dan Rasul, atau menganggap keluar pertubuhan-nya sebagai keluar jamaah Islam dan berdosa bahkan murtad, maka ini adalah penyimpangan. Bai‘ah sebegini batil kerana ia memberi status pemimpin mereka setaraf dengan Rasul dan pertubuhan mereka setaraf agama Islam.
Kesimpulannya, bai‘ah adalah syiar Islam yang luhur. Ia mengikat rakyat dan pemimpin dengan amanah bersama — ḥirāsah al-dīn wa siyāsah al-dunyā (menjaga agama dan mengatur dunia). Namun, apabila ia dijadikan alat kekuasaan atau sumpah mutlak kepada manusia, maka ia telah menyimpang daripada maqasidnya. Bai‘ah dalam Islam bukan perhambaan kepada manusia, tetapi perjanjian untuk mentaati Allah SWT dan menegakkan kebenaran dan keadilan. Masyarakat perlu memahami bahawa bai‘ah bukan sumpah ritual seperti mana yang dilihat dalam filem-filem ganas oleh kumpulan samseng, blood brothers dan seumpamanya; bukan pula alat untuk mengikat kebebasan berfikir. Ia adalah prinsip moral Islam untuk membina kepimpinan yang adil dan rakyat yang beramanah. Dalam suasana negara moden, semangat bai‘ah mesti diterjemah sebagai taat kepada kebenaran, mempertahankan keadilan, dan menolak kezaliman — itulah maksud sebenar kesetiaan dalam Islam. Ketaatan membuta tuli terhadap pemimpin, seperti mana yang berlaku dalam sesetengah kumpulan seni pertahanan diri sehingga sanggup melakukan kezaliman, kekerasan, bahkan pembunuhan apabila diarahkan oleh pemimpin mereka hanya kerana telah memberikan bai’ah dan tidak berani melanggarnya, merupakan penyimpangan daripada konsep bai’ah yang sebenar dalam Islam kerana tiada ketaatan terhadap makhluk dalam perkara yang berdosa kepada khaliq (Allah SWT).

