Banyak sekali cadangan yang dibuat dalam Bajet 2003 yang mendatangkan manfaat kepada keluarga. Yang paling ketara, kakitangan awam lelaki yang isterinya bersalin, akan diberi cuti sehingga tujuh hari bagi membantu meringankan urusan keluarga. Bagi para pengkaji keluarga yang sedang memikirkan cara bagaimana meningkatkan peranan kebapaan dalam rumah tangga, ini adalah satu hadiah yang amat besar nilainya.
Demi keluarga, kerajaan juga memberi cuti untuk waktu-waktu duka. Ini terbukti bila mana anggota perkhidmatan awam akan diberi cuti tanpa rekod selama tiga hari untuk mengendalikan urusan keluarga semasa kematian ahli keluarga terdekat. Bajet ini juga dianggap mesra keluarga bila mana ia memudahkan proses pindah milik hartanah sesama keluarga dengan mengecualikan duti setem sebanyak 50 peratus.
Nampaknya, kerajaan sedar bahawa amalan memindah milik hartanah di kalangan ahli keluarga adalah satu kebiasaan. Itulah sebab kerajaan mahu memudahkan proses ini. Bajet yang dibentangkan mengandungi banyak sekali bantuan untuk keluarga miskin, baik dalam bentuk kewangan, mahupun sebaliknya.
Peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan melalui rancangan satu kampung satu industri sudah pasti dapat menambah pendapatan keluarga yang terlibat. Sehubungan dengan bantuan kewangan yang ingin diberikan, ia bukanlah dalam bentuk memberi `ikan’. Sebaliknya, kerajaan akan memberi `kail’. Ini jelas kerana segala bentuk bantuan kewangan yang diberi adalah bertujuan untuk membolehkan anak-anak daripada keluarga miskin itu melanjutkan pelajaran. Kita tahu bahawa hanya melalui pendidikan sahaja nasib keluarga miskin itu dapat diubah.
Penyediaan peruntukan sebanyak RM120 setahun secara tunai kepada setiap pelajar daripada keluarga miskin untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah sudah tentu merupakan bantuan yang amat berharga bagi ibu bapa miskin. Yang lebih penting, anak-anak golongan miskin itu dapat meneruskan persekolahan tanpa gangguan. Sekali lagi, program ini hendaklah dilaksanakan dengan baik agar semua yang layak menerima bantuan ini.
Satu lagi bantuan kewangan yang banyak manfaatnya ialah baucer tuisyen kepada anak-anak keluarga miskin. Ternyata, tuisyen banyak membantu para pelajar untuk cemerlang. Kerajaan sedar dengan hakikat ini lantas bercadang untuk memberi peluang yang sama kepada pelajar miskin. Semoga dengan cara ini, anak orang miskin juga boleh cemerlang.
Bagi anak-anak daripada keluarga miskin yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi pula, Tabung Simpanan Pendidikan diwujudkan. Berbeza daripada pemberian pinjaman atau biasiswa, kerajaan akan memberi matching grant bagi setiap ringgit yang disimpan oleh anak-anak itu bagi tujuan melanjutkan pelajaran. Program ini juga sebenarnya dapat menerapkan budaya menabung di kalangan mereka – satu budaya yang amat bermanfaat untuk dimiliki.
Bajet kali ini menunjukkan bahawa kerajaan mahu menggalakkan organisasi tempat kerja juga menjadi mesra keluarga. Adalah diharapkan potongan cukai terhadap perbelanjaan syarikat untuk mengadakan Hari Keluarga akan menarik lebih banyak majikan bagi meraikan keluarga pekerja mereka. Selain itu, Bajet 2003 juga memperuntukkan banyak kemudahan lain yang secara tidak langsung diterima oleh keluarga.