Hujan lebat berserta angin kencang yang bermula jam 12 tengah hari 4 November 2017, telah melumpuhkan sebahagian besar kawasan di Georgetown dan Seberang Perai, serta mengakibatkan hakisan tanah, pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas. Antara kawasan terjejas di Georgetown termasuk lah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama, Lebuh Carnovan, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir serta kejadian tanah runtuh di Baverly Hills, Tanjung Bungah.
Banjir besar yang berlaku di Pulau Pinang ini dapat dikategorikan sebagai bencana alam. Jika kita lihat di media-media baru berbagai-bagai teori dan pandangan berkaitan dengan banjir yang berlaku ini. Namun secara amnya banjir yang berlaku ini dapat kita kategorikan kepada dua isu utama iaitu isu yang dapat dikaitkan dengan fenomena alam dan isu-isu yang berkait dengan kegiatan manusia.
Kerajaan Pulau Pinang lebih cenderung mengatakan bahawa punca sebenar kejadian banjir kilat di kawasan pulau itu adalah disebabkan jumlah taburan hujan yang tinggi dalam tempoh sehari (menyamai sebulan) dan air pasang tinggi serta ribut taufan. Oleh kerana faktor-faktor tersebut, maka sungai dan sistem saliran di taman dan kampung yang sedia ada tidak dapat menampung isipadu air hujan yang banyak ini. Selain daripada itu, sistem perparitan yang sedia ada juga tidak dapat berfungsi dengan baik dan sempurna kerana terdapat sampah sarap termasuk plastik-plastik yang menghalang aliran air ini.
Selain daripada isu perparitan ini, isu yang lebih dipandang serius ialah kegiatan pemaju perumahan yang membangunkan rumah-rumah atau banglo-banglo di lereng-lereng bukit yang akan melibatkan pembersihan, penarahan dan penggodolan di puncak bukit. Menurut Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazale, kejadian tanah runtuh akibat banjir di Pulau Pinang antara risiko yang dihadapi kerana pembangunan di lereng bukit. Pembangunan kawasan lereng bukit, memerlukan tindakan kejuruteraan yang sangat tinggi. Menurut beliau lagi, “kita perlu sangat berhati-hati membabitkan projek di lereng bukit kerana satu perkara yang tidak dapat dielakkan apabila membangunkan bukit, kita akan mengganggu laluan air semula jadi. Selain itu, akan berlaku juga penebangan pokok yang sebenarnya mempunyai fungsi menyerap air”.(Berita Harian, 9 Nov 2017)
Oleh sebab itu pembangunan lestari adalah amat penting bagi sesebuah negeri. Polisi Malaysia mengenai pembangunan lestari ini jelas disebut dalam Rancangangan Malaysia ke-tujuh (1996-2000). Pembangunan lestari ini adalah bertujuan memastikan penggunaan sumber-sumber semulajadi mencukupi pada masa kini dan juga masa hadapan serta dapat memberi manfaat kepada semua jenis kehidupan di muka bumi ini. Pembangunan lestari amat bergantung kepada pemeliharaan kesejahteraan manusia dan ekosistem secara bersama.
Pembangunan yang tidak lestari akhirnya akan mengakibatkan bencana alam seperti mana Firman Allah di dalam surah ar-Rum ayat 41 mafhumnya “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Dalam menghadapi bencana alam ini, persediaan sebelum, semasa dan selepas adalah penting bagi menghadapi setiap bencana alam yang berlaku di Malaysia. Kini, sudah tiba masanya Malaysia membangunkan aplikasi sebagai langkah pertama yang dapat menjadi medium dan menyediakan informasi antara pihak berwajib dan mangsa bencana alam. Selain itu, aplikasi ini juga dapat memberikan maklumat lokasi sebenar mangsa bencana supaya bantuan kecemasan dapat dihantar dengan segera.
Sebagai contoh, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) telah membuat aplikasi bernama Magma Indonesia, aplikasi ini menyediakan informasi tentang bencana alam yang dapat dilihat secara real time oleh masyarakat, yang merangkumi keadaan gunung api, gempa bumi, tsunami, dan gerakan tanah. Devy Kamil Syahbana, selaku individu yang membangunkan aplikasi tersebut mengatakan “aplikasi ini merupakan aplikasi pertama di dunia yang memberikan informasi dan rekomendasi bencana alam di Indonesia” ucapan Devy ketika perasmian aplikasi Magma Indonesia di Bandung, Khamis (14/9/2017). Aplikasi ini juga boleh diakses melalui website magma.vsi.esdm.go.id atau dimuat turun melalui Android melalui Play Store.
Dalam era menuju revolusi industri 4.0, masyarakat kita seharusnya didedahkan bagaimana untuk menyimpan dokumen-dokumen penting sekiranya berlaku sesuatu bencana seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan lain-lain. Dokumen-dokumen penting ini seharusnya dapat didigitalkan dan disimpan di alam maya sama ada disimpan di awan clouds, google drive, email dan sebagainya.
Bantuan-bantuan pada kawasan yang terputus mungkin boleh dihantar dengan mengunakan drone secara kawalan jauh. Menurut Klaus Schwab dalam bukunya The Fourth Industrial Revolution, Revolusi Industri ke-4 dapat dilihat dari segi kemunculan superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, suntingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan kehidupan manusia bergantung kepada robot kawalan jauh. Perkembangan teknologi kini berlaku sangat pantas, apa yang agak mustahil satu ketika dahulu telah menjadi nyata pada masa sekarang. Kemungkinan pada masa akan datang satu sumber tenaga baru dapat disediakan sebagai bahan alternatif kepada sumber bekalan tenaga yang terputus akibat banjir ini.