Kita sering mendengar atau membaca dakwaan bahawa banyak kes perceraian di Mahkamah Syariah tertangguh untuk satu jangka masa yang lama. Dalam kes seperti ini, yang kerap kali menjadi mangsa ialah para wanita. Wanita yang hendak digelar “isteri”, suaminya tidak lagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami. Manakala hendak digelar “janda”, suaminya belum lagi melafazkan talak terhadapnya.
Anak-anak turut menjadi mangsa sampingan bila berlakunya perceraian yang tertangguh ini. Bukan sahaja kasih sayang si bapa tidak diperolehi sepanjang waktu itu, dalam kebanyakan kes, nafkah mereka juga turut terjejas.
Inilah yang sering didengar atau dibaca di akhbar. Namun, pernahkah kita mempersoalkan apakah dakwaan ini benar? Bukankah setiap Muslim itu wajib memastikan kesahihan sesuatu dakwaan sebelum mempercayainya? Begitu juga, bukanlah sesuatu yang bijaksana untuk membuat kesimpulan berdasarkan kepada satu dua kes yang kita tahu.
Dalam Laporan Tahunan 2005 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia disertakan hasil kajian yang bertajuk “Tempoh Penyelesaian Kes-kes Pembubaran Perkahwinan di Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia (1998 – 2002)”.
Kajian yang dijalankan dengan kerjasama sebuah universiti tempatan ini melibatkan 25 peratus dari keseluruhan kes yang berlaku sepanjang tempoh tersebut, yakni, bersamaan dengan 24,753 fail kes. Salah satu penemuan penting yang diperolehi dari kajian itu ialah lebih dari dua per tiga kes perceraian dalam tempoh tersebut (84.8%) telah dapat diselesaikan dalam masa enam bulan. Malah, 71.6% dari keseluruhan kes telah dapat diselesaikan dalam tempoh 3 bulan ke bawah. Manakala jumlah kes yang disifatkan sebagai kes lewat (yang memakan masa lebih dari 365 hari) hanyalah 6.3 peratus sahaja.
Penemuan ini menunjukkan dakwaan bahawa kebanyakan kes perceraian di Mahkamah Syariah memakan masa yang lama untuk diselesaikan adalah tidak benar.
Bagi kes-kes yang tertangguh pula, punca utama penangguhan kes adalah berkait dengan pihak pendakwa (pihak yang menuntut) dan tertuduh.
Masalah yang berkait dengan pendakwa merujuk kepada masalah seperti sikap sambil lewa mereka; berbelah bahagi untuk meneruskan tuntutan; berpindah alamat tetapi tidak memaklumkan kepada mahkamah; dan, mengabaikan perintah mahkamah. Manakala, masalah yang berkait dengan tertuduh pula adalah seperti tidak mengambil berat tentang arahan mahkamah dan sengaja ingkar hadir kerana tidak setuju atau berdendam dengan pendakwa.
Ternyata bahawa kes-kes ini tertangguh akibat sikap manusia yang mengambil ringan tentang perceraian. Wajarkah kita mengambil ringan tentang perceraian hanya kerana ia tidak digalakkan oleh agama Islam? Jika ketika pernikahan dahulu, calon suami dan isteri itu bersungguh-sungguh memastikan kelancarannya, kenapa bila mahu bercerai (talak belum dijatuhkan), atau bila perceraian berlaku (lafaz talak dibuat di luar mahkamah), tiada kesungguhan dari kedua belah pihak untuk menguruskan perceraian itu dengan lancar?
Walaupun perceraian tidak digalakkan, namun ajaran agama Islam telah menggariskan beberapa perkara supaya perceraian itu dapat diuruskan dengan baik untuk kesejahteraan semua pihak, baik bekas suami, bekas isteri dan anak-anak mereka.
Selain mewajibkan suami untuk memberi muta’ah, nafkah edah dan nafkah anak, ajaran agama Islam juga menuntut agar perceraian itu dilakukan secara baik. Malah, para suami dilarang dari terus mengikat isterinya dalam sesebuah perkahwinan semata-mata untuk menyusahkannya.
Dalam keadaan ini, pasangan itu perlulah memohon untuk membubarkan perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah dan memberikan sepenuh kerjasama untuk memastikan perceraian itu berjalan dengan baik dan lancar demi kesejahteraan semua yang terlibat.
Seandainya, lafaz talak itu telah dijatuhkan di luar mahkamah, maka menjadi tanggungjawab kedua belah pihak untuk melaporkan perkara tersebut di Mahkamah Syariah bagi mengesahkan perceraian mereka. Sekali lagi, kerjasama penuh dari kedua belah pihak amat perlu bagi melancarkan keputusan mahkamah.
Dalam kes perceraian di luar mahkamah ini, kerjasama suami untuk mengakui bahawa talak itu telah dijatuhkan adalah amat penting. Jawapannya adalah semudah “Ya” atau “Tidak”. Maka, sikap suami yang enggan hadir atau hadir tetapi berdolak-dalik tentang lafaz itu adalah seumpama “membaling batu, sembunyi tangan” yang hanya menyukarkan semua pihak, kecuali dirinya, mungkin.
Oleh itu, adalah diharapkan agar para suami tidak hanya berbangga dengan hak talak yang ada di tangan mereka. Seperti semua hak lain yang datang dengan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan, hak talak datang bersama tanggungjawab setelah talak itu dilafazkan.
Dalam perkara ini, pastinya keluarga asal, sebelah suami dan sebelah isteri perlu berperanan. Jika dahulu mereka bersama-sama menjayakan perkahwinan tersebut, maka di saat getir ini, mereka perlu memastikan perceraian itu diselesaikan dengan segera untuk kebaikan semua. Ini tidak bermaksud mereka menggalakkan perceraian tersebut. Sebaliknya, mereka hanya memastikan anak masing-masing melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dalam urusan perceraian itu agar tiada pihak lain yang menderita kerananya.