Kejadian banjir besar yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur pada penghujung tahun 2014 masih segar dalam ingatan. Namun, malangnya bencana besar yang telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda itu seolah-olah tidak mampu memberi pengajaran dan menyedarkan segelintir daripada kita tentang kepentingan menjaga kelangsungan ekosistem.
Buktinya, saban hari kita masih lagi disajikan dengan berita-berita tentang kerakusan sikap segelintir daripada kita yang masih bermaharajalela menodai khazanah alam sekitar tanpa memikirkan kesan negatif yang bakal dihadapi di kemudian hari.
Antara khazanah alam yang sering menjadi mangsa pencabulan ekoran sikap tamak haloba manusia adalah ekosistem hutan. Ekosistem ini bukan sahaja diteroka secara berterusan untuk mendapatkan sumber bahan mentah bagi memenuhi keperluan industri, bahkan turut digondolkan untuk tujuan pembangunan kawasan perumahan, pertanian dan sebagainya. Ini sekaligus mengakibatkan kawasan hutan sedia ada semakin mengecil dan terhakis dari sehari ke sehari.
Lebih membimbangkan apabila tuntutan pembangunan yang kian pesat pada hari ini telah mengakibatkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tergamak melakukan penerokaan ke atas kawasan hutan simpan. Malah, pencerobohan ke atas kawasan hutan simpan di segenap pelosok negeri dilihat semakin berleluasa dan membarah sejak kebelakangan ini.
Kejadian pencerobohan hutan terbaharu yang dibongkarkan adalah melibatkan kawasan Hutan Simpan Hulu Teranum di Raub, Pahang. Lebih menyedihkan apabila aktiviti penerokaan hutan yang didedahkan ini dikatakan melibatkan agensi kerajaan. Persoalannya, bagaimanakah situasi ini boleh berlaku? Di manakah sikap tanggungjawab yang seharusnya dimainkan oleh pihak yang terlibat? Adakah pihak terbabit hanya mahu menutup mata sahaja tanpa melakukan tindakan yang sewajarnya bagi menghentikan kegiatan berkenaan sehingga masih membiarkannya terus berlanjutan sehingga ke hari ini?
Sedangkan, aktiviti penerokaan hutan di kawasan tanah tinggi melebihi 500 meter dari paras laut di Hutan Simpan Hulu Teranum itu telah dikesan berlaku sejak sepuluh bulan lalu. Perkara ini pastinya begitu mengusarkan peduduk berhampiran kerana lambat atau cepat, aktiviti ini akhirnya pasti akan menjejaskan kualiti alam sekitar di kawasan berkenaan.
Malah, lebih membimbangkan apabila penerokaan yang membabitkan 146 hektar tanah berkenaan difahamkan tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya. Keadaan ini pastinya akan menjejaskan Sungai Delam yang dikategorikan sebagai sungai kelas pertama kerana kebersihan airnya.
Sekiranya aktiviti penggondolan kawasan hutan berkenaan masih berterusan, Sungai Delam pastinya akan tercemar dan ini sekaligus akan menjejaskan ribuan penduduk di kawasan berhampiran yang banyak bergantung kepada sungai berkenaan untuk mendapatkan sumber bekalan air bersih. Malah, para pengusaha ikan air tawar dan pemilik resort juga pastinya tidak terkecuali terjejas dan akan turut mengalami kerugian.
Selain itu, kejadian banjir lumpur atau tanah runtuh juga berkemungkinan boleh berlaku terutamanya pada musim tengkujuh dan ini pastinya akan membahayakan keselamatan penduduk perkampungan Orang Asli yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi penerokaan hutan berkenaan.
Melihat kepada kesan jangka pendek dan jangka panjang yang bakal berlaku sekiranya aktiviti penerokaan hutan di kawasan berkenaan diteruskan, maka langkah drastik perlu diambil bagi menjaga kepentingan penduduk setempat dan kelestarian ekosistem di kawasan terbabit.
Aktiviti penerokaan hutan ini perlu dihentikan dengan segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Pihak yang terlibat dengan aktiviti ini seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian banjir lumpur yang pernah berlaku di Lentang, Bentong dan tanah tinggi Cameron Highlands sehingga mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda yang dipercayai berlaku berpunca daripada aktiviti pembasmian dan penerokaan hutan secara berleluasa.
Tindakan drastik perlu diambil bagi menghentikan aktiviti ini dan amaran keras perlu diberikan kepada pihak yang terlibat agar mereka tidak sewenang-wenangnya merosakkan kawasan hutan simpan hanya semata-mata kerana membangunkan aktiviti pertanian di kawasan berkenaan. Sebaliknya, mereka sewajarnya memikirkan kepentingan dan kemaslahatan penduduk terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengundang padah di kemudian hari.
Pihak terbabit juga seharusnya lebih prihatin dan sensitif terhadap khazanah alam sekitar kerana telah banyak hutan simpan dan hutan simpan kekal yang telah dinyahwartakan untuk tujuan pertanian. Sekiranya mereka masih mahu meneruskan penerokaan ke atas kawasan hutan berkenaan, maka mereka perlu akur bahawa satu lagi kawasan hutan simpan akan lenyap dan mereka akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas kemusnahan yang bakal timbul kelak.
Sudah tiba masanya pihak yang terlibat memikirkan dan mengusahakan alternatif lain yakni dengan mencari tanah-tanah yang belum diusahakan untuk dibuka bagi tujuan pertanian dan bukannya meneroka kawasan hutan simpan sedia ada untuk tujuan berkenaan. Kesedaran dan keprihatinan pihak yang terlibat penting dalam memastikan khazanah alam sekitar di kawasan berkenaan dapat diselamatkan.
Kejadian bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat dan sebagainya yang banyak berlaku pada hari ini seharusnya dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran yang berguna kepada semua pihak. Jangan biarkan ia berlalu ibarat angin lalu yang hanya terhidang di depan mata tanpa memberi sebarang iktibar dan keinsafan di dalam diri masing-masing.
Sedangkan Allah SWT secara jelas mengingatkan kita di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”