Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun. Pada tahun ini, temanya ialah #BeBoldForChange atau seperti yang penulis terjemahkan #BeraniUntukBerubah. Berubah untuk apa? Berubah untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita.
Mungkin ada yang bertanya, apa lagi yang wanita mahu? Apa lagi yang tidak cukup? Ruang apa lagi yang perlu dibuka? Bidang apa lagi yang mahu diteroka?
Dalam konteks Malaysia, dari satu sudut, memang benar, banyak yang telah dicapai dalam usaha untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita. Sebagai contoh, gaji yang sama untuk lelaki dan perempuan yang melakukan pekerjaan yang sama sekurang-kurangnya di sektor kerajaan; semakin ramai wanita yang memegang jawatan membuat keputusan; hak yang sama (hampir sama) dalam perundangan, dan seumpamanya.
Namun, dari sudut yang lain, wanita masih ketinggalan. Misalnya, dalam dunia perniagaan dan politik, bilangan wanita jauh lebih kecil berbanding lelaki. Dari segi kesihatan dan mangsa keganasan, keadaan wanita adalah lebih teruk berbanding lelaki.
Untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita dalam bidang-bidang inilah maka wanita dan lelaki, ya – wanita dan lelaki – perlu #BeraniUntukBerubah. Kenapa lelaki? Kerana dunia yang lebih baik untuk wanita hanya akan menjadi kenyataan jika kaum lelaki sama-sama menginginkannya dan memperjuangkannya.
Teringat penulis kepada khutbah Rasulullah s.a.w pada 9 Zulhijjah 10H. Salah satu perkara yang Baginda tegaskan dalam khutbah tersebut ialah supaya para suami melayani isteri mereka sebaik-baiknya kerana para isteri itu merupakan amanah yang diterima dengan nama Allah. Perkara ini kemudiannya ditafsir sebagai perintah Baginda supaya kaum lelaki memuliakan kaum wanita, teman seperjuangan mereka di muka bumi ini. Pengiktirafan Baginda terhadap kaum wanita ini menyebabkan 9 Zulhijjah dipilih sebagai Hari Wanita Muslim Sedunia.
Rasulullah s.a.w. telah memperjuangkan hak wanita lebih 1400 tahun yang lalu. Bagaimana dengan kaum lelaki di zaman ini? #BeraniUntukBerubah demi mempertahankan wanita: hak-hak dan kemuliaannya?
Pada pendapatan penulis, bukan sesuatu yang sukar untuk kaum lelaki menyokong dan mempertahankan hak wanita. Di zaman ini, seorang lelaki yang membukakan pintu kereta untuk isterinya akan dipuji melangit, inikan pula jika dia memperjuangkan hak-hak wanita. Soalnya, mahu atau tidak kaum lelaki melakukan perkara ini? Jika Rasulullah s.a.w merupakan contoh yang terbaik untuk kita, Baginda sepatutnya diteladani.
Namun, #BeraniUntukBerubah demi mewujudkan dunia yang lebih baik untuk wanita akan menjadi lebih mencabar untuk wanita itu sendiri. Ini kerana dalam masyarakat Timur, wanita yang baik adalah wanita yang senyap, patuh dan sentiasa tersenyum. Dalam konteks ini, #BeraniUntukBerubah adalah tema yang mampu memberi semangat kepada kaum wanita untuk berani mendapat dan memperjuangkan hak mereka.
Dalam hal ini, siapakah yang perlu wanita Islam contohi? Sebaik-baiknya wanita Islam memiliki ikonnya sendiri yang terdiri dari wanita-wanita Islam juga. Bagaimanakah agaknya wanita-wanita Muslimah di zaman awal Islam? Apakah mereka hanya senyap, patuh dan sentiasa tersenyum? Inikah ciri-ciri wanita Islam pada ketika itu? Atau apakah mereka juga memiliki semangat #BeraniUntukBerubah dan betul-betul bertindak ke arah itu?
Ummu Salamah r.a., salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. dilaporkan pernah bertanyakan tiga soalan kepada Baginda. Pertama, soalan mengenai mengapa kaum wanita tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana kaum lelaki. Untuk menjawabnya, Rasulullah s.a.w. membacakan ayat 35, Surah al-Ahzab. Kedua, soalan mengenai mengapa di dalam al-Quran tiada disebut mengenai pahala yang diperolehi oleh kaum wanita yang turut berhijrah. Ini dijawab Baginda dengan membacakan ayat 195, Surah Ali Imran. Ketiga, soalan mengapa kaum lelaki sahaja yang berperang dan mengapa kaum wanita mendapat separuh sahaja dari harta pusaka. Untuk itu, Baginda bacakan ayat 32, Surah An-Nisaa.
Ternyata, isteri Rasulullah s.a.w sendiri tidak hanya “senyap, patuh dan tersenyum” ketika timbul persoalan-persoalan di mindanya, hatta persoalan-persoalan yang berkenaan dengan al-Quran. Sebaliknya, beliau menyuarakan kemusykilan-kemusykilan itu dan jawaban-jawabannya mengubah diri beliau dari “tidak tahu” kepada “tahu”.
Pada suatu ketika, Umar al-Khattab r.a. dan isterinya berbantahan sesama sendiri. Sampai satu saat, Umar memarahi isterinya kerana tidak tahan dengan sikap membantah isterinya itu. Lalu isterinya berkata, “Kenapa engkau tidak boleh terima aku membantahmu sedangkan isteri Rasulullah pernah membantah Baginda?”
Penulis tidak bermaksud untuk mengajak para isteri berbantahan dengan suami masing-masing. Pengajaran dari kisah ini ialah bersikap terlalu keras dengan isteri bukanlah satu sikap yang terpuji. Sebaliknya, perlu berlaku komunikasi dua hala dalam hubungan suami-isteri di mana kedua-dua belah pihak boleh menyuarakan pandangan, kemarahan, rasa tidak puas hati dan seumpanya dengan cara yang berhikmah, demi kebaikan bersama.
Selain dua contoh ini, di zaman Rasulullah s.a.w ada banyak kisah lain yang menunjukkan betapa wanita di zaman itu bukan sahaja memiliki semangat #BeraniUntukBerubah ini, tetapi juga benar-benar bertindak dengan berani demi kebaikan mereka. Pernah suatu ketika, seorang wanita meminta agar Rasulullah s.a.w. mengadakan satu masa khusus untuk para wanita belajar terus daripada Baginda tanpa perlu berkongsi dengan khalayak lelaki. Ada wanita yang datang kepada Nabi meminta untuk bercerai dengan suaminya. Ada wanita yang berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk memastikan apakah tempoh iddah kematian suaminya telah tamat supaya dia dapat berdandan semula (untuk mencari calon suami).
Wanita-wanita ini telah dengan beraninya melakukan apa yang perlu mereka lakukan demi untuk berubah ke arah yang lebih baik. Ternyata, Rasulullah s.a.w tidak merasa tergugat dengan keberanian itu, malah Baginda “menghadiahkan” mereka dengan jawaban-jawaban yang memuaskan hati dan mengubah kehidupan wanita-wanita tersebut.
Sama dengan kita kini – lebih 1400 tahun hijrah kemudiannya. Kita perlu #BeraniUntukBerubah asal sahaja perubahan-perubahan itu tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran dan nilai-nilai Islam yang kita pegang.