Setelah beberapa kali menonton ‘promo’ sebuah rancangan realiti TV, penulis berkesempatan menonton rancangan itu ketika episod keduanya disiarkan.Program realiti ini bertujuan untuk mengubah cara berpakaian dan berdandan pesertanya – Si X – yang dirujuk kepada program tersebut oleh mereka yang rapat denganSi X.Misalnya, seorang rakan akan meminta krew penerbitan ini untuk mengubah cara berpakaian dan berdandan sahabat baiknya (peserta) yang dilihat tidak pandai bergaya.
Krew penerbitan tadi, tanpa apa-apa temujanji, akan menemui peserta itu dan melakukan keajaiban mereka untuk menukar peserta yang tidak pandai berdandan itu menjadi seorang yang rupawan.Sebagai seorang wanita, penulis agak tertarik dengan konsep ini.
Setelah sepuluh minit menontonnya, penulis terasa untuk menukar ke saluran lain kerana terganggu dengan kecelaruan nilai dalam rancangan ini.Namun, sebagai pemerhati masyarakat, penulis meneruskannya kerana mahu melihat sejauhmana kelam-kabutnya nilai yang ditonjolkan dalam rancangan ini.
Kecelaruan nilai yang pertama merujuk kepada nilai dalam hubungan suami-isteri kerana kebetulan pada episod kali ini seorang suami telah meminta krew penerbitan mengubah cara isterinya berpakaian dan berdandan.Menurut suami tersebut, isterinya langsung tidak pandai bergaya.
Bukankah agama Islam mengajar kita bahawa hubungan suami-isteri itu merupakan satu hubungan yang intim dan segala kelemahan dan keburukannya perlu dirahsiakan dari dunia luar?Bukankah Islam secara simboliknya menyebutkan bahawa suami dan isteri merupakan pakaian bagi satu sama lain yang bukan sahaja merujuk kepada fungsi seksual antara keduanya tetapi juga bermaksud saling melindungi keaiban diri pasangan?Bagaimanakah seorang suami yang sepatutnya melindungi keaiban isterinya, kini “menelanjangkan” isterinya di khayalak ramai dengan mengatakan isterinya tidak pandai bergaya dan memerlukan bantuan untuk kelihatan cantik?Tidak bolehkah si suami secara peribadi mengingatkan si isteri tentang hal ini tanpa diketahui oleh hampir satu Malaysia?
Tambah pula, si suami maklum bahawa isteri enggan berhias kerana tidak mahu membazir.Sebaliknya, si isteri mahu mengutamakan perkara lain yang lebih penting seperti tuisyen anak-anak.Jadi, mengapa sikap mulia isteri ini tidak dihargai sebaliknya sanggup menjadikan isterinya sebagai peserta kepada program realiti TV itu?Memang benar, kecantikan adalah salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan dalam memilih isteri.Namun, Rasulullah s.a.w berpesan, jika kita pilih yang beragama, nescaya kita tidak akan kecewa.
Kecelaruan nilai yang kedua merujuk kepada sikap perunding kecantikan dalam rancangan tersebut.Fungsi mereka ialah untuk untuk menunjuk ajar pelanggannya tentang cara berpakaian dan berdandan yang baik.Namun, sikap mereka yang masuk ke bilik pelanggan, melihat koleksi pakaian dan alat solek pelanggan dan kemudiannya menggelakkan pelanggan tersebut, bagi penulis adalah sesuatu yang tidak wajar.Bukan sahaja mereka telah menceroboh ruang peribadi pelanggan, mentertawakannya, malah berkongsi perkara itu dengan semua penonton.
Peserta menjadi pelanggan mereka kerana ia tiada kemahiran untuk berdandan.Maka, tidak bolehkah tunjuk ajar dan nasihat itu diberi dengan cara beradab, penuh hormat dan berhikmah?Walaupun khidmat itu diberi secara percuma dan pakaian serta alat solek yang dikenakan pada pelanggan itu ditaja, tetapi itu tidak sepatutnya dijadikan lesen untuk memalukan pelanggan.Sebagai orang Islam, kita maklum bahawa sesiapa yang memelihara keaiban orang lain, Allah akan memelihara keaiban mereka.Jadi, mengapa memilih untuk melakukan yang sebaliknya?
Kecelaruan nilai yang ketiga merujuk kepada konsep rancangan tersebut secara keseluruhannya.Tujuan asalnya memang baik iaitu untuk membantu para peserta kelihatan cantik dan secara tidak langsung mendidik ahli masyarakat untuk berdandan dengan bijak.Namun, perlaksanaannya biarlah baik juga.
Sebelum inipun, ada program seumpama ini dan ia dapat dilaksanakan secara sopan dan beretika tanpa menjatuhkan air muka mereka yang ‘dicantikkan’.Sememangnya, wujud kecenderungan di kalangan penerbit rancangan TV untuk meniru program dari Barat.Malangnya, peniruan tanpa penilaian buruk-baiknya serta tiadanya pertimbangan diberi kepada sensitiviti masyarakat setempat menjadikan program yang terhasil itu kelihatan janggal dan tidak boleh diterima.Adalah diharapkan agar dalam usaha untuk mendapatkan jumlah penonton yang tertinggi, para penerbit tidak melupakan nilai-nilai budaya Timur yang kita pegang, apatah lagi ajaran agama Islam yang sepatutnya menjadi sebahagian dari kehidupan kita.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa terlau awal untuk penulis menilai program ini berdasarkan kepada satu episod yang ditonton.Secara jujur, penulis berharap bahawa episod yang penulis tonton itu tidak menggambarkan keseluruhan program tersebut yang mungkin mengandungi 13 episod.Jika tidak, ternyata bahawa wujud kecelaruan nilai yang serius dalam masyarakat kita dan rancangan ini hanya akan memburukkannya.