Pernahkah kita membayangkan anak sendiri pulang ke rumah dengan lebam di muka, air mata di pipi dan hati yang hancur kerana dibuli? Atau menerima panggilan telefon yang memberitahu bahawa anak tersayang tidak lagi bernyawa akibat perbuatan buli rakan sebaya? Soalan ini mungkin sukar untuk dibayangkan, tetapi inilah realiti yang sudah berlaku kepada ramai keluarga di Malaysia.
Berapa banyak lagi nyawa yang perlu dikorbankan sebelum kita benar-benar bertindak? Lebih lama kita berdiam diri atau menangguh tindakan, maka lebih parah kesannya nanti. Masalah buli tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar kempen bermusim atau slogan yang dilupakan selepas sebulan dua tetapi memerlukan tindakan segera, secara terancang dan menyeluruh.
Perbuatan buli adalah satu dosa dan bertentangan dengan ajaran Islam. Islam adalah agama Rahmah iaitu agama kasih sayang yang memupuk kelembutan hati, hormat-menghormati dan sikap saling menjaga sesama insan. Fitrah seorang Muslim ialah menyayangi dan melindungi, bukan menyakiti. Dalam sebuah Hadis, daripada Abdullah bin ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang Muslim adalah saudara kepada sesama Muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain…” (HR Bukhari). Dengan kefahaman maksud hadis ini, maka membuli bukan sahaja melanggar ajaran agama, malah mengkhianati nilai kemanusiaan yang paling asas.
Kesan buli tidak terhenti pada lebam di kulit. Ada mangsa yang terbaring di hospital dengan tulang retak, ada yang meninggal dunia akibat kecederaan dan ramai yang terperangkap dalam trauma psikologi bertahun lamanya. Rasa takut, rendah diri dan hilang keyakinan diri menghantui hidup mereka. Lebih memilukan, ada perbuatan buli dilakukan kerana “sekadar bergurau” atau untuk “menunjuk kuasa.” Namun, gurauan itu meragut ketenangan hidup mangsa. Persoalannya, siapa yang akan mengembalikan semangat mereka? Mampukah jiwa yang telah hancur dipulihkan sepenuhnya?
Di era digital, wujud pula bentuk buli baharu iaitu buli siber. Hal ini berlaku di media sosial, aplikasi pesanan malah di ruang permainan dalam talian. Ia lebih berbahaya kerana boleh disebarkan kepada ribuan orang hanya dengan satu klik. Lebih malang, ia meninggalkan “jejak digital” yang kekal serta mengulang-ulang luka kepada mangsa setiap kali dilihat semula.
Lebih membimbangkan, ada pihak yang menganggap buli sebagai perkara remeh. Ayat seperti “alah, perangai budak-budak,” “sekadar gurauan” atau “biasalah, nak berkawan” sering kedengaran. Lebih menyedihkan, pengadu pula dilabel “lembik” atau “penakut.” Sikap ini bukan sahaja mematikan semangat mangsa untuk melaporkan insiden, malah memberi lesen tidak rasmi kepada pembuli untuk terus bermaharajalela. Kita tidak boleh lagi menganggap buli sebagai “fasa biasa” dalam proses membesar.
Walaupun kita mengecam perbuatan buli, kita juga perlu sedar bahawa sesetengah pembuli sendiri pernah mengalami pengalaman pahit atau trauma. Ada yang pernah dibuli pada masa lalu, ada yang membesar dalam suasana keluarga penuh kekerasan dan ada yang tidak pernah diajar cara mengurus emosi. Mereka membuli kerana itulah “bahasa” yang mereka kenal untuk menunjukkan kuasa atau mendapatkan perhatian.
Namun, hal ini bukan alasan untuk membiarkan mereka terus menyakiti orang lain, tetapi merupakan satu isyarat bahawa intervensi bersifat pemulihan perlu dilaksanakan dengan segera. Hukuman sahaja tidak mencukupi, mereka perlu dibimbing, dirawat dan diajar untuk membina empati.
Masalah ini memerlukan penglibatan semua pihak sama ada ibu bapa, guru, masyarakat, media, atau pemimpin. Kita mesti memastikan anak-anak tidak menjadi mangsa dan pada masa yang sama, mencegah mereka daripada menjadi pembuli.
Mangsa perlu dibantu untuk pulih daripada trauma melalui sokongan psikologi dan sosial. Pembuli pula mesti menjalani proses pembetulan sikap, bukan hanya dihukum tanpa bimbingan. Kedua-duanya memerlukan perhatian kerana membina generasi masa depan bermula dengan membina akhlak dan empati.
Ceramah dan slogan semata-mata tidak mencukupi. Kita perlukan langkah konkrit. Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah mewujudkan program pemulihan berstruktur untuk pembuli yang disabitkan kesalahan. Mereka boleh ditempatkan di kem khas selama tiga hingga enam bulan. Program di kem ini perlu merangkumi sesi kaunseling, motivasi, kerja khidmat masyarakat, latihan disiplin berbentuk fizikal dan lawatan ke penjara atau pusat pembinaan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney. Lawatan ini bertujuan memberi kesedaran bahawa tingkah laku mereka boleh menghancurkan masa depan sendiri jika tidak diubah.
Selain itu, pendidikan tentang empati dan pengurusan emosi perlu dimasukkan secara serius ke dalam kurikulum sekolah. Pendidikan awal tentang kesan buli akan membentuk generasi yang lebih prihatin. Dalam masa yang sama, saluran aduan buli yang diyakini perlu dimaklumkan kepada semua pelajar agar semua aduan dapat disiasat tanpa prejudis.
Sebagai kesimpulan, hayatilah ayat 65 Surah Yasin yang mengingatkan kita bahawa: “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” Ayat ini menunjukkan bahawa tiada perbuatan, sama ada perbuatan buli fizikal, mental mahupun buli siber, yang akan terlepas daripada perhitungan Allah SWT.
Islam juga menekankan habluminannas iaitu hubungan baik sesama manusia. Hal ini bermakna, dalam apa jua keadaan, berbuat baik sesama manusia itu adalah satu tuntutan. Perbuatan jahat atau kesalahan yang melibatkan orang lain tidak akan terhapus dosanya melainkan kita memohon maaf dan diampunkan oleh mereka. Persoalannya, jika kita membuli dan menyakiti orang lain sedalam itu, adakah kita pasti kemaafan akan diberi? Buli bukan sekadar isu sekolah. Ia adalah cerminan nilai masyarakat. Jika kita membiarkannya, kita sedang mewariskan budaya kekerasan kepada generasi akan datang. Kita mesti bertindak sekarang. Lindungi anak-anak kita, tegur tingkah laku yang salah, laporkan insiden buli dan sokonglah mangsa untuk pulih. Hentikan buli sebelum terlambat. Jangan tunggu sehingga kita sendiri menjadi salah seorang yang kehilangan ahli keluarga kerana buli.