Perbuatan menjadikan ayat-ayat al-Qur’an sebagai nada dering (ring tone) telefon bimbit adalah perbuatan biadab yang mencemar kesucian kalam Allah. Perbuatan yang sudah agak berleluasa ini kelihatannya mendapat restu dari sesetengah pihak yang diamanahkan menjaga hal-ehwal Islam di negara ini, yang melihatnya sebagai suatu amalan yang baik dan patut digalakkan. Ini satu lagi contoh di mana masyarakat dikelirukan oleh ‘ulama palsu’ yang diberikan amanah yang tidak patut mereka tanggung.
Persoalan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an sebagai nada dering tidak boleh dibahaskan dalam kerangka hukum yang sempit. Ia bukan persoalan ada atau tiada nas, kerana pastinya tiada nas yang melarangnya! Ini adalah persoalan adab, dan adab adalah tatacara beragama yang tinggi dan luhur, yang melangkaui undang-undang dan halal-haram semata-mata.
Dengan menyifatkan perbuatan ini sebagai ‘biadab’ kita bermaksud perbuatan ini hanya dilakukan oleh manusia yang tidak tahu adab, secara khususnya adab terhadap al-Qur’an.
Sayugia dihuraikan secara ringkas apakah yang dimaksudkan dengan adab.
Adab secara mudahnya adalah ‘perbuatan yang betul’. Betul ertinya benar, sah, dan baik pada pertimbangan ilmu. Adab mengisbatkan wujudnya susunan martabat dan darjat dalam kejadian, yang kesemuanya berpunca dan merujuk kepada Tuhan Yang Hak Yang Wajib Wujud. Adab terjelma apabila keadilan dilaksanakan, yakni apabila sesuatu itu diletakkan dalam akal dan perbuatan pada tempatnya yang betul.
Al-Qur’an adalah kalam Allah, dan ia mempunyai kedudukannya yang tersendiri dalam kerangka pemikiran yang dipancarkan oleh pandangan hidup Islam. Wajarkah ia dijadikan sebagai nada dering? Nada dering adalah bunyian yang digunakan bagi memaklumkan pemilik telefon bahawa ada panggilan masuk untuk dijawab, ataupun untuk fungsi-fungsi lain yang boleh diprogramkan. Dengan kecanggihan teknologi sekarang pengguna telefon boleh memilih berbagai-bagai jenis nada dering dari deringan yang ringkas kepada alunan muzik, nyanyian, suara manusia dan binatang, dan berbagai macam bunyian lagi termasuklah suara azan dan bacaan ayat al-Qur’an.
Memang benar kita umat Islam digalakkan membaca dan mendengar bacaan al-Qur’an. Tetapi ini bukan hujah membolehkan bacaan al-Qur’an dibaca atau dimainkan rakaman bacaannya di mana-mana sahaja. Ada pihak yang memasang kaset bacaan al-Qur’an melalui pembesar suara surau yang terletak di tengah pasar besar di mana orang ramai sibuk dan tawar-menawar barang keperluan harian. Mereka menyangka ini adalah perbuatan baik sedangkan ia adalah perbuatan yang terang-terang dilarang oleh al-Qur’an sendiri. “Apabila dibacakan al-Qur’an”, firman Allah, “hendaklah kamu dengar dan perhatikan (apa yang dibacakan itu) serta berdiam diri (tidak berkata-kata)”. Bagaimana perintah ini dapat dilaksanakan sedangkan tujuan orang ke pasar adalah untuk berjual-beli, bukannya mendengar bacaan al-Qur’an! Orang-ramai tidak boleh disalahkan kalau mereka tidak mempedulikan bacaan al-Qur’an. Yang salah ialah pihak yang menghina al-Qur’an dengan menjadikannya seolah-olah muzik latar di taman hiburan!
Oleh kerana ayat-ayat al-Qur’an itu, sebagai kalam Allah, adalah suci dan mulia ia hendaklah diletakkan pada tempat yang sejajar dengan kesucian dan kemuliannya. Justeru, sebagai contoh, ia tidak boleh disentuh melainkan oleh orang-orang yang suci dari hadas, dan tidak boleh dibaca di dalam tandas dan tempat-tempat yang kotor. Larangan ini bertujuan memelihara kesucian al-Qur’an, agar ia tidak diletakkan pada tempat yang tidak layak baginya atau diperlakukan dengan perlakuan yang tidak sepatutnya. Sesuatu yang asalnya mulia sekalipun, jika tidak diletakkan pada tempatnya yang sebenar akan tercemar atau hilang kemuliaannya, seperti “mengalungkan mutiara ke leher babi”, memetik kata-kata Imam Ghazali.
Sepatutnya jelas sekarang kenapa perbuatan menjadikan ayat-ayat al-Qur’an sebagai nada dering adalah perbuatan biadab. Apabila terdapat panggilan masuk, yang menjadi perhatian ialah panggilan itu, bukan apa yang ingin disampaikan oleh ayat-ayat berkenaan. Pemilik telefon akan segera menjawab panggilan berkenaan, sekaligus menghentikan bacaan itu, bagi berbual dengan si pemanggil. Layakkah kalam Allah diperlakukan sedemikian?
Dalam soal adab terhadap al-Qur’an, kedudukan al-Qur’an sebagai kalam Allah itu yang mesti difahami dengan betul. Kalam (pertuturan) adalah sifat Allah yang qadim, dengannya Dia mengajar manusia, memberitahu, menjelas, menyuruh dan melarang, menyampaikan berita baik dan memberi amaran, agar mereka mendapat petunjuk dan terpelihara dari kesesatan.
Justeru, al-Qur’an hendaklah dibaca oleh pembacanya untuk diteliti, difahami, dan dihayati maksud dan tuntutannya. Untuk tujuan itu memadailah jika bacaan itu sampai ke pendengarannya sendiri. Ia boleh dibaca dengan kuat untuk didengari oleh orang lain sekiranya ada permintaan dan majlis yang sesuai. Malangnya tujuan asal ini sudah dilupakan. Kini yang lebih diutamakan ialah memaksa orang lain mendengar bacaan al-Qur’an dengan memainkan rakamannya melalui corong pembesar suara masjid dan surau dan di tempat-tempat perhimpunan ramai.
Di kalangan para sahabat Rasulullah ada sebahagian yang gemar membaca dengan kuat ayat-ayat al-Qur’an semasa sembahyang, dan sebahagian lagi membaca terlalu perlahan. Perbuatan membaca dengan kuat telah menimbulkan cemuhan dan kebencian orang-orang bukan Islam yang menyebabkan mereka mencerca Allah, RasulNya, dan KitabNya. Justeru ayat 110 Surah al-Isra’: “Janganlah membaca dengan terlalu kuat (sehingga mengganggu orang lain) dalam sembahyangmu dan jangan pula terlalu perlahan (sehingga tidak didengari), carilah jalan pertengahan antara kedua itu.” Pesanan dan peringatan ini dilakukan pada masa belum wujud lagi pembesar suara! Kita boleh lihat di sini betapa lemah-lembut dan bertimbang-rasanya ajaran Islam terhadap umat manusia, termasuk yang tidak menerima ajarannya. Hari ini, dengan pembesar suara kita boleh dengar bacaan ayat-ayat al-Qur’an dari jarak dua kilometer. Bayangkan apa yang dirasakan oleh orang-orang yang tinggal di sekitar masjid! Tidak hairanlah orang-orang bukan Islam mengelak dari tinggal berhampiran dengan kawasan masjid atau surau.
Kita jangan lupa, di sebalik galakan membaca al-Qur’an terdapat juga amaran terhadap pembaca al-Qur’an. “Berapa ramai orang membaca al-Qur’an”, sabda Rasulullah, “sedangkan al-Qur’an melaknatnya”. Sabdanya lagi:”Kebanyakan dari golongan munafiq umatku adalah pembaca al-Qur’an.”
Peringatan dan amaran itu ditujukan kepada orang yang rajin membaca (atau mendengar) ayat-ayat al-Qur’an tetapi lalai terhadap maksud dan tuntutannya. Sememangnya Allah melaknat si zalim dan pendusta. Termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim ialah orang-orang yang meletakkan al-Qur’an pada tempat yang tidak layak dengan kedudukannya, manakala si pendusta rajin membaca dan mendengar ayat-ayat al-Qur’an sedang pemikiran, tutur-kata, dan perbuatannya tidak sama sekali membayangkan dia beriman dengan kebenaran kalam Allah.