Berhadapan dengan keadaan pilihanraya, kita tidak boleh lari dari membicarakan perbezaan pendapat. Ini kerana, setiap individu, berhak mempunyai dan melontarkan pendapat serta pilihan masing- masing. Allah menciptakan manusia dengan pelbagai jenis perbezaan sama ada warna kulit, rupa bentuk, bahasa termasuk juga cara berfikir. Kepelbagaian pendapat adalah sesuatu yang lumrah dan ia wujud bersama- sama dengan kepelbagaian bangsa, bahasa, jenis ilmu yang diperolehi juga pengalaman.
Pendedahan kepada cabaran- cabaran semasa dan kemelut yang melanda masyarakat kini melahirkan kepada kepelbagaian buah fikiran dan lontaran pendapat. Biarpun masyarakat kita berbeza dan berselisih pendapat dan pemikiran tetapi bukan bermakna tiada kesepakatan yang boleh disatukan agar terbentuk suatu masyarakat yang bertamadun. Apa yang dirisaukan, sekiranya perbezaan pendapat ini menjadi api pemusnah kepada perpaduan masyarakat jika tidak ditangani dengan cara yang sempurna dan yang mampu mendatangkan perasaan tidak senang hati di kalangan sesetengah pihak, saling berbantah dan akhirnya membawa kepada permusuhan.
Dalam sesetengah wacana ilmu, medan dakwah atau pun perbualan harian, lazimnya kita berhadapan dengan persoalan setuju atau tidak dengan sesuatu buah fikiran. Dan seorang Muslim yang bijaksana tidak harus cepat melatah dengan jawapan sebaliknya yang diterima dan tidak cepat membuat andaian buruk sekiranya pandangan tidak memenuhi kehendak kita. Sebaliknya, kita harus berlapang dada dan bertolak ansur dengan apa yang disuarakan selagi ia tidak bertentangan dengan hakikat nyata.
Melihat keadaan semasa negara kita sekarang menggambarkan corak dan warna warni perkembangan siasah dan suasana sebelum berlakunya hari pilihanraya. Ramai bakal pemimpin yang bertanding yang mewakili parti- parti yang disertainya. Dan sudah diramalkan mereka membawa faham perjuangan yang berbeza dan harapan tertentu daripada masyarakat. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat jika kita melihat dari sudut pandangan yang baik. Hal ini bermanfaat dan baik sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab dan akhlak yang betul sepertimana yang telah digariskan oleh syara’.
Walaupun berbeza pendapat dan pemikiran (fikrah) tetapi selagi masyarakat masih lagi berpegang kepada tali agama yang mengikat diri dengan Pencipta, selagi itulah masyarakat kita tidak akan berpecah. Menyentuh tentang adab yang seharusnya dimiliki apabila wujudnya perbezaan pendapat perlulah dijadikan pengiktibaran. Sebagai satu unit di dalam masyarakat, kita perlu ikhlas dan menjauhkan diri dari mengikut hawa nafsu. Ikhlas dalam segala tindakan merupakan syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah dan juga tidak bermegah dalam mencari dan menegakkan kebenaran. Salah satu daripada tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya daripada seseorang yang lebih rendah pangkatnya sepertimana yang berlaku kepada Saidina Umar Al Khattab di mana beliau menerima kebenaran walaupun datangnya dari seorang perempuan yang lebih rendah pangkatnya berbanding beliau.
Sesetengah pihak tidak boleh mempunyai sifat ingin memenangkan diri sendiri. Kita mungkin pernah terdengar kata- kata “apa yang saya cakap semuanya betul dan kata- kata awak tadi adalah salah”. Seandainya beginilah cara seseorang memberi dan menerima pandangan orang lain, di penghujungnya, dia hanya mempunyai ramai musuh berbanding dengan kawan. Bukankah itu membawa kepada bibit- bibit perpecahan dalam masyarakat kita? Justeru, walaupun sesetengah daripada kita mempunyai lunas pandangan yang berbeza, bukanlah bermakna tidak boleh bersatu di bawah satu rumpun perpaduan yang dijanakan atas dasar kebenaran dan keihlasan dengan syarat setiap ahli masyarakat perlu mempunyai adab- adab dan akhlak yang telah digariskan dalam agama.
Kebenaran dalam sesuatu pandangan juga mempunyai tempoh matang untuk setiap orang menerima dan mempercayainya. Jika kita menelusuri sejarah Rasulullah SAW dalam usaha dakwah di mana baginda menerima penolakan yang cukup lama dalam menyampaikan dakwah agama Islam sehinggalah baginda berjaya menyedarkan masyarakat Jahiliyyah bahawa kebenaran agama Islam itu tidak dapat dinafikan lagi. Pengajaran daripada sirah ini bahawa tidak semua pandangan , pendapat atau pemikiran dapat diterima oleh segenap masyarakat. Sehubungan dengan itu, wujud juga kepelbagaian fahaman siasah dalam masyarakat kita. Berbeza pendapat dalam sesebuah masyarakat adalah menunjukkan ciri masyarakat bertamadun yang bergerak menuju kepada kemajuan dan kesejahteraan. Agama Islam tidak mengajar pendekatan secara keras jahil dan zalim dalam apa jua tindakan.
Salah satu sikap yang perlu dihindari oleh semua orang apabila wujudnya perbezaan pendapat ialah sifat ta’assub (fanatik) dan berkelompok dengan satu pandangan dan sentiasa ingin menegakkan benang yang basah sehingga membawa kepada permusuhan. Sepertimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan, “Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana dia mungkin kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai”. Hadis ini memberikan pengajaran kepada kita agar mempunyai pertimbangan yang wajar dalam menerima atau tidak menerima sesuatu pandangan dan tidak berlebih- lebihan. Ini kerana, akibat munculnya sifat ta’asub ini boleh melalaikan seseorang dan akhirnya membawa kepada perpecahan kerana seringkali mementingkan dan memenangkan kelompok sendiri. Jika menyoroti lembaran sirah di mana puak- puak Assabiyyah dahulu saling berbunuhan sesama sendiri kerana memiliki sikap ta’asub dan akhirnya membawa kesan kepada perpecahan, pertelingkahan dan kacau bilau dalam masyarakat Arab.
Allah juga berfirman dalam Surah Al Hujurat ayat 10 di mana menyarankan umat Islam mengutamakan sikap persaudaraan (ukhuwah). Sehubungan dengan piliharaya yang bakal tiba, walaupun terdapat perbezaan dan perselisihan antara pelbagai pihak yang bertanding, mereka perlu menyedari dan mendahulukan kepentingan perpaduan serta persaudaraan. Walau apa pun matlamat setiap pihak, tujuan yang paling utama ialah kesatuan, keserasian dan mengumpulkan hati- hati masyarakat agar menjauhkan diri dari permusuhan zahir dan batin serta unsur- unsur yang boleh memecahbelahkan masyarakat yang akhirnya mengundang kemusnahan negara. Dan setiap orang daripada kita harus menerapkan dalam hati bahawa perbezaan yang wujud tersebut merupakan satu rahmat dan ia harus didasari dengan perasaan ikhlas yang akan mencetuskan keharmonian dalam masyarakat.
Oleh yang demikian, seharusnya masyarakat mempunyai kaedah yang matang dan berkesan dalam menangani kemelut perbezaan pendapat menjelang pilihanraya ini agar ketegangan sesama umat tidak timbul. Ini kerana, ketegangan seperti ini mampu meruntuhkan kesatuan umat masyarakat sebagaimana terungkainya penyapu lidi sekiranya tali pengikatnya dibuka. Keadaan ini amat bahaya dan mesti dielakkan. Sama- samalah kita fikirkan.