Ulama bersetuju supaya istilah “kehakiman” atau “al-qada’” difahami sebagai penyelesaian terhadap sebarang konflik antara pihak-pihak yang bertikai dengan menggunakan pendekatan undang-undang yang mengikat. Sehubungan dengan perkara ini, menurut al-Sarakhsi, kehakiman merupakan sebahagian daripada (tugas-tugas) fardu kifayah yang amat penting selepas beriman dengan Allah SWT. Ini kerana kehakiman yang adil akan dapat memastikan keamanan dan keharmonian terus terpelihara dalam hidup bermasyarakat dan bernegara.
Kehakiman yang Islami bukan sahaja memerlukan hakim bicara yang adil tetapi ia memerlukan sistem yang teratur dan berkesan. Seterusnya, sistem berkenaan digerakkan oleh mereka yang berkelayakan, cekap dan amanah.
Sebagaimana yang telah sedia maklum bahawa Undang-undang Islam di Malaysia berada di bawah bidang kuasa negeri dan secara dasarnya setiap negeri mempunyai undang-undang substantif yang sama. Walau bagaimanapun, tentunya sesuatu yang ironi bila terdapat dua kes perceraian fasakh dengan fakta yang lebih kurang sama tetapi masing-masing mengambil masa yang amat berbeza untuk mencapai keputusan. Dalam kes Mastura Salleh lwn Abdul Khalil Mohd Ali (2009 – kes yang tidak dilaporkan) dengan fakta tekanan mental oleh pihak plaintif, Mahkamah Syariah hanya mengambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk menyelesaikan kes berkenaan.
Sebaliknya, di sebuah negeri lain, dalam satu kes perceraian fasakh yang melibatkan fakta kes yang hampir serupa dan dibicarakan di dalam Mahkamah Syariah yang sama peringkatnya, masih belum mencapai sebarang keputusan walaupun ia telah mengambil masa lebih dua tahun!
Tentulah menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat awam, mengapa ketidakcekapan boleh berlaku di sesetengah Mahkamah Syariah sedangkan kita memiliki undang-undang dan sistem kehakiman yang sama serta hakim-hakim syarii yang dilantik mempunyai kelayakan minimum yang sama standardnya. Lebih malang lagi, ketidakcekapan yang berlaku oleh segelintir Mahkamah Syariah telah menutup atau menyembunyikan kecemerlangan dan sikap efisien kebanyakan Mahkamah Syariah di daerah-daerah atau negeri-negeri yang lain.
Apabila “keadilan” tidak diletakkan sebagai perkara yang perlu diutamakan, maka amanah yang dipertanggungjawabkan akan dijalankan tanpa rasa prihatin, apatah lagi untuk bersikap proaktif dan kreatif. Maka, satu-satu perbicaraan yang mengambil masa yang lama, bukanlah sesuatu perkara yang penting untuk difikirkan kerana mereka beranggapan bahawa mereka bukan sebahagian daripada masalah berkenaan.
Apabila sifat empati tidak dimiliki oleh kakitangan Mahkamah Syariah, maka mereka tidak terfikir kesan serta-merta atau kesan secara langsung (immediate effect) yang memudaratkan (prejudicial) terhadap pihak-pihak yang terlibat; sama ada kedua-dua belah pihak ataupun salah satu pihak yang bertikai, mahu pun pihak ketiga iaitu anak-anak.
Contoh implikasi yang tidak sewajarnya wujud adalah keadaan “digantung tidak bertali” bagi kalangan isteri sebagai pihak penuntut. Status yang tidak jelas sudah tentu menyukarkan mereka untuk melakukan urusan-urusan tertentu yang penting. Dalam keadaan mereka mempunyai suami hanya dari sudut perundangan sahaja, sedangkan hakikatnya mereka ini sudah bersendirian, menyebabkan mereka terhalang untuk membina kehidupan baharu yang benar-benar lebih memberi makna. Ada kalangan “ibu-ibu tunggal” yang tidak rasmi ini terperangkap dalam gejala sosial disebabkan situasi digantung tidak bertali ini. Penjagaan anak juga turut menjadi masalah dan mengelirukan kerana tidak ada perintah mahkamah yang pasti tentang hak penjagaan atau lawatan. Begitu juga dengan jumlah nafkah anak-anak yang perlu disumbangkan oleh pihak suami. Dalam hal ini, anak-anak yang tidak terlibat dalam konflik ibu bapa mereka turut menjadi mangsa keadaan dan ramai terabai.
Tugas mentadbir undang-undang dan memastikan sistem kehakiman Islam dapat memainkan fungsinya dengan efisien bukan semata-mata terpikul di atas bahu hakim atau pegawai-pegawai dalam mahkamah, bahkan juga kepada semua pihak yang terlibat dalam pertikaian sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya, pernah menggesa golongan peguam syarii supaya memainkan peranan mereka secara amanah dalam membantu mahkamah menyelesaikan kes-kes syariah dengan lancar. Mereka sepatutnya bukan sahaja bertugas untuk membantu anak guam masing-masing, tetapi juga membantu mahkamah untuk mencapai keputusan satu-satu perbicaraan kes dengan masa yang munasabah.
Segelintir peguam syarii sanggup mengetepikan prinsip-prinsip profesionalisme guaman semata-mata hendak mengejar kepentingan peribadi. Sesetengahnya sanggup membiarkan hakim bicara menunggu kehadiran mereka ke mahkamah dan perbicaraan dimulakan lebih lewat disebabkan mereka mengambil banyak kes. Apabila peguam berkecenderungan untuk tidak meletakkan keadilan sebagai keutamaan, maka mereka sanggup bersikap tidak saksama kepada anak-anak guam yang mereka wakili. Mereka juga tidak berasa bersalah untuk meminggirkan sesetengah anak guam bagi memberi lebih perhatian kepada anak guam lain yang mungkin lebih banyak bayaran guamannya.
Apabila peguam mengambil kes melebihi kemampuan, maka mereka tidak dapat memberi tumpuan yang sebaiknya kepada setiap kes yang diambil. Ia akan menjejaskan penyediaan kes dan membawa kebarangkalian yang besar bagi penangguhan. Mungkin sesetengahnya sudah biasa berurusan dengan kakitangan mahkamah bagi membuat penundaan atau penangguhan bagi kes-kes tertentu yang mereka bawa supaya mereka dapat menghadiri perbicaraan bagi kes-kes tertentu lain di mahkamah yang lain. Anak-anak guam yang naif dan telah memberi kepercayaan kepada peguam untuk mewakili mereka dalam tuntutan yang dibuat, tidak sedar mereka tidak diwakili dengan sikap yang benar-benar amanah. Dalam hal ini, siapakah yang sepatutnya memastikan anak-anak guam ini mendapat perkhidmatan dengan nilai utiliti yang sepatutnya?
Ada segelintir peguam yang menyatakan dalam kes fasakh terutamanya, semakin lama perbicaraan mengambil masa, maka keadaan itu akan memberi kelebihan kepada pihak penuntut kerana ia bukti syiqaq (persengketaan) berlaku antara kedua-dua belah pihak yang bertikai. Jika inilah alasan yang dinyatakan oleh pihak peguam bagi merasionalkan tindakan mereka, maka adalah lebih baik pihak penuntut tidak membuat sebarang tuntutan di hadapan hakim sekali gus tidak melantik sebarang peguam untuk mewakilinya, dan biarlah Tuhan sahaja yang meleraikan pertikaian mereka dengan kematian.
Jika inilah sikap sebahagian daripada pengamal perundangan Islam di negara kita yang diamanahkan oleh umat Islam untuk menegakkan kebenaran dan keadilan, maka tidak perlulah bermimpi atau berwawasan supaya kita melaksanakan transformasi terhadap sistem perundangan Islam di negara kita. Transformasi sebegini tidak akan terlaksana jika ia hanya digerakkan oleh sebahagian pengamal perundangan yang insaf dan sedar, bahkan ia memerlukan komitmen secara bersepadu dan tekad yang bulat.
Mungkin ada baiknya saranan YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil khir Hj Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa Majlis Perhimpunan Agensi-agensi di bawah YB Menteri JPM, supaya kes-kes perceraian yang sudah melewati enam bulan diselesaikan dengan segera, dijadikan sebagai Indikator Prestasi Utama (Key Performance Indicators – KPI) hakim-hakim syarii sebagaimana hakim-hakim mahkamah sivil mempunyai KPI tertentu bagi kes yang mereka bicarakan. Ini kerana secara munasabahnya, pertikaian suami isteri yang melewati enam bulan membuktikan syiqaq berlaku dan mahkamah perlu membuat kesimpulan bahawa kedua-dua mereka sudah tidak boleh disatukan.
Kehakiman Islam bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi juga sebagai keadilan yang dapat diperlihatkan kepada awam bahawa ia dilaksanakan. Kehakiman Islam tidak sekadar dinilai dari sudut substantifnya semata-mata, bahkan juga terletak pada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakannya. Benarlah sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh al-marhum Prof. Mahmud Saedon bahawa, “undang-undang yang adil hanya akan dapat dinikmati keadilannya jika ditadbir dan dijalankan dengan cekap, amanah, adil dan saksama”.