57 DAN 63 ialah angka istimewa Malaysia tahun ini. Negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957, dan tahun ini menyambut ulang tahun yang ke-63. Malaysia pula dibentuk pada 1963, dan tahun ini meraikan ulang tahun yang ke-57.
Merentasi angka-angka luar biasa ini ialah patriotisme: semangat cinta yang tulen kepada negara, berasaskan daya tarikan yang ada pada Malaysia.
Mereka yang berkunjung ke negara luar pasti pernah mengalami rasa rindu untuk kembali ke tanah air yang tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Rasa cintakan pertiwi diibaratkan dalam peribahasa “Hujan emas perak di negeri orang, hujan keris lembing di negeri kita; baik juga di negeri kita.”
Bahkan sentimen cinta kepada tanah air adalah universal, yang dalam pepatah Inggeris diungkapkan dengan “East, west, home’s the best.” Dari timur membawa ke barat, pertiwi tetap yang terhebat.
Bukti rasa cinta kepada tanah air ialah kesediaan dan kesanggupan untuk berkorban. Pelbagai cabaran akan mendatangi nusa dan bangsa dalam hidup seharian. Seorang patriot tidak akan lari walau apapun tantangan yang mengganggu. Patriot tulen sentiasa berani dan sedia berkorban masa dan tenaga demi kejayaan dan kemakmuran pertiwi.
Malahan, dalam keadaan yang luar biasa dan istimewa, patriot rela mati dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air. Antara kehormatan terbesar yang mampu dicapai, tetapi jarang berlaku seperti wabak pandemik COVID-19, adalah berkorban jiwa dan nyawa dalam menghadapi bahaya di barisan hadapan, demi melindungi umat dan watan.
Bagaimanakah cara terbaik untuk membentuk perasaan cintakan tanah air hingga sedia berkorban? Pertamanya, kita harus memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada Maha Pencipta kerana Malaysia sebuah Negara yang bertuah. Aset kita yang paling utama ialah Warga Malaysia yang mementingkan kerukunan, kedamaian dan kesepakatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran untuk menongkah ke hadapan.
Saiz geografi negara Malaysia amatlah sederhana, tetapi komposisi kaumnya unik dan istimewa. Rakyatnya mencerminkan bangsa-bangsa besar dunia, seperti Melayu, Cina, India, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, masyarakat Orang Asli dan berbagai-bagai lagi. Agama-agama teragung di dunia hidup bertumpu di Malaysia: Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dan ajaran Lao Tzu dan Kung Fu Tzu.
Kedua, Bahasa Kebangsaan yang dihayati sebagai bahasa perpaduan juga mampu memupuk patriotisme. Berperanan menjadi saluran perhubungan yang sihat antara satu jiwa dengan jiwa yang lain, Bahasa Kebangsaan berupaya menggerakkan perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat seluruhnya. Sebahagian daripada keperibadian dan patriotisme kita bergantung kepada pendaulatan dan kecintaan kepada Bahasa Kebangsaan.
Ketiga, pemangkin patriotisme berupa perkongsian nasib dalam sejarah kehidupan. Iaitu, berkongsi ingatan dan kenang-kenangan yang sama; bersama rasa bangga bila negara berjaya; dan, ikut rasa malu bila gagal.
Ikut serta dalam sentimen suka dan duka adalah mencabar untuk dilaksanakan dalam latar-belakang berbeza taraf sosio-ekonomi, aneka ragam ideologi politik, kepelbagaian bahasa dan warna-warni budaya.
Justeru pentingnya faktor keempat iaitu, sistem pendidikan yang memupuk semangat kebersamaan. Untuk berkongsi pengalaman dan harapan dalam sejarah kehidupan, warga Malaysia perlulah sama-sama dibesarkan berasaskan budaya dan ajaran tempatan. Dengan itu, mereka akan menyerap perasaan hormat kepada nilai Malaysia yang berasaskan sopan dan santun.
Rukun Negara amat menekankan kesopanan dan kesusilaan sebagai nilai yang paling penting dalam konteks perhubungan antara warganegara dari pelbagai latar-belakang.
Sebaliknya, sifat angkuh dan menyinggung perasaan orang lain adalah dikutuk—sama ada kesombongan atas dasar harta, keangkuhan kuasa politik, mahupun cauvinisme bahasa dan budaya. Berlawanan dengan patriotisme, keangkuhan hanya melahirkan perasaan renggang dan terasing daripada negara sendiri.
Pendidikan keluarga perlulah melalui contoh dan teladan ibu-bapa yang sentiasa mengingatkan anak-anak akan kepentingan tanah watan. Pemimpin masyarakat dan kerajaan juga harus cekap dan mampu menyentuh perasaan rakyatnya. Rakyat yang dipenuhi keperluannya akan menghargai jasa pertiwi yang tidak ternilai.
Dengan pendidikan patriotis yang sewajarnya, pasti generasi hadapan akan menghargai antara satu dengan yang lain, seterusnya menolak sebarang ancaman yang boleh mengeruhkan suasana.
Nilai-nilai penting masyarakat seperti Keamanan, Kedamaian dan Ketenteraman adalah antara anugerah tertinggi daripada Tuhan. Islam mewajibkan hubungan sesama manusia berdasarkan rasa belas-kasihan, kemesraan dan setia-kawan. Ia menggalakkan sifat berlapang dada, saling memaafkan kelemahan, bermurah hati, beramah-tamah, dan sukacita apabila orang lain meraih kejayaan dan kemakmuran.
Rasulullah SAW menganjurkan berbelas-kasihan dan sopan-santun dalam perhubungan. Baginda SAW bersabda, “Kasihilah buat manusia yang lain apa yang anda kasihi buat diri sendiri.” Dalam kesempatan lain, Rasulullah SAW menasihatkan, “Sesiapa yang tidak sayang kepada manusia, tidak disayangi oleh Allah,” dan,”Hati itu cinta kepada mereka yang baik kepadanya dan benci kepada mereka yang menyakitinya.”
Justeru ulama mentafsirkan riwayat “Cintakan watan sebahagian daripada iman” sebagai merujuk kepada faktor belas-ihsan kepada golongan fakir-miskin yang tidak berdaya dan kasih-sayang sesama saudara sewarga.
Islam agama sejagat yang mengiktiraf kepelbagaian umat manusia sebagai satu tanda kebesaran Allah SWT mencipta penghuni alam ini dalam pelbagai rupa dan bahasa.
Perkara ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa kalian dan berlain-lainan pula warna kulit kalian sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (yang menunjukkan kebijaksanaan Allah SWT) bagi orang-orang yang berilmu” [surah al-Rum, ayat 22].