Persepsi secara umumnya dijelaskan sejauhmana sesuatu itu dianggap, dipercayai atau pandangan yang sering dipegang oleh ramai orang berdasarkan keadaannya yang dapat dilihat. Dalam ekonomi, persepsi memberi kesan kepada rantaian sesebuah pasaran kerana pada dasarnya, ekonomi itu sendiri bergantung kepada andaian. Sebagai contoh, terdapat persepsi yang dikenal pasti di peringkat kebangsaan, menyumbang kepada permintaan dan penawaran yang tidak secocok (mismatch) dalam pasaran buruh muda.
Dalam Islam, individu yang telah baligh boleh dipertanggungjawabkan dengan kewajipan syarak. Walaupun demikian, masih ada pertimbangan tertentu apabila melibatkan kanak-kanak baligh yang belum matang akalnya. Hal ini termasuklah campur tangan wali dalam menentukan baik buruk sesuatu kepada kanak-kanak tersebut. Justeru, apabila terdapat undang-undang dan akta yang melindungi kanak-kanak (misalnya yang berusia antara 15–17 tahun) dalam pekerjaan, maka ia adalah satu perkara yang dialu-alukan.
Islam amat menitik beratkan aspek hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan. Pekerja perlu melakukan tugasan sebagaimana yang telah dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan. Manakala majikan pula perlu membayar upah yang telah dipersetujui sekalipun pekerjanya itu masih muda. Tidak ada ruang bagi majikan untuk mengambil kesempatan di atas usia pekerja tersebut.
Dalam konteks upah dan gaji, keengganan majikan untuk membayar sebagaimana yang dipersetujui boleh menjadikan mereka sebagai “musuh Allah”. Sebuah hadis dalam sahih Bukhari bermaksud: Allah berfirman. Ada tiga macam Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat. (l) Orang yang memberi kerana Ku kemudian tidak diakuinya, dan (2) Orang yang menjual orang yang merdeka, kemudian dimakannya wang harganya, dan (3) Orang yang mengupah kepada pekerja lalu disuruh sempurnakannya kerja itu dan tidak dibayarnya upah pekerja itu.
Mengapa soal upah dan gaji menjadi sesuatu perkara yang kritikal? Sebuah laporan hasil kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk The School-To-Work Transition of Young Malaysians yang dikeluarkan pada penghujung tahun lalu ada menemukan persepsi tentang gaji yang telah menyebabkan wujudnya ketidakserasian dalam permintaan dan penawaran buruh muda.
Secara umumnya, kajian ini mendapati bahawa pengangguran dalam kalangan anak-anak muda di antara usia 15–29 tahun adalah tinggi. Soal selidik ini turut mengambil maklumat individu di peringkat sekolah. Didapati sebahagian daripada ibu bapa dan pelajar sendiri misalnya menganggap pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) sebagai aliran ‘kelas kedua’ atau jalan akhir bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Sedangkan kajian KRI mendapati wujud perbezaan gaji yang bermakna antara graduan TVET dengan graduan kemahiran yang lain.
Selain itu, persepsi tentang graduan meminta gaji yang tinggi bagi pekerjaan yang dimohon juga perlu diubah. Hal ini kerana kajian mendapati, anak-anak muda meletakkan gaji minimum yang boleh dipertimbangkan mereka adalah sekitar RM1715 sebulan. Manakala majikan pula mempunyai persepsi bahawa graduan khususnya meletakkan sasaran gaji di antara RM2400–RM3000 sebulan.
Selain itu, anak-anak muda percaya bahawa pekerja asing, termasuk yang berkemahiran rendah memberi saingan kepada mereka. Mereka menyebut bahawa keengganan untuk bekerja dalam sektor 3D (dirty, dangerous & difficult) bukanlah kerana pekerjaan itu sendiri. Akan tetapi, ia disebabkan oleh penawaran upah yang begitu rendah. Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017 ada menyebut tentang lebih kurang 40% daripada 200,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, bekerja dalam bidang separa mahir dan rendah. Maknanya, jenis pekerjaan tersebut bukanlah sebab utama anak-anak muda enggan bekerja.
Ketidakserasian ini sebenarnya telah bermula di peringkat alam persekolahan lagi apabila aliran TVET seperti yang telah dinyatakan, dianggap sebagai ‘kelas kedua’ manakala aliran STEM pula sukar. Sedangkan pada hakikatnya, aliran TVET memberi nilai tambah kepada graduan, manakala graduan STEM adalah yang diperlukan dalam industri terkini. Tetapi, hanya seramai 32% pelajar peringkat tertiari di seluruh Malaysia yang mengambil bidang berkaitan STEM.
Dalam perkembangan ekonomi digital, ada jangkaan kepada permintaan pekerja mahir dalam teknologi pintar bagi mengurangkan kos. Firma-firma yang berkepentingan menjangkakan bahawa mereka sukar mendapat bakat di Malaysia dan mungkin perlu mengimport tenaga kerja mahir asing. Inilah yang akan berlaku jika persepsi tentang sesuatu aliran pendidikan itu tidak diubah di peringkat alam persekolahan lagi yang menyebabkan Malaysia tidak mengeluarkan kemahiran yang diperlukan industri.
Menyedari hal ini, beberapa langkah boleh dicadangkan seawal peringkat sekolah lagi. Pertama, jika selama ini mungkin hanya pelajar sahaja difokuskan tentang potensi pendidikan TVET, kini, ibu bapa juga perlu diberi penerangan bersama agar tidak lagi menganggap bahawa bidang ini hanya untuk pelajar kurang cemerlang. Sebaliknya, ibu bapa perlu menyokong dan menggalakkan anak-anak yang menunjukkan minat dalam aliran tersebut.
Kedua, sektor 3D perlu ‘dijenamakan’ semula untuk menarik minat pekerja muda tempatan. Hal ini termasuklah menyemak tangga gaji dan manfaat pekerjaan; menggunakan teknologi terkini yang sesuai, serta; meneruskan kempen-kempen hijau dan amalan kebersihan kepada masyarakat.
Ketiga, berkaitan peningkatan gaji minimum kepada RM1100 bermula Januari ini, secara tidak langsung ia menggambarkan Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat berpendapatan tinggi. Justeru, produktiviti pekerja perlu ditingkatkan seiring dengan pertambahan gaji semasa. Kedua-dua majikan dan pekerja perlu mencari titik pertemuan seperti bersedia berkongsi keuntungan dengan membayar gaji yang setara kemahiran dan produktiviti. Pekerja pula perlu bersedia meningkatkan produktiviti dan nilai tambah diri mereka melalui latihan atau pendidikan.
Pada akhirnya, Malaysia berbanding dengan negara serantau seperti Thailand dan Singapura masih lagi bertuah kerana populasi kumpulan umur bekerja negara adalah di peringkat progresif dengan umur penengah 28.2 tahun pada 2015. Justeru, permintaan dan penawaran buruh muda perlu diperbetulkan dengan mengubah persepsi lapuk tentang buruh tempatan dan menggalak individu untuk meneruskan pendidikan dan latihan sepanjang hayat.