Isu yang hangat dibincangkan di media sosial ketika ini ialah berkaitan dengan kempen keutamaan membeli barangan orang Islam yang telah dilancarkan oleh pertubuhan-pertubuhan tertentu. Kempen ini telah menimbulkan berbagai-bagai reaksi, ada yang bersetuju dan ada yang menentang serta tidak kurang juga yang menjadikan kempen ini sebagai batu loncantan untuk kepentingan politik. Dalam artikel ini, saya cuba mengupas isu berkenaan supaya kita dapat melihat dari berbagai-bagai perspektif.
Pertama sekali kita perlu fahami atau kita sepatutnya dapat membezakan dua perkataan ini iaitu “mengutamakan produk Muslim” dan “memboikot produk non-Muslim”. Kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud dan kesan yang berlainan. Mengutamakan atau priority adalah bermaksud kita memberi keutamaan tetapi kita tidak memboikot.
Sebagai contoh, dalam kita mengurus kerja seharian, semua kerja tersebut adalah penting untuk kita selesaikan dalam tempoh masa tetapi kita mestilah pandai untuk menyempurnakan kerja kita mengikut keutamaan dan kita tidak memboikot kerja tersebut.
Begitu juga terhadap produk yang berada di pasaran, bagi seseorang Muslim disarankan untuk mengutamakan membeli produk daripada pengeluar Muslim. Mengutamakan produk Muslim ini pada asasnya akan memberi kebaikan kepada Muslim itu sendiri. Apabila perniagaan Muslim itu bertambah maju maka peniaga-peniaga Muslim tersebut dapat bersedekah (2:271).
Begitu juga dengan kewajipan membayar zakat (2:43) dan juga dengan infak. Terdapat beberapa perkara yang disebut di dalam al-Quran berkaitan dengan infak. Antaranya ialah anjuran untuk berinfak (2:261) dan ancaman bagi orang yang tidak menginfakkan hartanya (3:180) dan berwakaf (3:92). Produk-produk daripada pengeluar Muslim ini sudah semestinya kita yakin dengan status halalnya.
Seperkara lagi, berkaitan dengan produk halalan tayyiban ini bukan sahaja dilihat dari segi penggunaannya tanpa was-was tetapi ia dapat memberi impak terhadap ekonomi. Bagi pengeluar non-Muslim tujuan mereka memohon logo halal adalah semata-mata untuk memasuki pasaran Muslim di dalam dan luar negara iaitu produk halal yang dilihat dari sudut ekonomi.
Namun, sekiranya pengguna Muslim ingin membeli produk daripada non-Muslim atas sebab pertimbangan mereka seperti lebih kualiti, harga lebih murah dan perkhidmatan yang lebih bagus maka kempen ini tidak menjadi masalah bagi mereka kerana hak membeli ini terpulang kepada individu sebagaimana syarat-syarat jual beli adalah reda atau suka sama suka (4:29).
Jika hak membeli ini kita lihat dari segi sejarah, pada tahun 1981 iaitu setelah 2 bulan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4, beliau telah melancarkan kempen Buy British Last. Kempen ini bermakna membeli barangan British sebagai pilihan terakhir, [Far Eastern Economic Review, October 9, 1981]. Kempen ini adalah untuk menyatakan tentangan dan ketidakpuasan hati tindakan British kepada Malaysia dengan menggunakan hak sebagai pengguna.
Jika kita masih ingat kempen hak sebagai pengguna ini dilaksanakan atas 3 sebab. Pertama apabila kerajaan British telah menaikkan yuran pengajian pelajar daripada $300 ke $900 yang menyusahkan 13,000 pelajar tajaan Malaysia yang belajar di Britain, [New Strait Times, 27 May 1981].
Kedua, Tun Dr. Mahathir telah mengarahkan supaya syarikat Guthrie ketika itu milik syarikat British yang mempunyai 200,000 ekar ladang getah di Malaysia kembali menjadi milik rakyat Malaysia.
Ketiga, tindakan British yang tidak memberi hak pendaratan tambahan kepada Malaysia Airline di Lapangan Terbang Heathrow.
Ketiga-tiga perkara ini telah menimbulkan kemarahan kepada Tun Dr. Mahathir. Beliau adalah seorang pemimpin yang cintakan agama, bangsa serta negara dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya. Peristiwa ini memberi kesan kepada negara menyebabkan Tun Dr. Mahathir melakukan “serang hendap” di London Stock Exchange (LSE) yang dikenali sebagai operasi “Dawn Raid”. Akhirnya, Malaysia sebagai sebuah negara kecil telah berjaya mengambl alih syarikat Guthrie melalui pasaran terbuka. Atas sebab peristiwa ini dengan segera LSE telah menukar kod pengambilalihan (take over) untuk mengelakkan Malaysia mengambil alih syarikat-syarikat yang lain.
Selepas 5 bulan Malaysia memperkenalkan kempen ini maka pada Februari 1982, British telah menghantar Setiausaha Luarnya, Baron Carrington dan Menteri Pertahanan John Notts untuk bertemu dengan Tun Dr. Mahathir tetapi Tun Dr. Mahathir tidak mahu berjumpa.
Akhirnya, Margaret Thatcher yang dikenali sebagai wanita besi ingin menamatkan kempen ini dan beliau berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir dan kempen ini pun ditamatkan.
Pengajaran daripada peristiwa ini ialah, hak kita sebagai pengguna adalah senjata yang dapat kita gunakan untuk menyatakan sesuatu. Hak sebagai pengundi hanya boleh disuarakan setiap 4 tahun sekali tetapi hak sebagai pengguna hampir setiap masa.
Selain itu, ingin saya kongsikan pengalaman berkaitan dengan hak pengguna. Bagi sesiapa yang pernah bekerja di syarikat Jepun mereka mesti ada pengalaman melihat bagaimana Jepun mengutamakan produk mereka. Sebagai contoh, apabila syarikat Jepun datang ke Malaysia dan membina kilang di Malaysia, mereka tidak akan sesekali menggunakan barang-barang buatan Malaysia. Mereka akan menggunakan barangan atau perkhidmatan Jepun sama ada yang sedia ada di Malaysia atau yang diimport dari Jepun. Mereka mempunyai satu sistem yang lengkap bermula daripada bahan mentah raw material sehingga ke produk akhir. Syarikat penghantaran, syarikat insuran, syarikat pembinaan, syarikat pendawaian, syarikat yang membekalkan bahan-bahan mentah dan lain-lain akan saling bantu-membantu yang mana kesemuanya ini adalah milik syarikat Jepun walaupun syarikat-syarikat tersebut menawarkan harga yang mahal.
Begitu juga pada masyarakat Cina, mereka mungkin lebih senang atau selesa untuk berurus niaga dengan bangsa mereka sendiri. Faktor ini mungkin banyak persamaan dari segi bahasa, budaya dan adat resam. Sebagai contoh, mereka akan memilih kontraktor, kedai hardware, bengkel kenderaan, kedai makan dan lain-lain dalam kalangan bangsa mereka sendiri. Perkara ini telah lama berlaku sejak zaman-berzaman dan mereka mempunyai rangkaian yang lengkap serta mantap dalam bidang ekonomi ini. Ini adalah kerana ia bermula dari sikap bantu-membantu dalam kalangan mereka.
Kempen mengutamakan produk Muslim ini bukanlah hanya di Malaysia tetapi ia telah merebak ke Indonesia dan mungkin ke beberapa negara lain atau ke seluruh dunia. Kempen ini juga akan dibangunkan bersama aplikasi. Aplikasi ini seperti mana Lazada atau Ali Baba cuma yang berbeza ialah hanya produk-produk daripada pengeluar Muslim sahaja dibenarkan untuk memasarkan produk mereka supaya pengguna tidak perlu ragu-ragu terhadap status halal walaupun tidak mempunyai logo halal di samping usaha untuk membantu ekonomi umat Islam sejagat.
Akhir sekali, apapun kempen yang dilaksanakan hanyalah sebagai kempen dan tidak memaksa mana-mana pihak. Begitu juga dengan kempen mengenai bahaya menghisap rokok yang dilaksanakan oleh kerajaan walaupun kempen ini telah bertahun-tahun dilaksanakan tetapi sehingga hari ini masih ada orang yang menghisap rokok.