Tanggal 2 Januari pada setiap tahun bagi sebahagian besar negeri-negeri di seluruh Malaysia mempamerkan keceriaan dan kegusaran kanak-kanak bersama ibu bapa untuk memulakan persekolahan formal sebagai pelajar tahun 1. Besar harapan ibu bapa dan masyarakat keseluruhannya agar anak kecil ini menjadi individu yang berjaya dalam kehidupan mereka seterusnya dapat menyumbang kepada agama dan negara.
Pendidikan kepada anak-anak kecil bermula dengan bimbingan ibu bapa sebagai orang yang memegang amanah menjaga dan paling hampir dengan mereka. Walau bagaimanapun, tidak semua anak-anak kecil bertuah mendapat bimbingan awal ibu bapa kerana ada sebahagiannya tinggal bersama penjaga, institusi kebajikan, pengaruh sekeliling mahupun hidup dalam pengabaian ibu bapa. Lantas kaedah bimbingan awal kepada kanak-kanak ini ada kalanya tidak dapat dipenuhi sebagaimana yang diingini.
Justeru, anak-anak kecil yang mula mendaftar sebagai pelajar tahun 1 terdiri bukan sahaja daripada pelbagai bangsa dan agama tetapi juga daripada pelbagai latar belakang bimbingan awal dan sosioekonomi. Maka, perbezaan yang begini menjadi satu cabaran yang besar, bukan sahaja kepada guru-guru dan pengurusan sekolah, bahkan kepada ibu bapa dan juga masyarakat dalam memastikan pengaruh kurang baik tidak menular kepada anak-anak kecil ini.
Dalam perkembangan semasa pendidikan, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan kes seorang guru sekolah kebangsaan didakwa mencederakan pelajarnya yang kemudiaannya guru ini dilepaskan tanpa dibebaskan. Menurut laporan media, pelajar tersebut dikatakan mempunyai pelbagai masalah disiplin dan tertangkap ketika sedang melakukan kesalahan di sekolah. Sebagai pendidik yang sejati, guru ini dikatakan tidak berdendam dan mendoakan agar pelajar tersebut akan tetap berjaya pada masa yang akan datang.
Kes ini mendapat liputan meluas daripada pengguna media sosial yang sangat berkobar-kobar untuk menjadi hakim dan tuhan sehingga terlupa tentang perkara utama berkaitan kes; iaitu masa depan seorang kanak-kanak. Semua pihak baik guru, ibu bapa dan pelajar mahu lakukan yang terbaik dalam proses pendidikan ini tetapi setiap perbuatan mereka ada batasannya. Secara prinsipnya, ruang komunikasi perlu diperbaiki oleh semua pihak termasuklah berusaha untuk mengendurkan ego masing-masing apabila melibatkan aspek pendidikan kepada kanak-kanak.
Tanpa merujuk kepada sikap segelintir ibu bapa, guru mahupun kes tertentu, kita bercakap tentang hidup kanak-kanak yang dibunuh karekternya oleh pengguna media sosial. Bahkan kita juga lihat banyak lontaran persoalan tentang, adakah kita ingin lagi menghadapi ‘episod kedua’ pembakaran sebuah sekolah tahfiz oleh sekumpulan kanak-kanak yang mengorbankan puluhan nyawa? Akan tetapi, benarkah dengan hukuman pembunuhan karekter mahupun kecederaan fizikal mampu mengubah anak-anak menjadi lebih baik pada hari ini? Bagi menjawab persoalan ini, amat penting untuk kita memahami dan mengetahui definisi dan hak kanak-kanak dalam konteks negara dan agama.
Secara umumnya di Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001. Oleh yang demikian, secara umumnya kanak-kanak yang melakukan kesalahan yang berat tidak boleh dijatuhkan hukuman mati.
Dalam Islam, seorang kanak-kanak dikatakan mencapai umur baligh apabila tanda-tanda kematangan seksualiti telah jelas seperti didatangi haid dan keluar air mani. Pada ketika ini, menurut pandangan ulama, anak-anak telah mencapai usia baligh dipertanggungjawabkan segala kewajipan syarak juga bermula catatan dosa dan pahala buat mereka. Maka secara umumnya bermaksud, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syarak sekiranya melakukan kesalahan.
Walau bagaimanapun, dalam membahaskan aspek kanak-kanak, sekalipun anak itu telah mencapai usia baligh menurut agama, dia tidak semestinya boleh diandaikan memiliki kematangan mental sepenuhnya seperti orang dewasa. Sebagai contoh, bagi kanak-kanak perempuan, ada di antara mereka didatangi haid seawal usia 9 tahun di mana pemikirannya masih belum matang. Justeru kita ada melihat ulama membuat pendirian tertentu untuk melindungi kemaslahatan anak-anak ini sekalipun dia telah baligh seperti melarang, mengetat undang-undang atau tidak menggalakkan perkahwinan pada usia kanak-kanak seperti dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia (2015).
Dari segi kelayakan sah berkenaan hak dan tanggungjawab dalam agama (ibadah), dan banyaknya disentuh dalam konteks pengurusan harta, terdapat dua jenis kelayakan atau ahliyyah kepada manusia iaitu ahliyyah al-wujub dan ahliyyah al-ada’. Secara umumnya ahliyyah al-wujub ialah tentang kelayakan menerima hak dan terbahagi kepada dua; menerima hak yang tidak sempurna (ahliyyah al-wujub al-naqisah) seperti janin di dalam kandungan untuk menerima pusaka, dan; menerima hak sempurna (ahliyyah al-wujub al-kamilah) yakni bayi yang lahir sehingga usia mumayyiz yakni sekitar 7 tahun seperti menerima hibah. Pada peringkat usia begini, individu tersebut tidak bertanggungjawab ke atas janji dan kontrak yang dilakukannya.
Ahliyyah al-ada’ pula secara umumnya ialah tentang kelayakan melaksanakan atau menunaikan sesuatu tanggungjawab atau perkara. Kelayakan ini juga wujud pada dua peringkat iaitu kelayakan untuk melaksanakan sesuatu tetapi tidak sempurna (ahliyyah al-ada’ al-naqisah); lazimnya di peringkat usia mumayyiz sehingga baligh seperti ibadahnya diberikan ganjaran. Kedua, kelayakan untuk melaksanakan sesuatu secara sempurna (ahliyyah al-ada’ al-kamilah) di peringkat selepas baligh yakni dikira sebagai mukallaf.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang telah mencapai usia baligh tetapi tidak mencapai pembangunan mental yang sepenuhnya diletakkan di bawah kategori ahliyyah al ada’ al-naqisah (kelayakan untuk melaksanakan sesuatu tetapi tidak sempurna) dan memerlukan pengawasan daripada orang lain.
Bahkan dari segi pengurusan harta, harta kanak-kanak sekalipun telah mencapai usia baligh namun pemikirannya masih ‘belum matang’, tidak boleh diserahkan kepadanya secara mutlak. Justeru ada pandangan yang meletak usia tertentu seperti 18 tahun sebagai penunjuk kepada ‘kematangan’ individu tersebut lalu boleh diserahkan pengurusan hartanya kepada dirinya sendiri. Selain itu juga, terdapat halangan-halangan yang boleh menghilangkan kelayakan (ahliyyah) sempurna individu dalam menerima hak dan pertanggungjawaban sama ada faktor yang boleh dikawal seperti mabuk atau yang tidak boleh dikawal seperti safih dan gila.
Jika dilihat daripada jenis-jenis kelayakan ini, sekalipun perbincangannya banyak mengkhusus tentang aspek pengurusan harta; mengikut pandangan Islam, perkembangan mental individu memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kelayakan bagi setiap perbuatan mereka. Berbalik kepada pokok perbincangan, bagaimana menentukan bentuk pendidikan seperti hukuman ke atas kanak-kanak yang masih belum mencapai perkembangan mental yang sempurna sekalipun telah baligh pada usia 9 tahun (misalnya) apatah lagi yang masih belum baligh?
Tidak dapat dinafikan pada era globalisasi ini kanak-kanak terdedah dengan pelbagai unsur di luar bimbingan awal keluarga. Ditambah lagi dengan tekanan sosioekonomi sekalipun tidak mewajarkan pengabaian kepada kanak-kanak, itulah di antara faktor yang sangat menekan setiap keluarga demi kelangsungan hidup. Akhirnya kanak-kanak dilihat ‘matang’ dari segi gesaan seksualiti dan kegiatan ‘masa lapang’ mereka berbanding matang dari segi perkembangan mental yang sihat.
Inilah sebenarnya cabaran yang paling genting dalam aspek bimbingan awal kanak-kanak serta memerlukan kerjasama semua pihak. Ibu bapa, para guru dan semua ahli masyarakat tidak boleh bertindak sendirian dalam menghadapi cabaran ini. Memberi pendidikan dan bimbingan awal kepada kanak-kanak diumpamakan sebagai membina negara kerana merekalah yang akan menerajui masa depan kita.
Pengawal seliaan kepada unsur luar perlu diperketat manakala tekanan dalam aspek sosioekonomi keluarga perlu dikurangkan. Ini termasuklah mengurangkan kos sara hidup agar wujud fleksibiliti kepada pengurusan masa ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Dalam mengejar kemajuan dalam teknologi dan ekonomi, kita tidak seharusnya melupakan unsur kemanusiaan kerana manusia itulah sumber utama kepada kejayaan yang kita impikan.