Dalam persoalan halal dan haram sepertimana yang telah disyariatkan oleh Allah SWT, manusia dapat meneroka sempadan kebaikan dan keburukan sebagai panduan asas untuk kepentingan kehidupan. Pembuktian saintifik melalui kajian dan penyelidikan menunjukkan bahawa setiap perkara yang halal mendatangkan manfaat manakala yang haram sudah pasti akan wujud mudarat bersamanya.
Namun, bagaimana untuk memastikan sesuatu produk makanan atau barangan kegunaan itu mematuhi apa yang dikehendaki oleh Islam? Sejauhmana keyakinan kita terhadap status halal makanan dan minuman serta barangan gunaan harian yang terdapat di negara ini? Sedarkah kita bahawa produk yang halal belum tentu ia adalah berkualiti (toyyib)? Halal bukan hanya terhad kepada bahan asas yang digunakan dalam menghasilkan produk akhir semata-mata. Malah, ia mencakupi konsep yang lebih luas bermula daripada peringkat awal sehinggalah produk itu siap dimakan/diguna. Di samping itu, ia juga perlu diasingkan daripada bahan-bahan lain yang tidak halal, tidak bersih serta tidak menepati syarat yang digariskan oleh Islam.
Terlalu banyak cabaran yang menjengah kehidupan masyarakat hari ini berkait dengan halal dan haram dan mungkin ia akan terus menjadi permasalahan sekiranya tiada jalan yang tuntas dalam membuka penyelesaiannya. Lantaran pelbagai cabaran pemakanan halal yang mendepani masyarakat pada hari ini, memperlihatkan masyarakat semakin prihatin terhadap apa yang dimakan dan digunakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud, “barangsiapa yang berusaha mencari untuk keluarganya perkara yang halal, dia seperti seorang yang berjuang pada jalan Allah. Dan barangsiapa yang mencarinya dengan menjaga maruah dirinya, dia berada pada darjat para syuhada.”- Riwayat at-Tabrani. Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran. Inilah senario yang berlaku dalam dunia hari ini. Ditambah lagi dengan teknologi yang semakin moden, maka makanan atau produk semakin kompleks penghasilannya.
Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat, halal dan haram, kebersihan dan juga penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi sikap dan tingkahlaku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan makanan secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan Islam disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan dan persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat.
Kebanyakan pengguna bukan Islam di Malaysia masih lagi melihat produk yang dilabel halal dari perspektif agama. Masyarakat Cina dan India tidak terlalu mengambil berat sama ada produk yang diambil adalah halal atau tidak. Namun, mereka masih menghargai nilai dan kelebihan yang mendasari produk halal termasuklah proses kebersihan produk halal sebelum berada di pasaran. Pengguna bukan Islam di Rusia membeli produk daripada peruncit Islam kerana percaya produknya adalah selamat, segar, bebas daripada jangkitan penyakit dan percaya bahawa setiap Muslim terikat dengan kepercayaan mereka yang tidak menipu. Di Filipina, masyarakat bukan Islam juga cenderung untuk membeli makanan yang mempunyai logo halal atas alasan kesihatan. Masyarakat Filipina telah mula beralih mencari produk halal kerana percaya ianya adalah selamat, sihat dan baik untuk digunakan.
Justeru, makanan dan barangan kegunaan yang halal mendapat tempat di hati pengguna apatah lagi bagi yang beragama Islam. Sudah tentu halal menjadi perkara pokok dalam setiap pemilihan makanan dan poduk kegunaan harian. Walau bagaimanapun, pelbagai isu yang timbul pada hari ini menyebabkan masyarakat sering menjadi keliru dan kelam-kabut. Namun begitu, isu yang menjadi dilemma ini bukanlah satu penghalang untuk mencari yang halal malah ia menjadi satu loncatan agar masyarakat menjadi lebih berilmu dan bermaklumat.
Cabaran dalam bab halal pada hari ini bukanlah kecil tetapi memerlukan kesabaran dan ketahanan yang tinggi. Apatah lagi kita menghadapi lambakan produk makanan dan barangan yang lain di pasaran menyebabkan kita mempunyai banyak alternatif namun perlu diperhati dan diteliti. Hakikatnya, mungkin berpada-pada atau berkadar dengan apa yang halal adalah lebih baik berbanding kita berkenyang-kenyangan dengan yang haram.
Penggunaan bahan tambah makanan adalah cabaran kepada umat Islam kerana proses penghasilan dan sumber bahan penambah itu sendiri mungkin menggunakan ramuan haram yang dimasukkan ke dalam produk makanan halal. Walaupun penggunaannya dibenarkan dalam aras yang ditentukan, yang menjadi persoalannya ialah apakah ia bakal mengundang kemudaratan kepada kesihatan, jika terus digunakan dalam makanan yang diambil oleh manusia setiap hari? Satu perkara lagi yang menimbulkan dilema ialah jika bahan tambah makanan itu berasal daripada haiwan yang diharamkan, sekaligus menjadikannya haram dimakan oleh umat Islam. Bagaimana pula dalam situasi di mana kadangkala semasa proses pembuatan sesuatu bahan makanan/minuman mungkin akan terhasil unsur-unsur yang diharamkan? Oleh itu, penglibatan penyelidik dalam mengkaji kesan jangkamasa pendek dan panjang sesuatu bahan tambah menyediakan satu cabaran besar yang akan memberi impak kepada kesihatan awam apatah lagi yang melibatkan unsur halal dan haram bahan tambah makanan tersebut.
Ketidaktelusan pengeluar dalam pelabelan makanan akan memberi impak yang buruk kepada pengguna mahupun pengeluar itu sendiri. Isu ini memberi cabaran yang besar kepada masyarakat pengguna dalam memilih makanan yang terbaik lebih-lebih lagi jika pelabelan makanan mengelirukan. Kekeliruan yang timbul bukanlah perkara kecil kerana ia bakal memberi kesan kepada pemilihan makanan. Contohnya dalam isu kod E yang menjadi tanda tanya yang masih terbuku di hati masyarakat awam. Sesetengah pengguna yang prihatin dan teliti dengan sesuatu produk akan melihat kandungan makanan tersebut, namun ada juga yang tidak mengambil endah.
Dalam isu ini, satu langkah yang proaktif perlu dimainkan oleh pihak yang berkewajipan agar masyarakat kita terus tidak dibelit dengan kekeliruan. Contohnya, mungkin dapat disampaikan maklumat dalam bentuk yang mudah dan istilah yang difahami oleh segenap lapisan masyarakat berbanding dengan istilah-istilah saintifik. Paling tidak pun masyarakat mengharapkan senarai atau maklumat dihebahkan secara saksama dan berkesan.
Masyarakat mudah terdedah dengan pelbagai jenis maklumat palsu sama ada melalui emel atau sms. Isu-isu yang diutarakan selalunya merupakan khabar angin yang belum tentu kesahihannya. Namun, ia terus diwawarkan dan dijadikan polemik dalam masyarakat. Ia merupakan satu cabaran bagi masyarakat pengguna dalam mencari makanan yang halal. Justeru, untuk mengatasi cabaran ini bukanlah suatu yang mudah, maka ilmu dan maklumat yang betul dapat mengelakkan diri individu daripada mempercayai secara semberono tentang sesuatu isu. Malah, jika tiada maklumat yang betul, rujukan yang boleh dipercayai adalah dengan pihak yang bertauliah tentang sesuatu isu contohnya JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri. Dalam isu halal, pihak yang berautoriti perlu mempunyai saluran yang berkesan dalam memberikan informasi yang sahih kepada pengguna contohnya melalui laman web, radio, televisyen dan juga talian bebas tol.
Dalam mengharungi perkembangan semasa yang global, banyak perkara termasuk makanan dan barang kegunaan perlu diteliti dan diperiksa dengan sewajarnya. Masyarakat harus sedar dalam mencari yang halal, sisi-sisi kualiti, baik dan berkhasiat juga perlu diberi perhatian. Sekiranya disedari bahawa terdapat ramuan haram dalam sesuatu produk maka wajib kita menghindarinya. Dengan segala cabaran dalam dunia yang semakin maju, wajarlah setiap individu mencari ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul. Ilmu dan maklumat bakal menjadi satu solusi yang terbaik sekiranya kita menghadapi apa jua permasalahan berkaitan dengannya. Melihat daripada penjuru yang positif, segala cabaran yang dihadapi dalam menyelesaikan kemelut pemakanan halal ini, akan mendidik masyarakat pengguna menjadi pengguna yang bijak dan bermaklumat. Bukan sekadar untuk pemilihan makanan malah dalam mencari ilmu yang berkaitan halal dan haram. Sekurang-kurangnya, ia menjadi pendorong untuk mengatasi permasalahan tersebut dan menjadi batu loncatan kepada para penyelidik menjalankan kajian dan penyelidikan yang berterusan.
Selain daripada itu, sebagai menyahut seruan halal itu bermula daripada awalnya, maka seharusnya masyarakat Muslim yang terkehadapan membangunkan produk halal. Ia bukan sahaja memberikan keyakinan kepada setiap pengguna Muslim yang lain tetapi juga mengukuhkan ekonomi ummah. Umat Islam perlu berpaksikan kepada fakta dan kebenaran berasaskan syariat Islam dan berwaspada dalam apa jua tindakan yang melibatkan persoalan halal dan haram. Dan cabaran yang perlu dilalui oleh semua individu pada hari ini ialah berhati-hati dalam mencari dan memilih sesuatu makanan dan barang kegunaan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan. Selari dengan apa yang dirakamkan oleh ulama terkenal iaitu Abdullah Sahl al-Tusturi, “Sesiapa yang memakan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak.”