Jika kita ditanya tentang kementerian manakah yang paling sibuk sekarang ini, jawapannya tentulah Kementerian Kesihatan. Ini berikutan penularan virus influenza A (H1N1) di negara ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merujuk penularan ini sebagai satu pandemik di mana ia telah melanda lebih 170 negara. Sehingga 6 Ogos 2009, pertubuhan ini melaporkan sebanyak 177457 kes telah dikesan dengan 1462 kematian berlaku di seluruh dunia. Bagaimanapun WHO menyatakan bahawa angka sebenar jumlah jangkitan dan kematian adalah lebih tinggi daripada yang ia laporkan.
WHO juga menganggarkan seramai 5 juta atau 20 peratus rakyat Malaysia berisiko dijangkiti virus maut tersebut jika orang ramai tidak mengambil berat langkah pencegahan bagi menghalang penularannya. Secara congakan mudah, setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia berkemungkinan besar akan mendapat virus tersebut.
Memandangkan ramalan ini dibuat oleh pihak WHO, penulis berpandangan bahawa kita semua berhak untuk merasa bimbang akan tahap kesihatan yang kita kecapi sekarang. Begitu juga dengan langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa negara dalam menangani masalah tersebut. Walaupun kita tidak sepatutnya mempertikaikan kewibawaan pihak kementerian kesihatan dan pengamal kesihatan, namun apabila berhadapan dengan situasi genting sebegini, sesiapapun akan merasa tidak tenteram biarpun dijanjikan pelbagai jaminan keselamatan.
Apapun, selain daripada menyebabkan masyarakat berada dalam kegusaran, wabak ini juga merupakan satu ujian ke atas sistem pengurusan krisis penyakit Malaysia. Sebenarnya ini bukan kali pertama negara berhadapan dengan situasi sebegini. Malaysia sebelum ini pernah berhadapan wabak Nipah Encephalitis, Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) dan Selsema Burung (Avian Influenza). Namun sistem pengurusan krisis penyakit yang baik yang diamalkan oleh Malaysia berjaya mengendali wabak-wabak tersebut dengan pantas. Malah dua tahun lepas pihak WHO sendiri pernah mengiktiraf sistem pengurusan penyakit Malaysia yang dikatakan lebih teratur berbanding dengan beberapa negara jirannya dalam menangani ketiga-tiga wabak di atas.
Memandangkan wabak Influenza A ini masih belum dapat ditangani dengan sepenuhnya, jadi ia turut menjadi satu cabaran baru kepada sistem pengurusan krisis yang sedia ada. Selain daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakcepat Krisis [The Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC)] yang diwujudkan pada Mei 2007, pihak berkuasa juga telah membuka bilik gerakan Influenza A (H1N1) di setiap negeri selain menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri. Jadi kewibawaan dan reputasi sistem pengurusan penyakit yang sebelum ini diiktiraf oleh WHO sekali lagi akan dinilai oleh semua pihak berdasarkan kepada keberkesanan dan kecekapannya dalam mengurus wabak yang berlaku sekarang.
Dari segi sejarah, pihak kerajaan di semua peringkat, baik di peringkat tempatan, negeri atau kebangsaan memainkan peranan yang besar dalam pengurusan krisis. Malah pada pandangan sesetengah pemikir politik, pengurusan krisis secara amnya adalah satu peranan penting yang perlu dimainkan oleh mana-mana kerajaan. Sebagai contoh perkhidmatan-perkhidmatan yang bersifat mendesak seperti pasukan bomba atau polis merupakan satu bentuk kemudahan yang perlu diwujudkan oleh pihak kerajaan yang antara lain akan berperanan secara bersepadu dalam menangani sesuatu krisis yang mungkin berlaku.
Berbeza dengan pengurusan risiko yang lebih menjurus kepada usaha menilai ancaman yang mungkin berlaku dan mengenalpasti cara yang terbaik untuk mengelak risiko-risiko terbabit, pengurusan krisis melibatkan usaha mengurus sesuatu yang tidak diingini (sama ada bencana, wabak penyakit, krisis kewangan/ekonomi dan sebagainya) selepas ia berlaku. Ia merupakan satu bidang disiplin pengurusan yang terdiri daripada beberapa kemahiran dan teknik yang diperlukan bagi menilai, memahami dan menangani sebarang situasi genting. Secara amnya pengurusan krisis bermula dari detik pertama sesuatu situasi genting itu berlaku sehinggalah kepada saat ia dapat dipulihkan.
Selain kaedah yang digunapakai oleh sesebuah kerajaan atau organisasi mahupun agensi untuk menangani permasalahan tadi, unsur komunikasi adalah antara unsur terpenting yang perlu ada di dalam mana-mana sistem pengurusan krisis. Malah dikatakan antara kejayaan sesuatu sistem pengurusan krisis ialah dengan melaksanakan satu komunikasi yang bersifat terbuka dan konsisten.
Namun dalam kes Influenza A (H1NI) kita dapati ada kalanya wujud percanggahan antara arahan pihak kementerian dengan pengamal perubatan dan juga orang awam. Sebagai contoh, menteri kesihatan ada mengeluarkan kenyataan supaya semua pesakit yang berisiko perlu menjalani ujian H1N1. Namun berdasarkan kepada rungutan orang ramai di media massa, ada pengamal perubatan yang tidak berbuat demikian walaupun pesakit mendakwa pernah berhubungan dengan mereka yang mengidap virus itu.
Begitu juga dengan saranan supaya orang ramai supaya memakai penutup hidung dan mulut serta mengelak sebarang perhimpunan awam. Masih ramai yang tidak mengendahkannya malah ada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual penutup hidung dan mulut pada harga yang keterlaluan. Ini memaksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjadikannya sebagai barangan kawalan sementara berkuatkuasa serta merta dua hari lepas.
Apa pun bagi memastikan sesuatu pengurusan krisis ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerjasama daripada semua pihak adalah penting. Dalam kes H1N1 yang kita alami sekarang adalah tidak wajar kita saling tuding menuding jari mencari kesalahan dan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Sepatutnya kita perlu menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan wabak ini dapat di atasi dan situasi akan pulih seperti sedia kala.
Apa yang penting juga setiap daripada kita mengamalkan sikap kebersihan selain mengamal langkah berjaga-jaga. Aspek kebersihan adalah satu langkah awal pencegahan penyakit. Inilah juga yang sebenarnya ingin diajar oleh ajaran Islam kepada penganutnya. Manifestasi ini jelas wujud di dalam konsep “taharah” atau bersuci di mana kebersihan adalah pra syarat utama kepada penerimaan amal ibadat yang kita lakukan kepada Allah s.w.t. Namun dalam banyak keadaan kita gagal mengamalkannya di luar lingkungan ibadat sedangkan konsep tadi sepatutnya diamalkan di dalam kehidupan seharian. Akhirnya perkara-perkara asas pengurusan diri seperti sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri terpaksa diberitahu semula kepada kita dalam bentuk kempen-kempen yang sudah tentunya melibatkan kos yang asalnya adalah cukai yang kita sendiri bayar kepada pihak kerajaan!