Sesuatu yang menggembirakan apabila baru-baru ini iaitu di sekitar awal bulan Jun 2012 yang lalu, pihak kerajaan telah pun menetapkan akan menubuhkan pusat kesihatan mental komuniti bagi setiap negeri di negara ini. Sememangnya ini adalah satu langkah bijak dan proaktif bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan mental masyarakat di negara ini. Rakyat dan semua anggota masyarakat berasa sungguh bertuah kerana aspek penjagaan kesihatan mental mereka kini telah mula semakin mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya. Bagi para pesakit dan keluarga mereka khususnya, hak mereka untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya mereka berhak perolehi serta bebas dari stigma yang buruk dan negatif telah menjadi semakin cerah. Inilah yang sebenarnya semua rakyat mahukan. Dengan adanya usaha seperti ini, ia menandakan bahawa rakyat terutamanya para pesakit akan mendapat beberapa hak dan jaminan yang mereka berhak menerimanya, namun baru kini tiba masanya, dan yang telah lama diperolehi dan dinikmati oleh pesakit yang sama di negara-negara yang telah lama maju dalam sistem penjagaan kesihatan mental untuk para penduduknya.
Jika ditinjau dari segi sejarah perkembangan kesihatan mental di negara ini, ia memang tidak dapat lari dari perkembangan dunia sains kesihatan mental yang berlaku di negara-negara luar yang jauh lebih maju ke hadapan dan canggih dalam sistem perkhidmatan dan penyampaian kesihatan mental mereka. Perkembangan di sana tetap akan memberi kesan di dalam perkembangan sistem dan perkhidmatan kesihatan mental di negara ini. Pada peringkat awal kewujudan sistem perkhidmatan perubatan dan kesihatan mental dalam akhir kurun ke 18, ia lebih tertumpu kepada merawat pesakit mental dalam persekitaran yang amat terhad dan hanya melibatkan sekelompok pakar perubatan dan kesihatan mental sahaja. Dalam fasa pertama ini, perkhidmatan hanya terdapat di hospital-hospital mental sahaja. Para pesakit pula akan ditempatkan di hospital-hospital berkenaan dalam tempoh yang amat panjang dan berjauhan pula dengan kaum keluarga. Secara tidak langsung, mereka akan tersisih dari kelompok masyarakat awam. Keadaan ini telah didapati tidak membantu dalam proses pemulihan yang menyeluruh kepada pesakit mental. Di samping menyisihkan pesakit dari dunia luar, keluarga mereka dan masyarakat awam, ia juga meningkatkan stigma negatif dan pandangan buruk masyarakat terhadap golongan pesakit mental seperti mereka ini. Malahan, ia juga meningkatkan beban penjagaan dan kos rawatan para pesakit dan kewangan negara. Kaum keluarga dan masyarakat pula semakin menjauhi dari pesakit ini dan menganggap pesakit sebagai mahkluk yang pelik dan ganjil. Ini kerana pada ketika ini, pesakit mental dilihat sebagai mangsa kerasukan oleh makhluk halus dan ruh jahat dan lain-lain pengaruh yang berkaitan dengan alam ghaib. Ramai pesakit yang dirantai dan dikurung, dan wujud sesetengah negara yang membenarkan orang ramai datang membeli tiket dan membayar sejumlah wang untuk menonton Ahli nujum dan ahli sihir pula merupakan kelompok yang paling berpengaruh dan dihormati kerana peranan penting mereka dalam proses rawatan pada ketika itu.
Hanya di sekitar pertengahan kurun ke 19, gerakan reformasi dalam sistem perkhidmatan kesihatan mental telah mula bergerak aktif dalam usaha untuk memberi nafas baru kepada para pesakit dan keluarga mereka, memperbaiki kaedah rawatan dan mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam membantu proses pemulihan. Fasa kedua ini menyaksikan kesan dalam pemodenan sistem perkhidmatan kesihatan dan peningkatan mutu kajian serta kewujudan penemuan-penemuan baru dalam bidang sains perubatan yang akhirnya mengubah persepsi dunia terhadap bidang kesihatan mental. Jika di peringkat fasa pertama dahulu masalah berkaitan gangguan mental dilihat berpunca dari pengaruh makhluk halus dan ruh jahat, pada fasa kedua ini, masalah berkenaan dilihat berpunca akibat dari ketidakseimbangan hormon tertentu dalam badan seseorang pesakit yang menjejaskan tahap kesihatannya. Para pesakit telah mula dirawat dengan cara yang lebih sopan dan berperikemanusiaan lagi. Pada peringkat ini juga, di sesetengah benua di Eropah, ramai ahli sihir dan ahli nujum telah dihukum bunuh oleh pemerintah mereka kerana peranan mereka yang telah bersekongkol dengan makhluk halus dan menjejaskan kesihatan serta kehidupan harmoni masyarakat.
Seterusnya pada awal dan menjelang pertengahan kurun ke 20, perkhidmatan kesihatan mental telah memasuki fasa ketiga di mana ia telah menjadi semakin berkembang dan maju. Di antara beberapa petanda kemuncak dalam perkhidmatan ini pada peringkat ini ialah kewujudan pusat-pusat kesihatan mental komuniti dan masyarakat. Di antara beberapa peranan perkhidmatan pusat-pusat kesihatan mental seperti ini ialah bagi mewujudkan proses pemulihan itu berlaku di peringkat komuniti. Ia juga merupakan satu pendekatan untuk mengintegrasikan peranan setiap anggota keluarga dan masyarakat dalam proses pemulihan dan penjagaan kesihatan mental yang lebih bersepadu. Di samping itu, pendekatan ini juga bagi membentuk dan mendidik masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan positif terhadap kesihatan mental dan memahami apakah penyakit mental serta lebih menerima pesakit dan keluarga pesakit tersebut. Ia akhirnya diharapkan dapat menghilangkan pandangan buruk anggota masyarakat terhadap perkara ini dan seterusnya menghapuskan sebarang stigma yang berkaitan dengan penyakit mental.
Walaupun pendekatan seperti ini telah lama berlaku dan diamalkan oleh negara luar yang lebih maju, namun ia baru dilaksanakan di negara ini. Memang ini merupakan satu langkah yang baik, namun terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan lagi bagi mencapai matlamat penubuhannya dan juga untuk memastikan agar niat dan usaha murni bagi memperbaiki taraf kesihatan mental ke tahap yang lebih baik lagi untuk kebaikan masyarakat dan negara dapat dicapai. Beberapa langkah dan aktiviti tertentu ke arah usaha dan matlamat ini perlu untuk dilakukan seperti menyediakan kemudahan yang mencukupi, khususnya dari segi sumber tenaga manusia. Pendekatan ini merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan sistem perkhidmatan kesihatan mental kepada orang ramai. Oleh kerana ia lebih tertumpu kepada masyarakat, sudah pasti ia tidak lagi tertumpu di hospital besar, dan sudah pasti juga jumlah tenaga pakar perubatan dan kesihatan akan menjadi lebih terhad. Masalah ini perlu diatasi segera seperti dengan menempatkan pusat-pusat tersebut berhampiran dengan hospital besar bagi tujuan rujukan dan kecemasan bagi kemudahan berkaitan dan jika berlaku perkara tidak diingini. Begitu juga, peranan anggota masyarakat yang terbabit untuk membantu usaha murni ini perlu diperbanyakkan lagi dan diberi latihan khusus. Perlu ada perancangan kerajaan dan pemerintah bagi tujuan ini. Adakah wajar dengan menempatkan pakar berkaitan, atau beberapa pakar kesihatan mental yang lain.
Di negara yang lebih maju, lebih ramai anggota masyarakat yang pakar dan diiktiraf dalam perkhidmatan kesihatan mental terlibat seperti pakar psikiatri komuniti, pakar psikologi klinikal, pekerja sosial, dan kaunselor professional. Adakah negara kita mempunyai orang-orang seperti ini dengan jumlah yang mencukupi, diiktiraf dan telah menerima serta melalui latihan yang kukuh dan bersesuaian? Ini kerana sekadar melantik dan melatih sesiapa sahaja yang berminat bukan satu langkah bijak, malah mereka gagal untuk berperanan secara aktif dalam usaha untuk menyumbang ke arah mencapai matlamat yang murni itu, lantas menggagalkan matlamat penubuhan pusat kesihatan mental masyarakat seperti yang telah dicadangkan.