Hari Ibu bagi saya hanya merupakan perlambangan kepada pengiktirafan terhadap kaum hawa bergelar ibu sebagai agen sosialisasi awal kepada anak-anak dengan pendidikan agama sebagai asas dan prinsip-prinsip kehidupan serta penerapan nilai-nilai masyarakat. Atau dengan kata lain yang lebih mudah, biasanya manusia mula mengenal dunia dan huruf dengan bimbingan insan yang melahirkan. Mungkin juga ia tidak melahirkan, tetapi hakikat fungsi seorang ibu adalah untuk menjadikan seseorang anak itu sebagai seorang yang, berilmu, beragama, dewasa dan berdikari. Justeru itu, peranan seorang ibu itu bukan sebab ia telah melahirkan, tetapi lebih melihat kepada usahanya untuk menjadikan seseorang bayi yang dilahirkan itu sebagai seorang manusia dalam erti kata sebenar.
Naluri keibuan yang dianugerahi oleh Allah dalam mengasihi anak-anak dan ia digabungkan dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh syariat, menjadikan kaum hawa merupakan murabbi paling sempurna dalam pendidikan anak-anak bagi membentuk mereka sebagai insan kamil. Apabila institusi keluarga diiktiraf sebagai institusi sosial yang penting dalam masyarakat dan ia dilihat sebagai tulang belakang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara, maka barulah kita dapat menyedari dan menginsafi betapa pentingnya peranan atau fungsi kaum hawa bergelar ibu.
Sama ada Hari Ibu itu wujud ataupun tidak, tugas seorang ibu tidak akan berhenti selagi hayat dan kudrat dikandungi badan. Paling tidak, anak-anak akan memohon agar si ibu mendoakan mereka sementelah doa-doa yang dilafazkan ibu adalah penawar paling mujarab dan doa paling mustajab kerana tiada hijab bagi doa ibu untuk anak-anaknya. (Namun, itu bagi kalangan yang mengetahui rahsia doa-doa yang mudah untuk Allah SWT kabulkan).
Bila kita mengakui bahawa kesejahteraan negara amat bergantung pada kesejahteraan institusi keluarga manakala keluarga pula bergantung pada ibu dari aspek fungsionalnya, maka fenomena ibu tunggal dan tugasnya yang terpaksa menggalas tanggungjawab keluarga secara sendirian, adalah isu yang perlu diberi tumpuan secara amat serius.
Secara tipikalnya ibu tunggal hanya dikenali sebagai wanita yang telah berpisah dengan suami masing-masing sama ada melalui perceraian ataupun disebabkan kematian. Apabila konsep ini diluaskan lagi kepada golongan wanita yang digantung tidak bertali dan sedang menjalani proses pembubaran perkahwinan dan proses tersebut mengambil masa yang lama, ia satu tindakan proaktif yang terpuji. Oleh sebab walaupun dari sudut hukum mereka masih isteri bagi seseorang, tetapi jika kehidupan mereka tidak ubah seperti mana kehidupan ibu tunggal yang berjuang untuk meneruskan kehidupan secara sendirian, maka kita perlu bersikap lebih realistik dalam hal ini. Membenarkan mereka untuk menyertai mana-mana Persatuan Ibu Tunggal adalah tindakan yang bersifat proaktif.
Memang tidak dinafikan bahawa sebarang tuntutan yang dibuat perlu akur kepada prosedur dan undang-undang, sementara permohonan atau tuntutan tersebut akan diadili dengan berdasarkan kepada, “keterangan itu menjadi tanggungjawab kepada pihak yang menuntut…”, namun jika realiti kehidupan wanita yang menjadi penuntut itu dalam keadaan terabai dan mereka ditinggal begitu sahaja oleh suami, tanpa diberi nafkah malah si ibu tadi terpaksa menanggung tanggungjawab membesarkan anak-anak yang ramai, malah sebahagiannya pula terpaksa menanggung hutang yang dibuat oleh suami, maka adakah masih praktikal bagi kita untuk menyatakan bahawa, “biarkan perkara ini diuruskan oleh sistem undang-undang yang kita ada”.
Ada kalangan ibu tunggal atau ibu tinggal yang mengeluh dan menyatakan amat sukar bagi beliau untuk membuat urusan di mahkamah syariah disebabkan perlunya menjaga anak-anak yang ramai. Bimbangkan keselamatan anak-anak ini jika ditinggalkan, dan tidak ada modal untuk mengupah sesiapa maka hasrat ditangguhkan begitu sahaja.
Sesetengahnya pula mengatakan kehidupan mereka yang ibarat “kais pagi makan pagi”, menyebabkan hasrat mereka untuk mengadu kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab, tertangguh begitu lama kerana setiap hari yang digunakan untuk memperjuangkan hak bermakna mereka akan hilang pendapatan untuk hari tersebut. Jika upah RM20 – 30 sehari amat bermakna untuk mereka, maka seharusnya kita dapat membayangkan betapa daifnya kehidupan yang mereka jalani.
Melalui ruangan ini, saya ingin menyarankan agar golongan wanita yang 1) terperangkap dalam kerumitan prosedur perceraian atau sebarang tuntutan, 2) ingin mengadu dan menuntut hak mereka, dan juga 3) menuntut bagi pihak anak-anak yang ditinggalkan adalah golongan yang perlu diberi bantuan secara khusus. Bukan semata-mata bantuan sokongan dari aspek kewangan sahaja tetapi apa sahaja bentuk bantuan agar mereka dapat membuat urusan perundangan secara efektif.
Selain maklumat-maklumat yang perlu diketahui oleh golongan ini yang boleh disampaikan secara berkesan melalui media massa, antara bantuan yang boleh dicadangkan di sini adalah dengan menyediakan skuad sukarelawan yang bersedia untuk turun ke padang dan menyediakan talian hayat bagi khidmat sukarelawan tersebut. Ketua-ketua kampung, penghulu, ahli jawatankuasa kampung atau penduduk setempat boleh menjadi agen yang efektif untuk mengesan golongan yang tercicir ini, dan tidak seharusnya apabila kes-kes berkenaan dipaparkan di media massa, barulah mereka tergesa-gesa untuk mengambil tindakan perlu.
Walaupun secara perbandingan jumlah ibu tunggal di negara ini masih lebih kecil jika dinisbahkan dengan keseluruhan jumlah penduduk, dengan jumlah ibu tunggal yang telah dinisbahkan dengan jumlah penduduk di negara barat, namun angka ini tetap mampu memperlihatkan kepada kita sebagai penunjuk amaran tentang kecenderungan masyarakat kita pada hari ini.
Arah aliran yang berlaku pada hari ini dapat memberi gambaran mengenai kedudukan generasi muda pada satu dua dekad akan datang. Atau dengan ayat lain, belia pada tempoh satu dan dua dekad yang akan datang sebahagiannya adalah generasi yang dibesarkan dan terdidik oleh kalangan ibu tunggal. Maka ibu tunggal pada hari ini perlu diberi persiapan dan pembelaan dari pelbagai aspek bagi memastikan mereka mampu mendidik dan membesarkan anak-anak dengan keadaan yang kondusif walaupun mungkin tidak sesempurna keluarga yang normal. Ia sebagai usaha untuk memastikan generasi muda didikan ibu-ibu tunggal dapat sama-sama menyertai sistem sosial dan proses pembangunan negara sebagaimana mereka yang lain.