Wabak Covid-19 diketahui merebak dengan sentuhan. Maka penularannya cuba dibendung dengan mengelakkan bersentuhan. Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berada di tempat-tempat awam dan berkumpul beramai-ramai bagi mengelakkan jangkitan virus ini. Jika terpaksa sekalipun, untuk pergi ke tempat sedemikian mereka dinasihatkan supaya menggunakan pelitup muka dan memastikan jarak yang selamat dari orang lain. Dengan cara yang demikian setakat ini negara kita dan beberapa negara lain telah berjaya mengawal dan mengurangkan jangkitan.
Walau bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari bahawa sepertimana tubuh badan, pemikiran juga boleh dijangkiti penyakit melalui ‘sentuhan’. Virus-virus pemikiran asing juga boleh menjangkiti pemikiran seseorang tanpa disedari akibat terdedah kepada sentuhan dan pergaulan dengan pembawa virus-virus berkenaan.
Dengan cara sedemikianlah, sebagai contoh, ramai dalam kalangan umat Islam yang telah terkeliru perihal makna dirinya kerana telah dipengaruhi oleh pemikiran asing yang menyesatkan. Kekeliruan itu walau bagaimanapun tidak terhenti setakat itu sahaja kerana kini mereka sendiri pula giat menyebarkan kekeliruan itu dalam kalangan umat Islam sehinggakan ramai yang tidak menyedari bahawa pegangan akidah mereka sebenarnya telah rosak.
Pada permulaan kurun ke-20 idea-idea Barat tentang agama giat disebarkan dalam kalangan golongan terpelajar. Antara idea itu adalah pandangan bahawa ritual dan sistem nilai yang dianjurkan oleh agama itu diasaskan kepada mitos-mitos purbakala. Mereka yang menganjurkan pandangan ini percaya bahawa masyarakat manusia telah berevolusi dan telah melalui beberapa perubahan dalam fasa kewujudannya, iaitu dari zaman magik membawa kepada zaman agama sehinggalah kepada zaman sains. Mitos dan ritual, walau bagaimanapun kekal sehinggalah kepada zaman sains. Tujuan mitos adalah sebagai penjelasan terhadap ritual yang tidak masuk akal.
Pandangan yang sedemikian tidaklah menghairankan sekiranya ia datang dari pemikiran Barat, dan tidaklah meleset jika dikenakan kepada agama-agama lain selain Islam. Akan tetapi apabila seorang yang kononnya terpelajar dan mengaku Muslim juga menerima secara semberono pandangan sedemikian lalu turut mengenakannya kepada Islam, maka suatu kekeliruan besar telah berlaku. Bayangkan pandangan sedemikian dilontarkan kepada khalayak umum dalam sebuah kongres yang membahaskan tentang peradaban Islam. Tanpa disedari Islam telah disamakan dengan agama-agama lain yang merupakan hasil dari kebudayaan manusia.
Demikianlah bagaimana virus-virus pemikiran itu disebarkan kepada khalayak umum. Teori-teori ahli sosiologi Barat tentang agama telah disebarkan bukan sahaja melalui kertas-kertas kerja yang dibentangkan di kongres dan seminar tetapi juga di dewan-dewan kuliah universiti awam dan swasta. Bayangkan berapa ramai para pelajar yang telah terdedah kepada virus berkenaan.
Ini hanyalahlah sekadar suatu gambaran bagaimana pemikiran yang sesat dan mengelirukan itu disebarkan. Sekiranya virus Covid-19 itu begitu sukar untuk dikawal dari merebak maka lebih-lebih lagilah virus kesesatan pemikiran. Pada zaman dunia tanpa sempadan ini sebenarnya hampir mustahil untuk kita mengelakkan diri daripada ‘bersentuhan’ dengan pemikiran asing. Kita tidak boleh bertindak mengasingkan diri atau cuba menyekat secara fizikal sesuatu idea dari masuk kerana ruang-ruang yang memungkinkan kemasukan faham-faham asing itu hampir-hampir tidak boleh dikawal.
Apa yang lebih praktikal, walaupun sukar, untuk dilakukan adalah membina kekuatan dalaman bagi menghadapinya iaitu sepertimana imuniti itu berupaya melawan penyakit dan jangkitan. Maka umat Islam sewajarnya disediakan secara mental dengan kebolehan untuk berfikir dan menyaring pemikiran-pemikiran asing dan bukannya diasingkan di ‘pusat-pusat kuarantin’ bagi mengawal dan mengelakkan jangkitan.
Justeru, pendekatan yang digunakan oleh Kaum Muslimin semenjak dahulu lagi dalam menghadapi cabaran pemikiran semasa adalah dengan cara berhadapan (engagement) bukannya melarikan diri atau bersembunyi. Sebab itulah kemampuan untuk berhujah secara logik dan berdebat secara ilmiah menjadi asas pendidikan dan latihan para ilmuwan Islam.