Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan sihat sebagai suatu keadaan tubuh badan yang sempurna fizikal, mental dan sosial serta bukan sekadar bebas daripada penyakit. Ini menunjukkan bahawa kesihatan itu adalah suatu perkara yang bersifat menyeluruh, iaitu, bukan sahaja dilihat dari sudut jasmani tubuh badan, malahan dari sudut dalaman dan persekitaran.
Tubuh badan yang sihat menatijahkan perjalanan kehidupan seharian yang berkualiti. Dalam Islam, kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah SWT. Hal ini adalah bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW, “dua nikmat Allah yang sering manusia lupakan, iaitu, nikmat sihat dan masa lapang (Al-Bukhari, hadis 6412).” Bagi penganut agama Islam, tubuh badan yang sihat merupakan suatu perkara yang penting terutamanya apabila ia membawa pengaruh kepada kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah yang ditaklifkan oleh Allah seperti solat, puasa dan menunaikan ibadah haji.
Oleh kerana kesihatan itu adalah anugerah yang tidak ternilai, setiap individu perlu menjaga tubuh badan masing-masing agar ia berterusan dalam keadaan yang sihat. Ia merupakan tanggungjawab ke atas amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hambanya. Bagi tujuan penjagaan kesihatan, hak terhadap tubuh badan perlulah ditunaikan.
Hal yang demikian bersesuaian dengan sabda Baginda SAW yang berbunyi, “tubuh badanmu mempunyai hak ke atas dirimu (Al-Bukhari, hadis 5199).” Antara hak yang mesti ditunaikan menurut kefahaman hadis ini ialah seperti memberikan rehat yang cukup pada tubuh badan serta pengambila nutrien melalui makanan dan minuman agar ia dapat terus berfungsi dengan baik.
Kebanyakan masyarakat di Malaysia sudah mula menyedari akan kepentingan menjaga tubuh badan agar ia berterusan dalam keadaan yang sihat. Penjagaan kesihatan sudah mula dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Namun, atas kekangan waktu bekerja dan kesibukan menguruskan keluarga, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat serta penampilan yang menarik melalui penggunaan produk-produk tertentu. Malangnya produk-produk sebegini tidak membawa kesan baik yang diharapkan, bahkan memudaratkan kesihatan.
Mutakhir ini, penjualan produk-produk herba tradisional yang berfungsi sebagai ubat-ubatan, makanan tambahan, dan kosmetik semakin terkehadapan demi memenuhi kehendak pengguna untuk sihat dan berpenampilan menarik. Malangnya, ramai yang kurang peka akan aspek-aspek keselamatan dalam penggunaan produk-produk kesihatan dan kecantikan tradisional pada masa kini.
Fenomena ini dilihat sebagai sesuatu yang kurang baik terutama sekali apabila golongan yang menghidap penyakit tertentu telah berhenti mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan daripada pakar perubatan bertauliah kerana beralih kepada produk-produk herba tradisional yang berada di pasaran. Hal yang demikian merupakan kesan daripada pengiklanan produk-produk herba tradisional pada masa kini yang memberikan jaminan keberkesanan sehingga menarik perhatian pengguna untuk mendapatkannya.
Antara jaminan yang diberikan ialah kepelbagaian bahan yang terdapat di dalam produk yang dipasarkan mampu memberikan manfaat yang besar misalnya dapat menyembuhkan sejumlah penyakit. Ia memberikan gambaran kepada pengguna bahawa kepelbagaian bahan di dalam produk tersebut memberikan tindakan yang sinergi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Misalnya, sekiranya ada lima bahan dalam produk tersebut, kelima-lima bahan tersebut bertindak secara bersepadu dalam memberikan kesan positif kepada pengguna.
Hakikat sebenar yang perlu difahami ialah, tumbuhan herba yang dijadikan produk tradisional mengandungi sebatian-sebatian bioaktif yang tertentu. Penghasilan produk kesihatan dan kosmetik daripada tumbuhan herba perlu melalui fasa tertentu seperti proses mengekstrak, pengasingan sebatian bioaktif serta pengujian klinikal bagi memastikan keberkesanan dan dos yang selamat.
Malangnya, produk-produk herba tradisional yang dipasarkan pada masa kini rata-ratanya hanya pada peringkat ekstrak mentah. Ubatan pada peringkat ekstrak mentah mengandungi kepekatan sebatian bioaktif yang tinggi. Ia menjadikan keselamatan dalam pengambilannya diraguo kerana kandungan dos yang tinggi.
Selain itu, isu keselamatan turut timbul apabila ekstrak-ekstrak daripada pelbagai sumber herba digabungkan untuk menjadi satu ubat untuk semua jenis penyakit. Perkara ini dilakukan kerana menganggap semua sebatian bioaktif bertindak secara sinergi tanpa mengambil kira interaksi kimia antara semua sebatian bioaktif yang dicampurkan. Sekiranya interaksi yang berlaku antara sebatian-sebatuan ini mengakibatkan penghasilan bahan yang beracun, ia boleh memudaratkan tubuh badan, bukannya memberikan manfaat baik yang diharapkan.
Sebaiknya, demi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan penampilan yang menarik, setiap individu perlu berhijrah kepada gaya hidup yang sihat. Ini termasuklah dengan menyertai program kecergasan, bersukan dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kerajaan telah menyediakan banyak fasiliti sukan dan rekreasi demi menggalakkan masyarakat beriadah. Pada masa yang sama, terdapat juga garis panduan pemakanan yang sihat disediakan sebagai rujukan semua.
Bagi mereka yang diberi dugaan penyakit, penggunaan produk di pasaran yang tiada ujian klinikal sebagai jalan untuk mengubatinya bukanlah suatu langkah yang bijak. Apabila ditimpa penyakit, disarankan bagi individu terbabit untuk mendapatkan khidmat perundingan daripada doktor.
Hal ini kerana para doktor merupakan golongan yang ahli dan layak dalam memberikan khidmat penjagaan kesihatan. Mereka yang layak sepatutnya dirujuk di atas pengetahuan dan kepakaran yang mereka miliki. Kenyataan ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka bertanyalah kamu kepada pakar jika kamu tidak mengetahui (Surah al-Anbiya’ 21:7).” Para doktor akan membantu dengan memeriksa pesakit dan melakukan tindakan yang dilihat bersesuaian seperti menjalankan rawatan dan memberikan preskrib ubat dengan dos yang berkesan dan selamat.
Kesimpulannya, dalam usaha untuk meraih kesihatan tubuh badan, setiap individu perlu bersikap cermat dengan: (1) menjalani gaya hidup yang sihat, (2) mengelakkan diri daripada menggunakan produk kesihatan secara sembarangan kerana keselamatannya yang tidak terjamin, dan (3) mendapatkan khidmat perundingan kesihatan daripada doktor yang bertauliah sekiranya menghadapi masalah kesihatan.