Pada 8 Mac setiap tahun, seluruh dunia menyambut Hari Wanita Antarabangsa. Sambutan ini bertujuan untuk: (i) meraikan pencapaian wanita dalam bidang sosial, ekonomi, budaya dan politik; (ii) meningkatkan kesedaran tentang kesetaraan gender (gender equality); (iii) melobi untuk merapatkan perbezaan antara gender (gender parity); dan (iv) mengumpul dana bagi memelihara kebajikan wanita ( female focused charity).
Di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meraikan Sambutan Hari Wanita 2021 bertemakan “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”. Tema ini dipilih bagi mengangkat semangat juang wanita yang tidak mengenal penat lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan. Antara objektif sambutan pada tahun ini adalah untuk memberi pengiktirafan khas kepada kaum wanita atas sumbangan mereka dalam pelbagai bidang, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam membangunkan negara. Selain itu, sambutan ini juga merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, pembangunan institusi keluarga, dan pengukuhan masyarakat penyayang.
Penulis amat tertarik akan tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 pada peringkat antarabangsa, iaitu “#ChooseToChallenge” atau jika penulis boleh terjemahkan, “#PilihUntukMencabar”. Tema ini mengajak kita semua, baik lelaki mahupun wanita, untuk mencabar (yakni menentang) gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita. Tema ini dipilih kerana dipercayai bahawa dunia yang menentang ketidakadilan terhadap wanita merupakan dunia yang peka.
Tema sambutan Hari Wanita Sedunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didapati membawa tema-tema yang bukan sahaja mengajak wanita untuk berubah dan membawa perubahan, tetapi juga mengajak kaum lelaki untuk turut serta. Hal yang demikian kerana nasib kaum wanita tidak akan banyak berubah jika hanya kaum wanita yang menggerakkannya. Perubahan itu memerlukan keinginan, usaha, dan kesungguhan daripada kedua-dua pihak.
Perkara ini turut mengingatkan penulis kepada kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda merupakan orang pertama yang mencabar atau menentang gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita.
Ketika masyarakat Baginda malu dan benci apabila dikurniakan dengan anak perempuan lalu menanam bayi itu hidup-hidup, Baginda mengajak masyarakatnya menjaga anak-anak perempuan dengan sebaik-baiknya dengan jaminan syurga bagi mereka yang membesarkan dan memelihara tiga orang anak perempuan (hatta dua orang, mahupun seorang).
Ketika kaum wanita pada zamannya meminta masa khusus untuk belajar agama daripada Baginda tanpa perlu berebut dengan kaum lelaki; Baginda memenuhi permintaan tersebut. Ketika para suami diberi hak untuk menjatuhkan talak ke atas isteri mereka, Baginda membenarkan wanita untuk keluar dari perkahwinannya melalui khuluk.
Kisah ini adalah sebahagian daripada pelbagai kisah Rasulullah SAW yang telah mencabar dan menentang atau menghentikan gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita. Tidak mahukah kita, baik lelaki mahupun perempuan, mencontohi Baginda?
Di negara kita dalam suasana kita sedang meraikan Hari Wanita Sedunia ini, pelbagai gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita yang sedang berlaku, khususnya dalam ruang lingkup rumah tangga.
Jika kita mengikuti akaun Facebook milik Syed Azmi dan IIUM Confessions – BM, kita akan dapati bahawa pelbagai kes dan kisah gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita yang berlaku dalam masyarakat kita.
Ada isteri yang terpaksa menanggung nafkah keluarga kerana suami tidak melaksanakan tanggungjawab mereka, baik dalam perkahwinan monogami mahupun poligami. Ada suami yang menghalau isteri dari rumah ketika menceraikan mereka sedangkan Islam menetapkan tempat isteri yang diceraikan adalah di rumah kelaminnya sepanjang waktu iddah. Ada isteri yang pada waktu siangnya ditumbuk dan disepak terajang tetapi pada waktu malamnya dituntut hak oleh suami di atas ranjang.
Jika perkahwinan itu menyeksa sesetengah wanita, penceraian dan menjadi ibu tunggal juga tidak memudahkan hidup mereka. Ramai ibu tunggal yang berhempas pulas untuk menyara anak-anak kerana sikap lepas tangan bekas suami. Sesekali kita digemparkan dengan berita penangkapan ibu tunggal yang mencuri atau melacur untuk menyara hidup anak-anak sedangkan bekas suami yang wajib memberikan nafkah kepada anak-anak, bebas daripada tanggungjawab itu.
Kini, pandemic Covid-19 menyukarkan lagi kehidupan ibu tunggal. Unicef dan United Nations Population Fund (UNFPA) dalam laporan yang berjudul “Families on the Edge”, (2020) mendapati bahawa lebih kurang 32 peratus isi rumah ibu tunggal telah kehilangan pekerjaan sejak Mac 2020 manakala 57 peratus daripada isi rumah ibu tunggal ini tiada capaian kepada perlindungan sosial. Mereka memerlukan bantuan seperti peluang pekerjaan atau peluang perniagaan termasuk modal, ruang, dan peralatan berniaga untuk meneruskan hidup.
Tidak mahukah kita “#ChooseToChallenge” untuk memperbaiki keadaan wanita-wanita ini?
Mencabar atau menentang gender bias dan ketidakadilan terhadap wanita boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Pada peringkat ibu bapa, mereka boleh menegur anak lelaki yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anak. Pihak berkuasa boleh menghukum ayah yang tidak memberi nafkah kepada anak-anak. Pembuat keputusan boleh mewujudkan undang-undang baharu demi memberi keadilan terhadap wanita. Institusi tertentu boleh megumpul dana khusus untuk menjaga kebajikan wanita.
Dengan Rasulullah SAW menjadi model ikutan kita dalam hal ini, ayuh mari kita #ChooseToChallenge!