Dalam tempoh kurang 100 hari dari sekarang, seramai 195 wakil negara bersama para pemerhati antarabangsa akan berhimpun di Belém, sebuah bandar pelabuhan di Brazil yang menjadi pintu masuk ke kawasan Hutan Hujan Amazon, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30). Pemilihan Belém dianggap amat bertepatan kerana ia menzahirkan simbolik keperluan mempergiatkan tindakan iklim demi memulihara ekosistem sensitif Hutan Hujan Amazon yang digelar “Paru-paru Dunia”. Peristiwa ini juga mengimbau sejarah tahun 1992 apabila Brazil menjadi tuan rumah Persidangan Alam Sekitar Dunia ECO-92 di Rio de Janeiro yang telah meletakkan asas kepada tadbir urus iklim global dan lahirnya sidang kemuncak ini.
Masyarakat antarabangsa pastinya menaruh harapan tinggi terhadap COP30, khususnya selepas COP29 di Baku pada tahun lalu yang berjaya menetapkan sasaran pengumpulan dana global sekurang-kurangnya USD300 bilion setahun sehingga 2035 bagi membiayai tindakan iklim di negara membangun, meskipun komitmen itu disambut hambar oleh kuasa-kuasa dunia.
Dalam usaha mendanai tindakan iklim, Malaysia sebagai antara peneraju sistem kewangan Islam dilihat berpotensi memanfaatkan instrumen wakaf hijau. Dari segi istilah, wakaf bermaksud penyerahan hak milik seseorang terhadap harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya, untuk dimanfaatkan oleh penerima wakaf sejak ia diwakafkan sehingga ke akhirnya, semata-mata kerana Allah SWT. Harta wakaf ini tidak boleh ditarik balik atau dimiliki semula oleh mana-mana individu.
Pada masa kini, sudah wujud bentuk wakaf hijau yang berkaitan dengan hutan, air bersih dan tenaga suria. Dalam sejarah Islam juga, kisah Telaga Rummah atau Telaga Pemanah yang diwakafkan oleh Saidina Uthman bin ‘Affan RA sering dijadikan teladan bagaimana sumber alam boleh diwakafkan untuk manfaat bersama. Telaga ini kini berada di bawah seliaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. Justeru itu, antara sektor baharu yang boleh diterokai oleh industri kewangan Islam di Malaysia termasuklah wakaf ekopelancongan dan wakaf karbon. Tanah wakaf misalnya, boleh dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan Islamik yang menekankan konservasi alam, pemeliharaan budaya setempat dan pengukuhan ekonomi komuniti, manakala hasilnya disalurkan untuk membiayai pendidikan serta kebajikan. Sementara itu, wakaf karbon boleh dijadikan inisiatif baharu dengan menggunakan dana wakaf bagi penanaman pokok dan pengurusan kredit karbon, manakala hasil daripada pasaran karbon disalurkan semula kepada projek sosial umat Islam.
Dari sudut lain, sesuatu yang menarik berkaitan sidang kemuncak ini ialah penerapan konsep majlis al-shura sejak diperkenalkan di COP28 di Dubai. Konsep al-shura yang disebut dalam Al-Quran menyeru umat manusia berunding dalam membuat keputusan. Ummah, sebagai dimensi esoterik, merujuk kepada komuniti masyarakat yang berkongsi keyakinan, tujuan dan nilai, berasaskan prinsip persamaan (al-musawah), keadilan (al-‘adalah) serta permusyawaratan (al-shura). Dalam bentuk tamadun moden, ummah ini terjelma sebagai masyarakat majmuk yang hidup berdampingan secara damai dengan budaya saling menghormati, mempercayai, bekerjasama membangun kehidupan bersama serta mengejar cita-cita bersama.
Menariknya, dalam COP29 di Baku, konsep perundingan bersama dinamakan sebagai “Qurultay”, iaitu perkumpulan para pemimpin Turkic di masa lampau. Sementara itu, COP30 di Belém kali ini menampilkan konsep “Mutirao”, sebuah perkataan Portugis yang membawa maksud sekumpulan orang yang berkumpul untuk bekerja atau menyelesaikan sesuatu tugas secara bersama-sama, biasanya secara sukarela dan bergotong-royong.
Tidak dapat dinafikan, Sidang Kemuncak Iklim ini merupakan pentas utama dunia bagi membincangkan tindakan iklim. Namun, ia tidak seharusnya hanya dikuasai negara-negara besar dan kaya, sehingga mengetepikan kepentingan negara membangun. Dari sudut positif, Malaysia yang kini memegang kepengerusian ASEAN mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan potensi ekonomi daripada persetujuan perdagangan kredit karbon antarabangsa di persidangan ini. Dengan kefahaman mendalam tentang mekanisme perdagangan karbon serta strategi yang teratur, Malaysia dan rantau ini yang kaya dengan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions) boleh menawarkan kredit karbon kepada negara yang memerlukannya. Jika dikendalikan dengan kepakaran yang tepat, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab perdagangan karbon serantau.
Setiap negara turut diwajibkan mengemaskini sasaran sifar karbon masing-masing dalam COP30 ini. Sebagai negara beriklim panas lembap dengan musim hujan lebat akibat monsun, Malaysia dilihat perlu memperkukuh pelan tindakan berkaitan bekalan air pada musim kering serta pengurusan banjir ketika musim tengkujuh, bagi meningkatkan daya tahan dan kesiapsiagaan bencana negara terhadap kesan perubahan iklim.
Selain itu, penganjuran persidangan di wilayah Amazon yang rentan terhadap impak perubahan iklim ini turut menekankan betapa pentingnya tumpuan diberikan kepada aspek adaptasi di samping mitigasi. Dana pembiayaan perlu disediakan bukan sahaja untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga untuk usaha jangka panjang seperti perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur yang mengambil kira faktor perubahan iklim, sekali gus mengurangkan risiko banjir serta kenaikan aras laut. Lebih membimbangkan, perubahan iklim membawa kesan berganda yang boleh mencetuskan krisis sumber makanan, seterusnya meningkatkan ketidaksamaan sosioekonomi dan alam sekitar.
Harapan tinggi kini disandarkan kepada Kuala Lumpur untuk memainkan peranan sebagai suara negara membangun serta tampil di persada antarabangsa dalam memastikan COP30 mencapai keseimbangan yang adil. Lebih-lebih lagi apabila sidang ini berlangsung dalam dekad kritikal yang turut menyaksikan ancaman krisis tenaga dan makanan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan geopolitik global.