Dunia kini berhadapan dengan cabaran besar dalam menjamin bekalan makanan yang mampan untuk generasi akan datang. Pertambahan populasi, krisis perubahan iklim dan kekangan sumber menjadikan manusia mencari alternatif kepada kaedah penternakan tradisional yang sedia ada. Salah satu inovasi bioteknologi yang sedang mendapat perhatian masa kini ialah daging kultur iaitu daging yang dihasilkan dalam makmal daripada sel haiwan yang dibiakkan dalam keadaan terkawal dengan menggunakan medium dan nutrien tertentu. Teknologi ini akan membentuk tisu yang menyerupai daging sebenar. Kehadirannya mengundang pelbagai persoalan yang bukan sahaja dari sudut sains dan alam sekitar tetapi juga dari perspektif agama Islam yang menitikberatkan halal dan haram dalam pemakanan.
Allah SWT menganugerahkan manusia dengan rezeki yang luas dalam bentuk makanan dan pelbagai nikmat lain yang disebut dalam al-Quran berulang kali. Nikmat-nikmat yang tidak terhitung tersebut termasuklah hasil tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bijirin, atau daging daripada haiwan darat dan laut. Prinsip pengambilan makanan yang digariskan cukup jelas iaitu mestilah halal dan tayyib yang merangkumi aspek baik, selamat, bersih serta bermanfaat untuk tubuh dan akal. Oleh itu, dalam menilai daging kultur, umat Islam tidak hanya membuat pertimbangan kepada rupa dan rasanya tetapi juga perlu melihat kepada proses penghasilan, sumber bahan serta kesannya kepada kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Dalam kalangan sarjana dan badan fatwa Islam, wacana mengenai daging kultur semakin berkembang. Antara isu utama yang diperdebatkan ialah sumber sel stem yang digunakan. Para ulama umumnya bersepakat bahawa sel mestilah berasal daripada haiwan halal yang disembelih menurut hukum syarak. Jika sel diambil daripada haiwan yang masih hidup, ia dianggap bangkai dan tidak boleh dimakan. Begitu juga, jika sel diambil daripada haiwan haram, daging yang terhasil secara mutlaknya menjadi haram. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW bahawa setiap bahagian yang diambil daripada haiwan hidup hukumnya adalah sama seperti bangkai.
Selain itu, medium kultur atau bahan yang digunakan untuk membiakkan sel turut menjadi perhatian. Sesetengah proses saintifik menggunakan serum darah atau gelatin daripada haiwan termasuk babi sebagai bahan tumbesaran. Dalam Islam, penggunaan darah dan bahan najis adalah jelas haram. Justeru, jika medium yang digunakan mengandungi unsur tersebut, daging kultur yang terhasil tidak boleh dianggap halal. Beberapa pandangan juga menekankan kepentingan ketelusan dalam proses pengeluaran supaya pengguna Muslim tidak tertipu dengan istilah atau label semata-mata sebaliknya perlu mendapat jaminan bahawa makanan itu benar-benar bebas daripada unsur haram.
Salah satu persoalan penting yang timbul ialah aspek ontologi iaitu bagaimana kita mahu memahami hakikat dan kedudukan sebenar daging kultur. Adakah ia wajar dianggap sebagai “daging” seperti biasa atau sekadar produk sampingan berasaskan haiwan seperti susu dan telur? Perbahasan ini tidak terhenti pada aspek istilah semata-mata sebaliknya mempunyai implikasi langsung terhadap penentuan hukum serta cara masyarakat Islam menilai produk ini. Sebahagian sarjana berpendapat bahawa proses pembiakan sel lebih menyerupai bentuk kehidupan vegetatif iaitu pertumbuhan seperti tumbuhan. Sebaliknya, ada yang melihatnya sebagai sesuatu yang masih samar (syubhah), lalu menasihatkan agar umat Islam menangguhkan penggunaannya sehingga terdapat penjelasan yang lebih jelas mengenai status halalnya.
Dari perspektif maqasid al-syariah, penghasilan daging kultur boleh memberi manfaat jika ia benar-benar membantu memelihara nyawa manusia dengan menyediakan sumber makanan alternatif yang berkualiti, selamat, bersih dan mencukupi di samping menjaga alam sekitar dengan mengurangkan kesan pencemaran akibat penternakan berskala besar. Namun, maqasid juga mengingatkan bahawa setiap inovasi tidak boleh membawa kepada mudarat, menyalahi fitrah ciptaan Allah atau menjejaskan keseimbangan ekosistem. Di samping itu, kajian berterusan dan terperinci masih perlu dilaksanakan dalam konteks kesan kesihatan dan keselamatan dalam jangka masa panjang. Maka, setiap langkah ke arah pembangunan industri ini perlu diawasi dengan teliti supaya ia benar-benar memberi manfaat tanpa melanggar prinsip syariah.
Beberapa badan berautoriti Islam telah mula memberikan pandangan awal. Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) misalnya, menegaskan bahawa daging kultur boleh diterima sebagai halal jika semua syarat syarak dipenuhi, iaitu sumber sel daripada haiwan halal yang disembelih menurut Islam, medium kultur bebas daripada unsur haram, produk akhir selamat dimakan dan keseluruhan proses diawasi dengan telus. Badan-badan lain seperti JAKIM di Malaysia, MUIS di Singapura, dan MUI di Indonesia turut memfokuskan syarat-syarat yang hampir sama dengan penekanan khusus terhadap larangan mengambil sel daripada haiwan hidup serta keperluan memastikan semua ramuan adalah halal.
Namun, perlu difahami bahawa pandangan ini masih bersifat ijtihad akademik dan belum menjadi fatwa rasmi yang mengikat masyarakat. Keputusan muktamad mengenai keharusan daging kultur hanya boleh dikeluarkan oleh badan fatwa berautoriti di setiap negara. Oleh itu, umat Islam disarankan untuk merujuk kepada badan pensijilan halal seperti JAKIM, MUIS atau MUI sebelum membuat keputusan untuk mencuba produk ini.
Bagi masyarakat awam, perkara penting yang wajar difahami ialah Islam telah menyediakan keluasan pilihan makanan halal yang amat banyak. Daging kultur hanyalah satu alternatif daripada inovasi bioteknologi moden, bukan keperluan mendesak yang mesti segera diambil. Jika timbul keraguan, umat Islam digalakkan untuk memilih yang lebih jelas halalnya dan meninggalkan yang syubhah sehinggalah ada keputusan yang jelas daripada pihak berautoriti. Kesimpulannya, daging kultur membuka lembaran baharu dalam perbahasan hukum dan etika pemakanan dalam Islam. Ia menuntut penelitian mendalam dari segi syarak dan sains agar keputusan yang dibuat selari dengan prinsip halalan tayyiban. Apa pun bentuk inovasi yang diperkenalkan, umat Islam harus yakin bahawa Allah SWT telah mengurniakan mereka dengan rezeki yang luas di muka bumi. Justeru, sikap berhati-hati, bersyukur dan kebergantungan kepada panduan syarak tetap menjadi landasan utama dalam setiap pilihan makanan.