Dalam sebuah rancangan televisyen, telah dipaparkan kehidupan seorang wanita OKU di Amerika Syarikat yang dilahirkan tanpa tangan. Namun, beliau hidup bebas seperti ahli masyarakat yang lain. Keretanya diubahsuai sehingga beliau boleh memandu (kakinya yang mengawal steering); digambarkan juga bagaimana beliau menggunakan perkhidmatan pandu masuk (drive thru’) di salah sebuah restoran makanan segera; malah digambarkan juga bahawa beliau telahpun berkahwin dan melahirkan anak. Yang lebih mengharukan, turut dipaparkan bagaimana beliau menukar sendiri lampin anaknya dengan menggunakan kaki tanpa mengalami apa-apa kesukaran. Kata beliau, “Saya gunakan kaki untuk buat semua benda yang orang biasa buat dengan tangan”. Namun itu tidak menjejaskan peluangnya untuk hidup seperti orang biasa.
Beberapa tahun lalu, penulis berkesempatan untuk menghadiri satu konvensyen antarabangsa di Kuala Lumpur yang mengundang orang-orang yang berjaya dari seluruh dunia untuk memberi galakan (motivasi) kepada para peserta. Salah seorang penceramah yang memberikan galakan kepada ratusan peserta pada hari tersebut ialah seorang yang tiada tangan dan kaki dari Amerika Syarikat. Hakikat bahawa beliau yang lahir tanpa tangan dan kaki tetapi masih boleh menjadi penceramah untuk berceramah di merata dunia menunjukkan betapa kecacatannya itu tidak menghalang beliau untuk berjaya. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakatnya dan kemudahan-kemudahan dalam masyarakatnya juga tidak pernah menghalangnya untuk melalui hidup ini sama seperti insan sempurna anggota yang lain.
Keprihatinan masyarakat Amerika Syarikat untuk memberikan peluang yang sama kepada rakyatnya yang kurang bernasib baik jelas terpancar dalam laporan seorang wartawan tempatan yang berkesempatan mengunjungi Disneyland baru-baru ini. Menurut wartawan tersebut, taman tema itu amat mesra OKU. Bukan sahaja disediakan kerusi roda elektronik untuk memudahkan perjalanan golongan ini, tetapi jalan, tandas, restoran, permainan dan tempat istirehatnya amat mementingkan ciri-ciri keselamatan untuk OKU. Dalam kata-kata lain, golongan OKU boleh sahaja berseronok di Disneyland tanpa dihalang oleh kecacatan mereka kerana pengurusan taman tema itu telah mengambilkira keperluan golongan tersebut dan menyediakan segala kemudahan yang perlu untuk mereka berseronok sama seperti pengunjung yang lain.
Bayangkan kalau kita tergolong sebagai OKU di Malaysia. Atau, bayangkan kalau anak kita adalah seorang OKU di Malaysia. Dapatkah kita atau anak kita itu menjalani hidup seperti orang yang sempurna anggotanya?
Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan bahawa lebih dari 70 peratus bangunan di negara ini belum memenuhi peraturan-peraturan bangunan yang memerlukannya diubahsuai agar menjadi lebih mesra OKU. Pihak penguatkuasa pula dikatakan tidak menjalankan tugas untuk memastikan peraturan ini dipatuhi. Malah, dilaporkan juga bahawa tiada peruntukan dalam peraturan tersebut yang membolehkan mereka yang tidak mematuhinya dikenakan tindakan.
Di sektor pekerjaan pula, dari 173, 192 orang OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya 5,700 orang (4 peratus) yang diambil bekerja. Maka, tidak hairanlah ketika sambutan Hari Pekerja baru-baru ini, Y.A.B. Perdana Menteri mengingatkan para majikan untuk mengambil pekerja OKU, khususnya mereka yang hilang upaya akibat kemalangan di tempat kerja.
Namun, memastikan OKU menjalani hidup sama seperti orang sempurna anggota yang lain bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia juga bermula di rumah dengan ibu bapa dahulu membantu dan memberikan peluang untuk anak-anak OKU menjalani kehidupan yang serba biasa. Mengurung anak di rumah atau menganggap tiada apa boleh dilakukan untuk merawat anak tersebut hanya akan memburukkan keadaan. Sebaliknya, jika ibu bapa membantu anak tadi untuk mendapatkan kehidupan yang serba biasa mungkin, insya’Allah, anak tersebut tidak akan terpinggir. Ini boleh dimulakan dengan mendaftar anak-anak OKU di JKM dan mengambil segala manfaat yang ada.
Satu berita baik untuk OKU di Kuala Lumpur ini ialah, bermula bulan hadapan RapidKL akan memperkenalkan bas-bas baru yang lebih mesra OKU. Sementara usaha RapidKL ini amat kita hargai, namun, memberikan perkhidmatan yang mesra OKU ini bukan terhad kepada kemudahan jasmaninya sahaja – bas serta hentian bas yang mesra OKU sahaja. Apa yang tidak kurang pentingnya ialah pemandu-pemandu yang mesra OKU yang dengan ikhlas mahu menolong dan memudahkan golongan ini.
Bagi penulis, sikap mahu “menolong dan memudahkan” OKU adalah asas kepada kehidupan yang lebih selesa untuk OKU di negara ini. Jika semua pihak ada sikap mahu menolong dan memudahkan golongan OKU ini, semua pihak akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Bagi umat Islam, hadis berikut yang diriwayatkan oleh Muslim, perlu dijadikan pendorong untuk kita membuat lebih lagi untuk golongan ini, “Sesiapa yang melepaskan satu kesulitan seorang mukmin di dunia, Allah lepaskannya dari satu kesulitan pada Hari Qiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, Allah tutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambaNya yang sentiasa menolong saudaranya. “
Semoga semua OKU di Malaysia menikmati kemanisan ajaran Islam ini di Malaysia, bumi kita yang tersayang.