Kemarahan adalah emosi yang normal bagi manusia. Marah merupakan reaksi psikologi dan fisiologi yang timbul apabila terdapat rangsangan atau tekanan yang dianggap mengancam dan tidak adil.
Emosi marah yang tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti konflik perhubungan, masalah kesihatan mental, keretakan hubungan dalam keluarga dan komuniti.
Kemahiran mengurus kemarahan dilihat semakin relevan terutamanya apabila semakin banyak kes keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, buli sama ada secara fizikal atau buli siber, kes bunuh, kes khianat dan sebagainya yang dilaporkan berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.
Laporan Statistik 2022 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya mendapati bahawa sebab utama kepada keganasan rumah tangga adalah panas baran. Salah satu punca kes pengabaian kanak-kanak atau penderaan kanak-kanak yang menyebabkan kanak-kanak perlu kepada pemeliharaan dan perlindungan juga adalah kerana pelaku seorang yang panas baran.
Pada tahun lepas sehingga Ogos 2024, sebanyak 2,240 kes penderaan kanak-kanak telah direkodkan JKM, dan 897 kes daripadanya adalah penderaan fizikal. Pelaku pula kebanyakkannya merupakan orang yang rapat dengan mangsa seperti ibu kandung, bapa kandung, dan ada juga kes yang disebabkan oleh pengasuh dan kawan.
Kes jenayah kekerasan seperti pembunuhan juga berlaku disebabkan oleh perasaan amarah yang membuak-buak sehingga menghilangkan kewarasan dan bertindak di luar pertimbangan. Motif seperti dendam, cemburu, dan benci antara lain mendorong seseorang untuk bertindak ganas sehingga tergamak mencederakan dan membunuh orang lain.
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan 7.5 peratus statistik kes bunuh di Malaysia, iaitu 258 kes pada tahun 2023 berbanding 240 kes pada tahun 2022.
Sehubungan itu, isu kesihatan mental sangat kritikal hari ini dan tidak seharusnya menjadi stigma dalam masyarakat. Pengurusan kemarahan secara bijaksana amat penting demi kesejahteraan individu dan keharmonian sosial.
Dalam konteks ini, Islam sangat menekankan kepentingan pengurusan emosi sebagai sebahagian daripada proses penyucian jiwa, atau dikenali sebagai tazkiyah al-nafs. Antara emosi yang perlu dikawal ialah kemarahan. Kemarahan yang tidak terkawal dianggap sebagai pintu kepada syaitan dan boleh membawa kepada dosa serta kerosakan yang membawa kepada kemudaratan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abū Hurayrah RA yang bermaksud:
“Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhārī (6116)
Imam Ibn Ḥajar al-ʻAsqalānī ketika mensyarahkan hadis ini berkenaan maksud perkataan “lā taghḍab” (jangan marah) di dalam hadis tersebut adalah menjauhi segala perkara serta perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan. Agama Islam sendiri menekankan pengurusan emosi, khususnya kemarahan, sebagai elemen penting dalam proses penyucian jiwa seorang Muslim.
Antara langkah yang dianjurkan dalam Islam termasuklah:
- Mengubah posisi fizikal, iaitu apabila rasa marah muncul dalam keadaan berdiri, maka seseorang itu disarankan untuk duduk atau berbaring. Perubahan posisi ini dipercayai dapat membantu meredakan intensiti emosi.
- Berwuduk kerana kemarahan sering dikaitkan dengan “api”, air wuduk berperanan sebagai penyejuk. Tindakan berwuduk bukan sahaja membersihkan fizikal tetapi juga memberikan kesan ketenangan psikologi. Ini dibuktikan dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada ʻAṭiyyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk.” Riwayat Abū Dāwud (4784).
- Berzikir dan beristighfar kerana menyebut nama Allah dalam keadaan marah dapat mengingatkan individu kepada nilai kesabaran dan ganjaran menahan marah.
- Bersabar dan memaafkan seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran tentang nilai kesabaran, iaitu dalam Surah Āli ‘Imrān ayat 134: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain; dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
Pengurusan kemarahan yang efektif memerlukan pendekatan holistik yang menyentuh aspek rohani dan psikologi. Secara psikologinya, pengurusan kemarahan merupakan sebahagian daripada kecekapan emosi dan kesihatan mental. Pendekatan konvensional dalam konteks pengurusan emosi biasanya menumpukan kepada kemahiran kawalan kendiri, teknik pernafasan, kaunseling serta terapi tingkah laku kognitif (CBT).
Beberapa teknik utama pengurusan kemarahan mengikut pendekatan konvensional dalam bidang psikologi adalah seperti berikut:
- Teknik relaksasi iaitu menarik nafas dalam-dalam, meditasi, atau senaman pernafasan bagi menurunkan kadar denyutan jantung dan memberi ruang kepada otak untuk berfikir dengan rasional.
- Penstrukturan semula kognitif dengan mengenal pasti corak pemikiran negatif yang mencetuskan kemarahan dan menggantikannya dengan cara berfikir yang lebih rasional dan positif.
- Penyelesaian masalah atau melihat isu secara objektif dan mencari penyelesaian yang praktikal tanpa dipengaruhi oleh emosi melampau.
- Kemahiran komunikasi secara asertif, bukannya agresif, dapat membantu menyampaikan ketidakpuasan tanpa mencetuskan konflik.
Kedua-dua pendekatan agama dan psikologi dalam pengurusan emosi boleh disinergikan untuk kesihatan mental dan rohani. Pengurusan kemarahan misalnya boleh diperkukuhkan dengan nilai-nilai spiritual seperti sabar, syukur, dan tawakal. Manakala terapi kognitif pula boleh disesuaikan dengan elemen keagamaan seperti refleksi ayat al-Quran atau zikir, bagi memberi ketenangan dan motivasi diri.
Institusi keluarga, sekolah dan organisasi kerja juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik serta membudayakan pengurusan emosi yang sihat. Pendidikan awal tentang kecerdasan emosi dan nilai akhlak juga dapat mencegah gejala marah yang melampau dalam kalangan generasi muda misalnya.
Kemarahan tidak semestinya sesuatu yang negatif. Ia boleh menjadi isyarat kepada keperluan perubahan atau perlindungan diri. Melalui bimbingan agama dan sokongan psikologi, individu mampu mengawal emosi ini dengan lebih berkesan. Maka, pengurusan kemarahan perlu dianggap sebagai satu kemahiran hidup yang penting, bukan hanya untuk individu, tetapi untuk keharmonian masyarakat keseluruhannya.
Penulis bersama :
Nur Muhammad Azim bin Norazizi
Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar
Institut Kefahaman Islam Malaysia
dan
Feezyha binti Azmi
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar
Institut Kefahaman Islam Malaysia