Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai respon kepada tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa. Peranannya kemudian dikembangkan bagi menjaga kepentingan umat Islam dan mempertahankan hak-hak mereka di pentas dunia. Namun, konflik kemanusiaan terburuk yang sedang berlaku di Gaza sejak Oktober 2023 telah memperlihatkan satu realiti pahit – ketiadaan kesepakatan OIC dalam menunjukkan tindakan yang bersatu, tegas dan berkesan. Meskipun rakyat Palestin menghadapi genosid yang dahsyat, kenyataan dan resolusi yang dikeluarkan kebanyakannya bersifat retorik, tanpa tindakan bersama yang nyata.
Tatkala perpecahan pandangan dan strategi melemahkan OIC, harapan kini disandarkan kepada negara-negara yang masih berani menyatakan kebenaran dan bertindak. Malaysia mempunyai reputasi, posisi moral, dan kredibiliti diplomatik untuk menjadi pelopor kepada pendekatan baharu – bukan hanya menyuarakan solidariti, tetapi menjadi ejen penggerak tindakan di peringkat antarabangsa. Seperti kata cendekiawan Islam terkemuka, al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah, “Kepimpinan ialah amanah besar yang wajib menjamin maslahat umum dan mengelak kerosakan ke atas umat.” Maka dalam konteks Gaza, kepimpinan itu harus diterjemah dalam bentuk tindakan, bukan sekadar kenyataan.
Ketidaksepakatan Negara-Negara OIC
Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada ketidaksepakatan dalam kalangan negara OIC. Pertama, perbezaan dasar luar dan hubungan diplomatik dengan Israel. Negara seperti Iran, Turkiye dan Malaysia kekal lantang dalam mengecam Israel, manakala beberapa negara Teluk seperti UAE dan Bahrain mengekalkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis pasca Perjanjian Abraham. Kedua, kepentingan geopolitik dan ekonomi telah menyebabkan beberapa negara mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang reaksi kuasa besar Barat. Ketiga, struktur OIC yang longgar menjadikan sebarang tindakan kolektif sukar dilaksanakan. OIC tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan seperti yang dimiliki Kesatuan Eropah atau NATO.
Kesan langsung daripada ketidaksepakatan ini ialah lemahnya tekanan terhadap Israel. Resolusi gencatan senjata sering gagal diluluskan di Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana tiada kuasa sokongan yang kukuh dari negara-negara Islam. Bahkan, masyarakat antarabangsa menyaksikan bagaimana umat Islam gagal untuk bersatu atas isu yang begitu jelas dari sudut hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
Peranan Aktif Malaysia di Pentas Antarabangsa
Malaysia telah memperlihatkan pendirian konsisten dan tegas dalam memperjuangkan nasib Palestin. Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad, menyampaikan kenyataan rasmi Malaysia yang mengecam kekejaman Israel dan menyeru kepada gencatan senjata serta siasatan jenayah perang oleh pihak bebas antarabangsa. Malaysia menyelar amalan kuasa veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, yang telah berulang kali menggagalkan usaha mewujudkan gencatan senjata.
Di peringkat global, Malaysia menyertai The Hague Group−blok negara Global Selatan yang menyokong tindakan undang-undang oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel atas tuduhan genosid. Di samping itu, Malaysia turut menegaskan bahawa sebarang cadangan pemindahan rakyat Gaza atau pengambilalihan wilayah oleh pihak asing adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan satu bentuk pembersihan etnik.
Tindakan Praktikal dan Tekanan Ekonomi
Malaysia juga telah mengambil langkah tegas dengan melarang kemasukan kapal berdaftar Israel ke pelabuhan negara, selain menyekat sebarang perdagangan dengan entiti yang terlibat secara langsung dengan rejim Zionis. Dalam konteks bantuan kemanusiaan, Malaysia menyalurkan sumbangan melalui UNRWA, serta bekerjasama dengan negara jiran seperti Mesir dan Turkiye bagi membolehkan akses bantuan lebih cekap ke Gaza. Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan hasrat Malaysia untuk terlibat secara aktif dalam usaha membangunkan semula infrastruktur asas Gaza seperti sekolah, hospital dan masjid. Di peringkat serantau, Malaysia menggesa negara-negara D-8 untuk menghentikan hubungan ekonomi dengan Israel dan menggunakan kekuatan kolektif ekonomi dunia Islam sebagai tekanan terhadap rejim Zionis.
Potensi Kepimpinan Malaysia dalam Dunia Islam
Peranan Malaysia di PBB menggambarkan pendirian berani, konsisten dan berasaskan prinsip keadilan sejagat. Di tengah-tengah kegagalan kuasa besar untuk melindungi rakyat Palestin, Malaysia muncul sebagai suara moral yang penting di arena antarabangsa. Tindakan Malaysia ini bukan sahaja mempertahankan nasib Palestin, tetapi juga mengangkat martabat diplomasi Islam dalam menuntut keadilan global. Malaysia mempunyai potensi besar untuk memimpin usaha pemulihan maruah umat Islam dalam isu ini. Sebagai negara Islam sederhana yang dihormati, serta bebas dari krisis dalaman besar, Malaysia berpotensi menjadi suara penyatu dalam kalangan negara OIC yang progresif. Potensi ini harus digerakkan dengan:
- Mewujudkan blok gabungan bersama negara seperti Turkiye, Indonesia dan Qatar bagi mendesak pelan tindakan kolektif OIC.
- Mencadangkan penubuhan Tribunal Keadilan Ummah sebagai pelengkap dan berperanan sebagai ‘check-and-balance’ kepada ICJ dan ICC.
- Memperkukuhkan diplomasi kemanusiaan dengan memperkasa NGO dan yayasan dari Malaysia sebagai ejen penyelamat dan pembangun semula Gaza.
Cendekiawan agung Ibn Khaldun pernah menegaskan dalam Muqaddimah: “Asabiyyah (solidariti) yang kuat antara manusia akan melahirkan kerajaan dan kekuasaan. Namun jika tiada kesepakatan, kehancuran akan menyusul.” ‘Asabiyyah’ bukanlah semata-mata semangat kesukuan, tetapi merangkumi kesatuan nilai, dan kesepakatan dalam mempertahankan maruah. Bagi Ibn Khaldun, kekuasaan dan tamadun hanya boleh dibina apabila wujud kekuatan kolektif ini. Apabila ‘asabiyyah’ melemah — sama ada kerana perpecahan, atau individualisme — maka kejatuhan kuasa dan keruntuhan masyarakat tidak dapat dielakkan.
Ketidaksepakatan negara-negara OIC dalam menangani genosid di Gaza bukan sahaja melemahkan suara umat Islam, malah membenarkan kezaliman terus berleluasa tanpa sekatan. Walaupun Malaysia bersikap lantang, namun ternyata itu tidak memadai. Juster, cabaran kini adalah untuk melangkah lebih jauh – daripada bersuara kepada memimpin. Peranan Malaysia harus dikembangkan sebagai penggerak tindakan, pembina jaringan solidariti Islam baharu, dan pelopor kepada reformasi struktur OIC. Hanya dengan kesepakatan, kekuatan moral dan keberanian politik, umat Islam boleh memulihkan maruah dan membela nasib saudara seakidah di Palestin.