Kes kemalangan jalan raya di Malaysia semakin membimbangkan semua pihak. Ia seperti tiada jalan penyelesaian walhal ia boleh dielakkan dan banyak nyawa yang sepatutnya dapat diselamatkan. Secara statistiknya, setiap dua jam akan ada seorang insan yang bakal kehilangan nyawa di jalan raya negara ini. Situasi ini telah menjadikan Malaysia sebagai negara kedua tertinggi di ASEAN di mana rakyatnya hilang nyawa di jalan raya. Mengikut statistik tahun 2021, kadar kematian jalan raya Malaysia ialah 23.7 bagi setiap 100,000 orang, hanya lebih rendah sedikit berbanding Thailand yang mencatat 29.7. Trend membimbangkan ini menunjukkan bahawa pendekatan teknikal semata-mata yang tertumpu kepada kaedah memperbaiki jalan atau mengenakan saman sahaja bukanlah cara terbaik untuk menangani krisis ini. Kini sudah tiba masanya isu kemalangan jalan raya dilihat dari sudut lebih mendalam, bukan sahaja aspek mekanikal atau teknikal, tetapi dari sudut kesihatan fizikal, psikologi, serta rohani para pemandu.
Rumusan kajian mendapati bahawa dalam sektor kargo dan pengangkutan berat, 15–20% kemalangan disebabkan oleh keletihan pemandu. Tambahan pula, kajian menunjukkan 34.7% pemandu tangki terjejas akibat kualiti tidur yang rendah, menjadikan mereka mudah terdedah kepada gangguan tumpuan dan reaksi perlahan, yang boleh membawa maut. Keletihan sering dipandang remeh, sedangkan ia merupakan faktor utama dalam banyak kemalangan maut. Statistik menunjukkan hampir separuh daripada pemandu logistik di Malaysia mengalami keletihan melampau. Bayangkan seseorang memandu selama 10 jam sehari, menempuh kesesakan, cuaca panas, dan tekanan untuk menghantar barangan tepat pada masa. Apakah tubuh dan minda mereka masih mampu memberi tindak balas segera sekiranya kecemasan berlaku?
Kajian psikologi juga mendapati bahawa individu yang letih berisiko tinggi membuat keputusan kurang tepat, bertindak lambat dalam situasi kritikal, dan mudah terdedah kepada fenomena “microsleep”, iaitu tidur tanpa sedar selama beberapa saat. Dalam dunia pemanduan, tempoh satu saat sudah memadai untuk meragut nyawa. Dalam Islam, menjaga nyawa adalah prinsip asas dalam Maqasid Syariah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 195 mengingatkan: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” Ini menunjukkan bahawa sebarang tindakan yang meletakkan diri atau orang lain dalam risiko termasuk pemanduan dalam keadaan tidak sihat dan amat ditegah.
Contoh terdekat apabila kemalangan melibatkan bas pelajar UPSI yang berlaku pada jam 1 pagi, yang secara biologi, manusia berada dalam keadaan mengantuk tahap maksimum. Menurut kajian perubatan, antara jam 1 hingga 4 pagi adalah masa paling tidak sesuai untuk melakukan tugas memerlukan fokus tinggi. Laluan yang berbukit, gelap dan tekanan masa menambah risiko, dan dalam kes tersebut, cubaan memotong dipercayai menjadi punca kehilangan kawalan. Persoalannya, adakah pemandu benar-benar sedar apa yang mereka lakukan pada waktu itu, atau di bawah pengaruh keletihan dan tekanan? Di sinilah pentingnya saringan psikologi dan mental sebelum seseorang diizinkan memandu, apatah lagi membawa penumpang yang ramai. Inilah hakikat yang berlaku apabila sistem sedia ada terlalu menumpukan pada kesihatan fizikal seperti penglihatan, tekanan darah dan air kencing namun mengabaikan kesejahteraan psikologi mereka. Sudah tiba masanya system yang ada sekarang membewri tumpuan juga kepada tahap tekanan jiwa, kemurungan, atau trauma kerja? Bukankah itu juga boleh membunuh?
Kini sudah tiba masanya kita bercakap tentang ‘pemanduan mesra kesihatan’, bukan hanya ‘pemanduan berhemah’. Pemanduan mesra kesihatan memberi tumpuan kepada kesejahteraan holistik pemandu termasuk fizikal, mental, dan emosi. Berikut adalah antara langkah yang boleh diambil iaitu menetapkan had pemanduan tidak melebihi 4 jam Sahaja, diikuti tempoh rehat selama 30 minit. Mewujudkan prosedur saringan kesejahteraan mental ringkas sebelum bertugas bagi mengesan kesediaan atau bebas pengaruh tekanan dan keletihan, keupayaan menguasai teknik pengurusan tekanan dan kemarahan. Dan sebagainya. Terokai bidang Baharu penggunaan teknologi pemantauan pemandu berkamera, sensor pergerakan mata dan penggera mengantuk dan lain-lain. Sediakan juga perkhidmatan sokongan psikososial kepada pemandu, sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Ini bertepatan dengan saranan dalam Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam setiap pekerjaan.” (Riwayat Muslim). Ihsan dalam konteks ini bermaksud memandu dalam keadaan sihat, fokus dan amanah terhadap nyawa yang dibawa.
Kita sering melihat pemandu sebagai ‘robot’ yang perlu kekal cergas sepanjang masa. Realitinya, mereka juga adalah manusia biasa yang berdepan tekanan kewangan, kurang tidur, dan waktu kerja yang tidak menentu. Ramai pemandu tidak pernah dilatih tentang kesihatan mental atau diajar mengenali simptom tekanan. Lebih malang, mereka takut untuk mengadu kerana bimbang dianggap tidak kompeten atau akan kehilangan pekerjaan. Pengurusan syarikat, agensi kerajaan dan industri pengangkutan awam perlu berganding bahu membina sistem sokongan emosi dan kesihatan buat pemandu, termasuk menyediakan ruang rehat berkualiti di hentian, memberi jadual kerja lebih manusiawi, dan memberi cuti berkala yang mencukupi.
Islam bukan semata-mata menekankan ibadah ritual, malah turut memberi penekanan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan umum. Prinsip “la dharar wa la dhirar” (jangan memudaratkan diri dan orang lain) adalah tiang utama dalam setiap tindakan. Memandu dalam keadaan lelah, emosi tidak stabil atau tertekan adalah satu bentuk mudarat, bukan sahaja kepada diri, tetapi kepada puluhan nyawa yang turut berada di atas jalan raya. Pemandu memegang amanah besar untuk memahami bahawa setiap nyawa yang dibawa, adalah tanggungjawab mereka di dunia dan akhirat. Malah, jika berlaku kecuaian yang disengajakan, ia boleh dianggap sebagai pengabaian amanah dan boleh memberi kesan buruk dan akan dipertanggungjawabkanb di dunia dan juga akhirat.
Hakikatnya, setiap kematian di jalan raya mencerminkan kelemahan sistem yang lebih besar. Tidak adil untuk menyalahkan pemandu sahaja, atau menyalahkan keadaan jalan. Yang lebih penting, kita harus bertanya: “Apa yang boleh kita ubah? Dari penggubal dasar hingga syarikat pengangkutan, dari agensi penguatkuasaan hingga ke penumpang sendiri, semua pihak harus menyumbang kepada budaya pemanduan yang lebih sihat, lebih prihatin, dan lebih beretika. Sekiranya kita terus mengabaikan pendekatan mesra kesihatan dalam dunia pemanduan, berita tentang “satu lagi nyawa terkorban” akan terus menghiasi dada akhbar. Bagi umat Islam, setiap nyawa yang hilang tanpa sebab yang dibenarkan akan ditanya di hadapan Allah SWT kelak. Maka, marilah kita melihat keselamatan jalan raya bukan sekadar isu logistik, tetapi juga sebagai tuntutan moral dan tanggungjawab agama.