Pertembungan di antara perubatan Islam dan perubatan kontemporari hangat diperbincangkan dalam masyarakat kita pada hari ini. Timbul perdebatan antara kedua-dua pihak yang mengamal atau mengaplikasi jenis perubatan tersebut dan saling menegakkan hujah sehingga tiada penamat dan titik temu yang mengharmonikannya. Perubatan Islam seringkali dikaitkan dengan perubatan Nabi (Tibb Nabawi) banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi untuk mengamalkan dan menghidupkan Islam serta Sunnah Rasulullah SAW. Manakala perubatan kontemporari berkisar dalam kalangan individu yang berlatarbelakangkan pendidikan perubatan dan berikrar dengan ‘hippocratic oath’ untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit. Persoalannya, apakah pengamal perubatan Nabi pada masa kini menepati konsep perubatan Islam sebenar dan perubatan kontemporari tidak selari dengan perubatan Islam? Apakah konsep dan pendekatan sesuatu jenis perubatan benar-benar menepati perubatan Islam?
Perbahasan tentang pertembungan dua jenis perubatan ini berputar dalam masyarakat disebabkan kerana wujud golongan yang ingin menegakkan pemahaman dan pendirian masing-masing. Barangkali ada titik keserasian yang boleh diharmonikan di antara kedua-duanya.
Perubatan kontemporari adalah kaedah perubatan yang berasaskan pembuktian klinikal dan melalui pelbagai fasa ujikaji dan eksperimen. Ketelitiannya adalah bertujuan untuk mencapai peluang kesembuhan yang optimum dan mengurangkan serta mengelakkan kemudaratan. Secara tidak langsung, perubatan tersebut menepati dengan tujuan maqasid syariah yang mengutamakan manfaat dan mengelakkan kemudaratan dengan meletakkan nyawa sebagai perkara utama yang perlu dipelihara. Maka tidak timbul persoalan yang mendakwa bahawa perubatan kontemporari adalah tidak islamik dan menjadi agenda Yahudi.
Banyak perbahasan mengenai perubatan Nabi (tibb nabawi) yang diketengahkan tetapi masyarakat memberi salah persepsi terhadap perubatan Islam. Kitab Zaadul Maad dikarang oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah telah memperkenalkan perubatan Nabi. Wujud salah pemahaman masyarakat yang mengehadkan perubatan Nabi hanyalah sekitar yang dibincangkan dalam kitab tersebut dan sekiranya tidak dibincangkan, maka tidak dikategorikan sebagai perubatan Islam. Nabi SAW bersabda “Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit iaitu tua”. [riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah]. Dalam mengubati penyakit, setiap individu seharusnya mencari ubat dan perubatan yang paling berkesan serta serasi dengannya. Malahan, Nabi SAW tidak mengehadkan bentuk perubatan dan ubat, tetapi menyebutnya secara umum.
Islam merupakan agama yang memberikan panduan lengkap dan komprehensif dalam semua perkara termasuklah ilmu kesihatan dan perubatan. Perubatan Islam ialah apa-apa jenis perubatan yang menyumbang kepada kebaikan, kesihatan dan kesejahteraan umat manusia.Malah perlu disedari bahawa ilmuwan Islam terdahulu telah terakam dalam sejarah yang menyumbang kepada dunia sains perubatan. Tokoh-tokoh tersebut termasuklah Abu Bakar ar-Razi, Hunayn Ibnu Ishaq, al-Biruni, Ibnu Sina, az-Zahrawi. Karya-karya mereka juga dijadikan rujukan utama oleh pengkaji dan pengamal perubatan dari Barat. Justeru, jelaslah bahawa perubatan Islam tidak hanya tertumpu kepada perubatan Nabi sepertimana yang didakwa oleh sesetengah masyarakat pada hari ini, malah turut merangkumi perubatan yang kompleks dan terkini termasuklah perubatan moden. Intipati penting yang perlu disandarkan dalam perubatan Islam ialah menekankan kesepaduan akidah, ilmu dan akhlak yang akhirnya memberi kemanfaatan kepada manusia sejagat.
Memetik kata-kata Ibn Khaldun dalam kitab al-Muqaddimah: “Maka, perubatan yang diriwayatkan dalam syarak (hadis) kepada kita adalah daripada jenis perubatan arab, sedikit pun bukan dari wahyu. Ia hanyalah perkara yang menjadi kebiasaan arab. Apa yang disebut keadaan Nabi SAW dalam hal ini termasuk dalam jenis adat dan jibiliyyah (tabiat kebiasaan) bukan kerana ia disyariatkan amal sedemikian rupa. Ini kerana Nabi SAW diutuskan untuk mengajar syariat, bukan untuk memperkenalkan perubatan atau adat kebiasaan yang lain.”
Di sini dapat dilihat pertikaian istilah ‘perubatan islam’ yang menjadi perbahasan pokok dalam masyarakat pada hari ini. Pengkelasan sesuatu jenis perubatan sama ada perubatan Islam ataupun sebaliknya adalah lebih menjurus kepada konsep dan pendekatan yang menjadi prinsip dalam sesuatu perubatan. Berubat memang disuruh oleh Islam. Selagimana sesuatu perubatan tersebut memberi implikasi kebaikan dan kesihatan serta tiada unsur mensyirikkan Allah, maka ia selari dengan perubatan Islam. Istilah perubatan Islam juga tidak hanya berputar dengan rawatan bekam, jampi (ruqyah), madu atau bahan-bahan lain-lain yang disebutkan oleh Nabi SAW semata-mata sepertimana yang sering dianggap oleh kebanyakan masyarakat. Malah, apa sahaja ubat-ubatan yang mengikut disiplin ilmu dan kaedah perubatan yang betul, maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak.
Apa jua konsep perubatan sama ada kontemporari (allopathy), cina, india, atau melayu yang berasaskan kaedah yang benar, tidak menggunakan bahan haram, tiada sebarang unsur syirik dan khurafat, maka ia adalah perubatan yang diizinkan dalam Islam. Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit dan tidak membahayakan tubuh badan, maka Islam menggalakkannya tanpa mengira asal usul perubatan tersebut.
Seringkali menjadi isu dalam perubatan Nabi atau rawatan Islam yang diperjuangkan oleh sesetengah individu pada hari ini, tidak melambangkan konsep asas dan pendekatan perubatan Islam. Kadangkala, mereka memanipulasi agama dengan menggunakan nama Islam hanya untuk keuntungan dan kepentingan peribadi semata-mata. Pelbagai isu penipuan dalam bentuk dan jenis rawatan serta produk yang menggunakan nama Islam tetapi tidak melambangkan konsep perubatan Islam itu sendiri. Perkara sebegini akan mencacatkan dan memburukkan imej Islam.
Oleh itu, konsep dan pendekatan kedua-dua perubatan tersebut perlu dikaji, digarap dan dinilai secara terperinci seterusnya diintegrasikan supaya memberi impak yang lebih besar kepada kesihatan masyarakat. Titik kesefahaman ini perlu jelas agar perubatan Islam juga dikenali sebagai satu langkah pencegahan kesihatan yang mendidik umat untuk memelihara kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Usaha rintis kerajaan dalam memperkenalkan perubatan Islam dan menggabungkan perubatan tradisional dan komplementari dengan sistem penjagaan kesihatan kebangsaan harus dipuji. Malah, lebih banyak lagi usaha dalam bentuk pengkajian, penyelidikan dan pendokumentasian yang perlu diselaraskan dalam mengarusperdanakan perubatan Islam. Usaha perencanaan juga perlu turut melibatkan perubatan kontemporari yang dinilai dari sudut fiqh selaras dengan konsep perubatan Islam itu sendiri. Pengintegrasian ini menuntut tanggungjawab professional daripada seluruh pengamal perubatan dalam mendidik masyarakat dengan penuh hikmah dan tidak menimbulkan salah faham. Malahan kesepaduan ilmu, akidah dan akhlak merupakan panji utama dalam mencari titik temu dan keserasian antara kedua-dua perubatan tersebut.