Banjir kadangkala berlaku tanpa diduga. Penduduk di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia kini dalam keadaan getir berdepan dengan musibah ini. Makanan dicatu, penempatan yang sempit, kemudahan asas yang terhad adalah perkara pasti yang akan dihadapi oleh mangsa banjir. Adakah mangsa bencana atau masyarakat sekeliling telah mendidik diri sendiri untuk menghadapi keadaan kritikal semasa banjir, persiapan sebelum dan selepas fasa banjir?
Banjir yang tidak disangka-sangka melanda tersebut seakan-akan memberi satu teguran kepada masyarakat dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana alam dan juga pihak berkuasa yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan supaya memantapkan lagi pengurusan menghadapi bencana alam.
Aspek yang tidak boleh diabaikan semasa menghadapi bencana ini adalah pencegahan kepada kematian dan penularan penyakit berjangkit. Perlindungan terhadap golongan yang kurang berkeupayaan seperti kanak-kanak, wanita hamil dan warga tua perlu diberi perhatian. Penjagaan keselamatan daripada arus deras banjir dan penjagaan kesihatan diri daripada pelbagai jenis kuman dan haiwan berbisa disebabkan air banjir wajar menjadi keutamaan bagi mangsa banjir dan pihak yang memberi dan menyediakan bantuan.
Banjir akan menyebabkan sampah-sarap terkumpul dan turut menyebabkan haiwan dan tumbuhan mati. Sampah yang bertaburan, pokok-pokok yang tumbang, bangkai yang mereput akan menyebabkan kuman membiak dan merebak seterusnya penularan kepada penyakit berjangkit. Pada fasa ini, isu kebersihan dan keselamatan dari segala aspek amat penting untuk dititikberatkan khususnya dalam aspek pemakanan dan penjagaan kesihatan diri. Sekiranya tahap kebersihan tidak dijaga, penyakit berjangkit mudah merebak dalam kalangan mangsa banjir yang menyentuh dan bermain air banjir.
Jangkitan kuman, makanan dan air tercemar kerapkali dihadapi oleh mangsa banjir semasa dan selepas banjir surut. Oleh itu, penjagaan kebersihan diri perlu ditekankan untuk mengurangkan risiko penyakit taun (kolera), demam kepialu, kerosakan hati (hepatitis A), leptospirosis, cirit-birit dan keracunan makanan. Kesan jangkitan penyakit tersebut boleh mengundang maut sekiranya tidak dikawal dan diberi rawatan awal. Antara perkara penting yang perlu diambilberat oleh mangsa banjir ialah menjaga kebersihan tangan dengan mencucinya sebelum dan selepas makan, selepas menguruskan sampah atau keluar dari tandas. Perlu disedari bahawa kuman penyakit tidak hanya memasuki salur penghadaman malah boleh juga menyerang salur pernafasan menerusi hidung, sinus, kulit dan mata.
Penjagaan dalam aspek pengambilan makanan juga tidak wajar dikesampingkan. Biarpun sumber makanan terhad sekiranya menghadapi saat-saat kritikal, tahap keselamatan sesuatu makanan sebelum disuapkan ke mulut tidak boleh diabaikan. Kewaspadaan ini dapat menjamin kesihatan mangsa banjir yang mudah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit kesan daripada banjir. Makanan yang dikhuatiri sudah tercemar perlu dibuang dan tidak boleh dimakan. Begitu juga makanan mentah seperti ulam-ulaman atau buah-buahan yang tidak basuh atau terkena air banjir. Mangsa banjir juga perlu berhati-hati dengan makanan yang disimpan dalam peti sejuk yang terputus bekalan elektrik semasa berlakunya bencana banjir. Perkara ini dilihat seperti mudah tetapi ia akan mengancam nyawa jika tidak diberi perhatian. Ini kerana bakteria seperti E. Coli dan Salmonella mudah mencemari makanan yang tidak disimpan dalam suhu yang bersesuaian.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa atau agensi yang memberi bantuan kecemasan semasa banjir ialah bekalan makanan sihat kepada mangsa semasa fasa permulaan berlakunya bencana. Bekalan tersebut mesti memenuhi ciri berkhasiat, selamat, senang dimakan tanpa memerlukan penyediaan dan peralatan memasak dan senang untuk dibawa ke mana sahaja. Ini akan memudahkan mangsa banjir dalam menghadapi situasi cemas tersebut.
Sumber air yang bersih menjadi faktor penentu kepada tahap kesihatan mangsa semasa musim banjir. Ramai yang mengabaikan kepentingan minum air masak terutamanya pada musim banjir dengan alasan tidak berasa haus kerana cuaca sejuk. Malah, sumber air yang tidak bersih juga menyebabkan mereka tidak meminum air. Benar! Biarpun rumah digenangi air, mangsa banjir tidak boleh menggunakannya kerana sumber air tersebut terdedah kepada pencemaran walaupun ia dimasak. Sumber daripada air paip juga dikhuatiri berisiko tinggi untuk tercemar dengan air banjir. Selain untuk memastikan badan kekal terhidrasi, sumber air yang selamat juga dapat memastikan tubuh badan terpelihara daripada jangkitan kuman. Oleh itu, langkah yang paling selamat bagi mangsa banjir ialah menggunakan air yang dibotolkan bagi kegunaan memasak, minum, membersih perkakasan memasak dan mencuci tangan. Langkah ini tidak wajar dipandang remeh oleh semua pihak termasuk agensi yang memberi bantuan kepada mangsa banjir kerana ia mampu mengelakkan kemudaratan penyakit yang lebih teruk.
Kuman daripada air banjir tercemar akan menyerang salur penghadaman dan akan menunjukkan gejala yang hampir sama serta akan mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan segera. Oleh itu, pendidikan kesedaran bagi setiap mangsa banjir adalah penting dalam memahami punca dan gejala jangkitan penyakit akibat daripada bencana banjir. Ini bertujuan untuk mengenalpasti langkah dan rawatan awal yang boleh diambil sekira berlakunya jangkitan dan mengawal penyebaran serta penularan lebih meluas kepada komuniti lain.
Islam merupakan agama yang menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan fizikal selain daripada kesihatan rohani dalam menguruskan kehidupan. Ia merangkumi kebersihan diri, tempat tinggal, persekitaran dan juga penampilan. Kebersihan fizikal juga merupakan lambang keimanan. Di sisi Islam, kebersihan bukanlah sekadar slogan semata-mata. Tetapi perlu diamalkan sepanjang masa walaupun dalam situasi kecemasan.
Oleh itu, walaupun di musim banjir, kesihatan diri perlu terus dipelihara dengan langkah-langkah yang mungkin dianggap mudah tetapi ia memberi kesan signifikan dalam penjagaan kesihatan.