Pemilihan makanan merangkumi jenis dan kuantiti makanan yang diambil oleh individu menjadi penentu utama kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar. Kualiti dan komposisi sesuatu jenis makanan yang diambil mempunyai kesan secara langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang individu. Krisis perubahan alam sekitar yang dikaitkan dengan proses penghasilan makanan juga memberi impak kesihatan secara tidak langsung. Justeru, strategi diet lestari (sustainable diet) bertujuan menangani masalah kesihatan individu dan alam sekitar yang dilihat semakin meruncing pada hari ini, terutamanya berkaitan dengan pengeluaran dan penggunaan makanan.
Diet lestari ditakrifkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) sebagai diet dengan impak alam sekitar yang rendah dan menyumbang kepada sekuriti makanan dan pemakanan serta kehidupan sihat untuk generasi kini dan seterusnya. Diet sihat amat selari dengan pendekatan diet lestari yang mampu memperbaiki taraf kesihatan dan juga mengurangkan kesan terhadap alam sekitar akibat daripada aktiviti penghasilan makanan. Justeru, diet lestari perlu berharmoni dengan alam sekitar bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan manusia. Dalam erti kata lain, diet lestari bukan hanya tentang mematuhi dan mengamalkan diet yang sihat tetapi juga memastikan generasi akan datang juga mampu mendapat makanan yang berkhasiat daripada alam sekitar yang baik.
Faktor risiko yang menyumbang kepada kadar morbiditi global banyak berpunca daripada kualiti pemakanan yang rendah. Penyakit yang dikaitkan dengan kualiti pemakanan yang rendah termasuk penyakit jantung koronari (CHD), diabetes jenis II, strok, dan kanser usus telah menyumbang hampir 40% daripada kematian di dunia. Pada hari ini, isu yang paling utama adalah kebanyakan makanan berpunca daripada aktiviti pertanian yang tidak dihasilkan dengan cara mampan. Sektor pertanian merupakan punca utama penebangan hutan, penangkapan ikan secara berlebihan, kehilangan biodiversiti, dan pencemaran tanah dan air. Tambahan pula, pengeluaran makanan daripada sektor pertanian telah menjana sebanyak 20% sehingga 30% daripada pengeluaran gas rumah hijau (GHG), melibatkan hampir 40% penggunaan tanah bumi, menyebabkan pencemaran nutrien yang mengubah ekosistem dan kualiti air serta menyumbang hampir 70% daripada pengeluaran sumber air daripada sungai, takungan dan air bawah tanah.
Kesan daripada kemerosotan alam sekitar telah menyumbang kepada kejadian cuaca ekstrem, kekurangan air, kekurangan bekalan makanan berkualiti untuk semua seterusnya kemerosotan kualiti kesihatan dan kehidupan. Oleh sebab itu, bagi membantu memelihara bumi dan ekosistem ini, amat penting untuk melakukan perubahan dalam penghasilan dan pengambilan makanan malah perubahan ini juga baik untuk kesejahteraan dan kesihatan manusia.
Kepelbagaian diet amat penting untuk kesihatan manusia, tetapi diet yang dihasilkan dalam konteks pertanian mampan juga akan memberi impak kepada kesihatan alam sekitar. Diet lestari mempunyai pertimbangan terhadap kesan alam sekitar, individu dan rantai makanan secara keseluruhan. Antara faktor yang menentukan kelestarian diet termasuklah aspek ketersediaan nutrisi, biodiversiti, perlindungan ekosistem dan mengambilkan kira unsur kesihatan awam. Jelas didapati bahawa semua faktor ini penting dalam membantu memastikan bumi ini dapat terus menyediakan makanan dan sumber yang mencukupi untuk populasi yang semakin meningkat dan juga generasi akan datang.
Masyarakat perlu tahu bahawa cara pemilihan pemakanan bukan sahaja memberi impak kepada kesihatan malah turut memberi impak kepada alam sekitar. Hal yang demikian ini kerana makanan yang kita makan dan cara makanan dihasilkan, dibungkus dan diangkut serta diagihkan dari satu tempat ke tempat yang lain mempunyai kos tenaga dan alam sekitar yang diukur dari segi pelepasan gas rumah hijau, penggunaan dan kemerosotan tanah serta air atau kehilangan biodiversiti. Diet yang lestari akan melindungi dan mengekalkan kewujudan biodiversiti dan ekosistem, senang diperolehi, mudah dan murah secara ekonomi, berzat, selamat dan sihat di samping mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan alam semula jadi. Secara idealnya, diet lestari merupakan diet sihat yang menfokuskan secara konsisten tentang penurunan risiko penyakit dan pengurangan risiko pencemaran alam sekitar seperti bijirin, tenusu, telur dan ayam berbanding daging merah dan makanan terproses.
Pemakanan sihat dan seimbang seperti makanan berasaskan tumbuhan, pengambilan daging secara minimum dan mengutamakan kualiti protein daripada ayam dan ikan dalam kuantiti yang sesuai boleh memenuhi keperluan mikronutrien, serat, karbohidrat, lemak dan protein. Di samping seimbang dari segi kualiti nutrisi, diet lestari juga perlu mengutamakan produk yang segar, hasil tempatan, bermusim dan dibungkus secara minimum bagi mengekalkan matlamat kelestarian dan mengurangkan kesan alam sekitar.
Panduan pemakanan sihat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengintegrasikan matlamat kesihatan dan kelestarian. Panduan yang diketengahkan ini dilihat sejajar dengan prinsip diet sihat dan lestari yang menekankan pemilihan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam sajian harian dan mengurangkan pengambilan daging. Di samping itu, masyarakat perlu dididik untuk mempelbagaikan pilihan makanan, mengurangkan pengambilan makanan terproses, menekankan keseimbangan zat, dan mengelakkan pengambilan pewarna serta perisa tambahan.
Penerapan diet lestari bukan bermakna mengamalkan corak pemakanan yang baharu sebaliknya kembali kepada amalan sihat yang diamalkan sebelum ini secara tradisional dan tidak mementingkan penggunaan produk makanan ultra proses seperti budaya dan tabiat makan masyarakat pada hari ini. Pelaksanaan diet lestari dilihat memerlukan usaha berfokus kepada tiga dimensi iaitu makanan, kesihatan dan alam sekitar. Oleh sebab itu, diet lestari perlu diterapkan dan diperkukuh pada semua peringkat kehidupan sejak kecil sehingga dewasa dan harus mengikut kesesuaian umur dan tahap kesihatan. Bagi meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan lestari dalam konteks diet dan kesihatan, unsur pendidikan amat penting. Pengambilan makanan secara sederhana seperti yang dianjurkan dalam Islam dapat mengelakkan pembaziran sekaligus mengurangkan sisa makanan perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. Amalan ini juga dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau dan kemerosotan alam sekitar.
Menyedari hakikat bahawa corak pemakanan masyarakat pada hari ini bukan sahaja membahayakan kesihatan malah juga mengancam alam sekitar, maka amat penting untuk setiap inidividu mengubah gaya hidup sedia ada. Pemilihan makanan perlu bijak dan betul, di samping mengurangkan pembuangan sisa makanan, memaksimumkan pengambilan sumber semulajadi dan segar untuk mengurangkan impak kerosakan kepada alam sekitar seterusnya bagi mendapatkan hidup yang berkualiti pada masa ini dan akan datang.