Pembangunan sains dan teknologi, globalisasi, ledakan teknologi maklumat, perubahan sosio-budaya serta perkembangan pesat yang berlaku dalam dunia penyiaran serta media massa menyebabkan masjid telah kelunturan daya tumpuan sebagai institusi yang sangat berpengaruh kepada masyarakat dalam pengembangan ajaran Islam. Sebaliknya, masyarakat pada hari ini termasuk masyarakat Islam lebih teruja untuk mengasimilasikan diri dengan budaya hidup yang lebih bersifat hiburan.
Inilah cabaran hebat yang perlu ditempuhi oleh setiap individu Muslim sebagai khalifah yang antara tugasnya adalah untuk memastikan kelangsungan hidup pengajaran agama Islam. Konsep yang popular dengan istilah ‘dakwah’ sekitar 1970-an bukan sahaja perlu dipastikan sentiasa dilaksanakan; sama ada oleh orang perseorangan, jama’i (berkumpulan) mahupun dalam bentuk organisasi, tetapi ia perlu bersifat dinamik seiring dengan perubahan yang sentiasa berlaku. Ini kerana pengajaran agama Islam perlu berlaku secara berterusan demi pembangunan diri insan, institusi kekeluargaan, institusi kemasyarakatan dan akhirnya pembangunan bangsa serta negara.
Pengajaran agama Islam perlu bagi pembangunan ilmu, adab dan akhlak yang terpuji. Kerana ini yang akan menentukan keseimbangan hubungan manusia sesama manusia, dan juga hubungan manusia dengan Tuhannya demi mendapatkan kehidupan yang diredai Allah SWT. Melalui Surah az-Zumar, ayat sembilan Allah SWT menegaskan bahawa insan yang memiliki ilmu sudah pasti sangat ketara bezanya dengan mereka yang tidak memiliki ilmu. Bukan sahaja jurang beza itu boleh diukur, malah Allah SWT memberi jaminan melalui Surah Mujadalah ayat 11, bahawa kalangan yang memiliki ilmu pengetahuan diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi, mulia dan berdarjat.
Individu Muslim yang memiliki ilmu akan menjadi komponen berkualiti bagi pembinaan institusi keluarga yang mantap dari semua aspek kehidupan. Bermula dengan setiap unit keluarga Islam yang berkualiti dan soleh ia akan membentuk satu masyarakat Islam yang mapan sifatnya. Unit-unit masyarakat sebeginilah yang diperlukan bagi menjamin terbentuknya peradaban bangsa dan negara yang panjang hayatnya.
Namun bagi memastikan proses pembentukannya berlangsung dengan lancar, tidak berlaku penyelewengan dan salah laku manusia dapat dikawal, pengajaran agama Islam perlu bersifat berterusan, praktikal, realistik, kreatif dan dinamik.
Dinamisme harus berlaku dari aspek bahasa dakwah bagi menampung keperluan yang disebabkan oleh kepelbagaian faktor seperti pemelukan agama Islam dari kalangan kaum bukan bumiputera dan proses migrasi yang mewujudkan kelompok masyarakat baru terutamanya di kawasan bandar.
Penyampai ajaran agama Islam perlu mempertingkatkan kemahiran bahasa mereka dengan mempelajari bahasa-bahasa golongan sasaran bagi memastikan ajaran agama Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Selain mereka perlu menguasai bahasa sasaran, mereka juga wajar mempunyai kesedaran berkenaan hubung kait bahasa dengan budaya dan pemikiran bangsa yang menjadi subjek kepada ajaran agama Islam.
Keprihatinan sebegini adalah selaras dengan kehendak Islam yang boleh difahami melalui ayat empat Surah Ibrahim apabila Allah SWT menyatakan bahawa setiap Rasul yang diutus kepada kaum tertentu adalah dari kalangan kaum itu sendiri supaya wahyu yang diturunkan kepada mereka dapat disampaikan dengan cara yang berkesan, dan kaum tersebut dapat memahami dengan baik berkenaan hukum-hukum Allah. Selain itu ia juga dapat mengelak daripada wujudnya ruang untuk berdalih daripada menerima apa yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah.
Ulama kontemporari yang terkenal, Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyarankan agar projek pembinaan masjid yang menelan banyak belanja dihentikan dan peruntukan bagi projek tersebut dialih dan disalurkan kepada pembangunan modal insan di kalangan generasi muda dalam bidang multimedia, termasuklah animasi.
Tanpa menafikan fungsi asal masjid sebagai pusat pertemuan dan perhimpunan kaum Muslimin iaitu dengan cara mendirikan solat secara berjemaah dan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain, pemikiran analitis beliau menjelaskan bahawa keberkesanan dalam menyampaikan ajaran agama Islam adalah perkara yang sangat penting untuk difikirkan oleh setiap umat Islam secara bersama.
Pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penyampaian ajaran Islam perlu mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap kecenderungan dan cita rasa semasa manusia. Di mana keterujaan mereka pada hari ini, maka di situlah pendekatan pengajaran agama Islam perlu bergerak secara seiring dan realistik tanpa melewati prinsip-prinsip yang telah ditentukan Allah SWT.
Bila kita menyedari bahawa sesetengah anak kecil belajar mengenali ibadah solat dan puasa melalui animasi, dan melalui animasi juga adab dan akhlak bermasyarakat dipelajari, maka pembangunan bidang multimedia termasuk animasi perlu diberi perhatian wajar agar ia boleh memberi sumbangan dan manfaat kepada pembangunan dan perkembangan ajaran agama Islam.
Kita tidak seharusnya bersikap menanti tokoh-tokoh besar seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi menyuntik semangat dan kesedaran dengan memberi saranan-saranan tertentu, akan tetapi umat Islam seharusnya memiliki keyakinan yang tinggi untuk melakukan sebarang inisiatif demi kepentingan agama dan umat Islam sendiri.
Pemikiran yang jumud dan pandangan yang kurang positif mengenai realiti kehidupan menjadikan umat Islam berasa sukar dalam melaksanakan perjuangan agama. Jika ini berlaku, umat Islam hanya menjadi golongan yang didominasi oleh pelbagai nilai yang tidak terpimpin dan terbimbing serta kabur hala tujunya.
Sehubungan dengan perkara ini juga, kepakaran-kepakaran yang bersifat fardu kifayah seperti bidang multimedia perlu digabungkan dengan kepakaran agama yang bersifat teras agar maklumat, idea yang hendak disampaikan serta perkara-perkara yang melibatkan hukum-hakam adalah idea yang tidak menyimpang dan mengelirukan di samping ia dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran selaras dengan kehendak Allah SWT supaya hukum-hakam dan kandungan agama itu dapat dijelaskan kepada umat manusia.