Hari ini 13 November 2006, penulis terbaca satu maqalah tulisan Riaz Hassan, seorang professor daripada Universiti Flinders, Australia. Maqalah di dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan itu di tempatkan di dalam satu ruang (column) yang kecil tetapi cukup menarik perhatian penulis. Bukan sahaja perhatian, maqalah tersebut turut menimbulkan banyak persoalan di hati penulis.
Artikel bertajuk “Today’s Islamic World Risks Intellectual Stagnation” antara lainnya membicarakan tentang dunia Islam yang kini berhadapan dengan ancaman kebekuan ilmiah. Hal ini dirujuk berdasarkan kedudukan corot universiti-universiti di negara Islam berbanding negara-negara bukan Islam yang telah dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).
Memetik tulisan Prof. Riaz, “Amerika Syarikat dengan hanya 5% penduduk dunia mempunyai 54 atau 27% daripada 200 universiti terbaik dunia. Manakala di kalangan 46 negara yang kebanyakan penduduknya adalah Muslim, iaitu terdiri daripada 16% penduduk dunia, hanya dua universiti yang tersenarai di dalam THES. Dua universiti yang tersenarai tersebut adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) pada tangga ke 185 dan 192 masing-masing. Mata keseluruhan yang diperoleh UKM dan UM adalah 29.2 dan 28.6 mata daripada 100 mata keseluruhan”.
Walaupun Prof. Riaz hanya merujuk kepada kedudukan universiti sebagai bukti yang menunjukkan kekeringan ilmiah di kalangan umat Islam, namun hal ini masih boleh diterima. Ini merupakan satu petunjuk yang perlu diberi perhatian dan difikirkan oleh seluruh umat Islam bagi menunjukkan kedudukan keilmuan masyarakat Islam ketika ini. Seharusnya kita berasa malu. Malu kepada dunia barat yang lebih hebat, malu kepada umat Islam dahulu yang begitu tinggi mencapai kegemilangan ilmu dan pastinya malu dengan diri sendiri kerana gagal menyerlahkan kemampuan diri dan leka pula dengan hal-hal yang kurang berfaedah.
Tulisan Prof. Riaz ini dipanjangkan lagi dengan melihat punca-punca kepada berlakunya kekeringan akal fikiran di kalangan umat Islam. Antara punca kelemahan ini adalah tumpuan pembangunan negara-negara tersebut yang lebih mementingkan pembangunan ekonomi dan zahiriah berbanding pengembangan ilmu, pengaruh penjajahan, amalan dan keadaan siasah serta budaya, kekurangan dana penyelidikan akibat tumpuan pembangunan yang tersasar, ancaman mulhid, kemiskinan dan pelbagai alasan lagi.
Seperti yang penulis sebutkan tadi, maqalah tersebut banyak mengundang persoalan dikotak fikiran penulis. Persoalan kenapa masalah kekeringan ilmu ini berlaku telah sedikit sebanyak dijawab oleh Prof. Riaz sendiri. Namun, persoalan yang lebih besar adalah bagaimana umat Islam kini boleh keluar daripada permasalahan itu. Seperti yang telah ditunjukkan di atas, masalah kekeringan ilmu itu berlaku akibat masalah dalaman dan juga pengaruh masalah luaran di kalangan dunia Islam. Jadi, bagaimana kita boleh mengatasi tekanan-tekanan tersebut?
Masalah dalaman dan luaran itu membelenggu masyarakat Islam daripada pelbagai sudut. Bagi sesetengah negara Islam adalah terlalu sukar untuk mereka keluar daripada masalah itu. Apatah lagi sebahagian daripada masalah tersebut berpunca daripada tekanan negara sekelilingnya. Oleh itu, usaha untuk menghapuskan masalah kekeringan ilmu di kalangan umat Islam ini dilihat agak mustahil.
Walau bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk menyalahkan tekanan luar semata-mata. Masalah-masalah dalaman seperti tidak menghormati ulama-ulama yang sah, kecintaan kepada ilmu yang nipis, sikap penerokaan yang rendah, gemar kepada keseronokan, hiburan dan kebendaan serta budaya ‘mengikut-ngikut’ di kalangan umat Islam adalah antara pemangkin kepada kegersangan ilmu mereka. Sebenarnya, kurang minat terhadap ilmu di kalangan umat Islam adalah punca kita jauh ketinggalan dan hal ini amat bertentangan dengan amalan menuntut Ilmu dalam pandangan hidup Islam.
Oleh itu, setiap insan kini perlu memastikan agar sifat cintakan ilmu dipupuk sedari kecil. Penulis menyebut ‘setiap insan’ kerana pada masa kini tugas mendidik anak-anak kecil adalah tanggungjawab semua orang. Daripada ibu bapa hinggalah kerajaan (dari segi pembentukan dasar). Walaupun ramai yang menyebut bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab lebih besar namun hal ini makin diragui kini. Apa tidaknya, kalau hampir separuh hari mereka menghidangkan anak-anak dengan pelbagai rancangan TV terutama kartun, maka bolehlah dikatakan bahawa rancangan kartun itulah yang sedang mendidik anak-anak itu. Oleh itu, ibu bapa yang sayangkan anak-anaknya tentu tidak mahu digugurkan daripada haknya yang satu ini iaitu hak untuk mendidik anak-anak. Jadi, mereka wajib menilai kaedah mendidik anak-anak mereka dan melakukan sesuatu untuk memperbaiki kaedah tersebut.
Kesimpulannya, apa yang ditulis oleh Prof. Riaz itu adalah satu kebimbangan yang telah disedari oleh banyak pihak. Pelbagai langkah mengatasinya juga telah dirangka. Walaupun langkah-langkah tersebut akan mengambil masa untuk membuktikan kejayaannya, namun ia wajar disemak selalu untuk melihat keberkesanannya. Seiring dengan kecanggihan dunia, kaedah mendidik kini juga semakin canggih. Sebaliknya, dalam masa yang sama, budaya cintakan ilmu semakin terhakis pula. Oleh itu, sangat penting untuk kita memeriksa dan menilai kaedah mendidik anak-anak kini agar ianya tidak tersasar daripada matlamat asal. Janganlah kita menjadi umat Islam yang hanya mampu berbangga dengan sejarah silam tetapi gagal mencipta sejarah kita yang tersendiri. Oleh itu, fikir-fikirkanlah dan lakukan sesuatu dengan segera.