Pengisytiharan tahun 2010 sebagai Tahun Inovasi Malaysia dilihat satu permulaan yang baik bagi menggerakkan usaha-usaha yang seterusnya ke arah penyuburan budaya inovasi di kalangan masyarakat. Antara salah satu usaha yang cukup penting ialah langkah awal kerajaan dengan memperkenal dan mempergiatkan lagi penerokaan eko-inovasi bagi membela nasib alam sekitar yang kian bercelaru pada hari ini. Ia merupakan langkah wajar yang harus disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat bagi memastikan idea dan inovasi ke arah matlamat pelestarian alam sekitar dapat diteroka dan diketengahkan selari dengan usaha mengukuh dan memartabatkan Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada dunia.
Eko-inovasi yang digambarkan sebagai hasil dan proses baru yang menyumbang kepada pembangunan mapan serta sekaligus mengurangkan impak ke atas alam sekitar seharusnya diperhalusi sehingga ke akar umbi. Ini bagi memastikan ia mampu digunapakai secara lebih berkesan dan diaplikasi dengan sebaik mungkin bagi mencapai matlamat ekonomi dan juga matlamat pelestarian alam sekitar. Malah, ia penting sebagai proses pembaharuan ke arah mewujudkan suasana alam sekitar yang lebih sihat, selamat dan harmoni.
Pada hari ini, rata-rata negara beranggapan inovasi teknologi sebagai saluran utama yang mampu mengangkat ekonomi mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk pembangunan mapan negara. Justeru, penglibatan negara di dalam teknologi mesra alam merupakan satu keputusan yang tepat dan antara usaha jangka panjang bagi memastikan kepentingan alam sekitar terus terpelihara. Dengan penglibatan dan pelaburan di dalam teknologi mesra alam, ia dapat membantu negara mencapai objektif alam sekitar dalam lingkungan yang lebih luas terutamanya bagi mengurangkan masalah perubahan cuaca dunia, pencemaran air dan udara serta meningkatkan keberkesanan penggunaan sumber secara lebih menyeluruh.
Keperluan eko-inovasi terhadap pengurusan lestari alam sekitar dan pembangunan mapan negara tidak dapat disangkal lagi. Alasan kukuh mengapa ianya perlu ialah, pertama kerana teknologi yang sedia ada tidak mampu menyediakan momentum baru bagi meminimumkan impak dan menangani krisis alam sekitar hasil daripada penggunaan medium teknologi sedia ada seperti bahan bakar fosil dan seumpamanya. Malah, ia kian memberi tekanan dan tidak mampu untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Sedangkan kita seharusnya realistik bahawa cabaran dunia pada hari ini adalah bagi mengurangkan impak hasil daripada penggunaan bahan api fosil dan beralih kepada ekonomi karbon rendah dengan mencari sumber tenaga yang lebih bersih dan selamat. Justeru, atas kesedaran ini maka eko-inovasi dilihat sebagai satu momentum dan pendekatan bagi menyelesaikan segala permasalahan yang melanda alam sekitar pada hari ini seperti pencemaran, pemanasan global dan pembaziran serta penyusutan sumber ekoran kebergantungan kepada sumber tertentu sahaja.
Kedua, pentingnya eko-inovasi adalah kerana Malaysia memerlukan strategi dan pendekatan baru yang lebih holistik dan bersepadu ke arah menangani ketidakcekapan penggunaan tenaga dan krisis alam sekitar yang saban hari kian membimbangkan. Natijahnya telah dapat kita lihat pada hari ini apabila bencana alam berlaku secara berleluasa diserata dunia lantaran keseimbangan alam yang semakin tergugat. Sampai bilakah kita hanya ingin berpeluk tubuh menyaksikan bencana demi bencana berlaku tanpa melakukan sebarang usaha untuk mengatasi dan mengurangkan impak yang boleh mencetuskan kejadian seumpama itu ekoran ketidakstabilan iklim global.
Ketiga, perlunya eko-inovasi kerana ia boleh membawa perubahan yang besar terutamanya dari aspek penjimatan tenaga dan penggunaan tenaga yang lebih cekap dan efisien. Dengan tranformasi ini, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan impak negatif ke atas alam sekitar dan ekosistem. Ini memandangkan transformasi kepada penggunaan teknologi mesra alam dapat meminimumkan pembebasan gas karbon dioksida yang mencemarkan atau penggunaan karbon sifar yang sekaligus dapat menjadi pemacu ke arah pembangunan ekonomi rendah karbon yang lebih lestari. Ia sangat bertepatan dengan matlamat negara untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 40 peratus pada tahu 2020.
Malah, penerokaan secara meluas ke atas eko-inovasi akan membuka peluang yang besar untuk pengembangan ekonomi baru berasaskan ekonomi hijau yang pasti memberi pulangan yang lumayan kepada negara. Misalnya, dengan inovasi teknologi yang ditemui dan dibangunkan kita bukan sahaja dapat memanfaaatkannya untuk tujuan pembangunan negara sendiri, malah ia juga dapat dikongsikan dengan negara-negara lain dengan bertindak sebagai pengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita hasilkan kepada negara-negara yang memerlukan. Ini memandangkan pasaran untuk teknologi dan produk hijau sangat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Selain itu, ia juga dapat membuka dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat tempatan.
Namun demikian, dalam pelaksanaan eko-inovasi pastinya ada kekangan-kekangan yang menghambat. Antaranya, keperluan kepada tenaga mahir bagi membangunkan sesuatu produk berasaskan teknologi hijau. Dari segi kepakaran yang sedia ada pastinya ia masih belum cukup untuk menampung keperluan tersebut. Justeru, kerjasama daripada pakar-pakar luar adalah diperlukan terutamanya dalam menyediakan khidmat latihan dan kemahiran yang secukupnya kepada rakyat tempatan bagi merealisasikan penciptaan sesuatu teknologi. Selain itu, kelengkapan penyelidikan yang cukup juga diperlukan bagi memastikan penyelidikan ke atas sesuatu inovasi teknologi dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. Justeru, dalam memenuhi keperluan tenaga mahir dan kelengkapan peralatan yang cukup, ia pastinya melibatkan implikasi kewangan yang besar. Adakah negara kita telah bersedia dan mampu dalam menyediakan dana yang cukup ke arah itu?
Tidak dapat dinafikan bahawa transformasi ke arah teknologi berasaskan eko-inovasi adalah wadah penting yang perlu disahut dalam mengimbangi matlamat pelestarian alam sekitar yang selari dengan tuntutan pembangunan mapan ekonomi dan juga negara. Namun, perlaksanaannya perlu mengambilkira semua aspek termasuk implikasi kos yang terlibat dan kemampuan negara untuk merealisasikannya. Oleh itu, bagi memenuhi tujuan tersebut, negara perlu bersedia dan berusaha mengatasi segala kekangan yang ada dalam memastikan ia dapat dilaksanakan dengan jayanya terutamanya dalam meneraju pasaran ekonomi hijau yang semakin mendapat tempat dan perhatian negara-negara lain di seluruh dunia. Ini penting kerana jika hanya segelintir sahaja negara yang berusaha ke arah itu, pastinya matlamat mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida pada tahun 2020 akan menemui jalan buntu.
Sebaliknya, dalam memastikan matlamat tersebut berjaya direalisasikan, kerjasama antarabangsa diperlukan t t terutamanya negara-negara maju perlu bersedia membantu negara-negara miskin dari segi kepakaran dan sumbangan dana agar eko-inovasi turut dapat dilaksanakan oleh negara-negara terbabit. Ini merupakan cabaran yang harus dipikul bersama bagi menyahut seruan Allah agar kita menjaga dan memakmurkan alam dengan sebaik-baiknya.
Konsep eko-inovasi yang mempromosikan teknologi bersih, penjimatan tenaga dan meminimumkan pembaziran sumber dilihat sangat bertepatan dengan roh Islam sendiri yang begitu menekankan berhubung aspek kebersihan, berjimat cermat dan berhemah dalam menggunakan segala nikmat alam yang telah dianugerahkan. Malah, ia merupakan wadah kepada pendekatan islami yang perlu diterokai dan dirungkai bagi menghasilkan ciptaan-ciptaan teknologi baru yang dapat memberi manfaat semaksimum mungkin ke arah pelestarian alam sekitar dan juga pembangunan mapan negara. Dengan pembudayaan eko-inovasi secara menyeluruh pastinya alam sekitar yang sihat dan harmoni dapat kita wariskan kepada generasi anak cucu kita pada masa akan datang.