Ekonomi digital bukanlah sesuatu yang baharu kepada dunia globalisasi hari ini. Namun, penstrukturan ekonomi digital secara terancang dan mampan dalam pelan pembangunan negara adalah sesuatu yang baharu sejak beberapa tahun kebelakang. Perkembangan dunia yang bergantung kepada teknologi, informasi dan data ini tidak lagi boleh dinafikan kepentingannya kepada manusia sejagat. Bahkan segmen ekonomi digital ini juga telah mendapat perhatian melalui perancangan khas menerusi pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Malaysia pada 27 Oktober yang lepas.
‘Inklusif’ adalah satu terma yang tidak boleh dipisahkan dengan segmen ekonomi digital ini. Bagi maksud kepenggunaan inklusif ini, rakyat Malaysia perlu mengambil tahu ruang lingkup definisi ekonomi digital ini dalam kehidupan seharian. Melihat kepada perkembangan semasa, kita sebenarnya telahpun memulakan langkah-langkah kepenggunaan segmen ekonomi digital ini sebaik sahaja memulakan pagi hari seperti membaca akhbar di alam maya, penggunaan perkasasan teknologi pintar di rumah dan lain-lain. Justeru, bolehlah dikatakan ekonomi digital itu sebagai rangkuman pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial yang digerakkan oleh atau melalui saluran komunikasi digital dan teknologi maklumat.
Segmen ekonomi digital ini sebenarnya banyak berkait rapat dengan revolusi Industri 4.0 yang menekankan tentang aspek automasi dan “Internet of Things” (IoT) hampir dalam kesemua aspek kehidupan. Ini termasuklah penekanan kepada kesepaduan data, peranti dan gajet pintar serta perkaitannya dengan internet dan aktiviti harian manusia di peringkat global. Dasar IoT dalam aspek mencipta keuntungan misalnya tidak lagi bergantung kepada bentuk fizikal sesebuah perniagaan, sebaliknya banyak menggunakan kreativiti dalam perniagaan. Sebagai contoh, syarikat Airbnb tidak menyediakan rangkaian tempat penginapan tersendiri di bawah jenamanya tetapi menyedia platform di alam maya bagi individu yang ingin menawarkan tempat penginapan dan individu yang berminat untuk menyewanya. Di sinilah kita melihat unsur-unsur kritis digabung jalin bagi memanfaatkan peluang ekonomi.
Melihat dari segi perkembangan semasa dalam negara, boleh dikatakan Malaysia masih lagi berada dalam revolusi Industri 2.0 dan 3.0 yang menekankan tentang penggunaan aspek buruh yang berkemahiran rendah namun dalam masa yang sama berusaha mengejar rapat dalam konteks pembangunan informasi dan teknologi. Ini dapat dilihat melalui permintaan perkembangan ekonomi semasa yang berlaku seperti pergantungan kepada buruh asing separa mahir, rangkaian internet yang masih boleh dipertingkat dan kesediaan masyarakat itu sendiri dalam mengguna dan mengoptimum aspek pendigitalan dalam aktiviti kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun, keadaan ini seharusnya tidak menjadi halangan kepada Malaysia untuk terus mengorak langkah kehadapan dalam aspek pengukuhan ekonomi digital. Hal ini kerana, bagi negara seperti Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, jaringan perhubungan antarabangsa amat penting bagi memastikan ketahanan dari segi ekonomi, keselamatan dan kedaulatan negara.
Dari perspektif ekonomi Islam semasa, segmen ekonomi digital banyak membahaskan tentang kepenggunaan teknologi dan digital dalam aspek perbankan dan kewangan Islam. Aspek ini penting kerana melibatkan penjanaan modal dan pelaburan diperingkat antarabangsa terutama sekali di antara negara yang mengamalkan sistem ekonomi konvensional dengan negara yang menawarkan sistem ekonomi Islam. Bahkan Malaysia juga sebenarnya merupakan salah satu ‘gergasi’ dalam perkembangan kewangan Islam dunia. Maka, jalan pertengahan untuk perkembangan industri ini adalah melalui alam maya dan segmen ekonomi digital yang kukuh boleh membantu Malaysia untuk lebih maju ke hadapan.
Justeru, di antara langkah-langkah yang penting untuk diambil bersekali dengan tindakan ke arah pengukuhan segmen ekonomi digital di peringkat negara ialah, pertamanya tentang dasar inklusif ekonomi digital. Inklusif ini bermaksud kesemua lapisan masyarakat mendapat akses sekurang-kurangnya pada tahap tertentu dalam segmen ini terutama sekali perkara-perkara yang melibatkan IoT. Kumpulan berpendapatan rendah, warga tua dan orang kurang berupaya seringkali ‘terpingggir’ dalam pelan pembangunan begini kerana keterbatasan keupayaan mereka baik dari segi kewangan mahupun biologikal. Justeru, keterlibatan mereka dalam segmen ini perlu ditingkatkan.
Kedua ialah tentang pemerkasaan kepada skil dan kemahiran serta sikap kepada teknologi dan pendigitalan. Masih terdapat sebilangan ahli masyarakat yang ‘takut’ kepada penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kehidupan seharian termasuklah memilih untuk terus menggunakan pendekatan tradisional. Sesungguhnya tiada yang salah berkenaan hakikat tersebut kerana setiap individu adalah unik dan mempunyai pilihan masing-masing. Namun, penggunaan teknologi membantu manusia untuk mendapat hasil yang berkualiti dengan lebih banyak dan pantas.
Penawaran peranti pintar di pasaran dan rangkaian internet yang terhad dan berkos tinggi semata-mata dilihat kurang membantu menggerakkan sikap yang lebih positif kepada teknologi. Sebaliknya, aspek latihan kepada teknologi dengan kadar yang lebih munasabah dan jaringan internet yang lebih murah dan meluas perlu ditawarkan terutama kepada kumpulan sasar tadi bagi memupuk sikap lebih terbuka terhadap penggunaan teknologi dan memastikan golongan ini tidak ketinggalan untuk bersama-sama dengan masyarakat yang lain.
Ketiga ialah tentang pemerkasaan dan persediaan negara berkaitan dengan ancaman siber. Dengan perkembangan pesat dalam bidang informasi dan teknologi, ancaman siber juga dilihat memberi ‘persaingan’ yang hebat dan sengit. Pengabaian kepada ancaman begini boleh membawa kepada kerosakan besar-besaran baik terhadap individu mahupun negara kerana segmen ekonomi digital sangat berkait dengan data-data terkumpul dan bersepadu. Justeru, aspek pengawalan dan penyeliaan siber perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Ini termasuklah penghasilan sistem sekuriti yang baik, garis panduan keselamatan, pengawal seliaan dan kepantasan pihak berkuasa dalam mengambil tindakan menyekat dan menghalang penularan ancaman siber yang sedang mahupun bakal berlaku.
Ekonomi digital adalah satu perkembangan terkini dalam ekonomi yang tidak harus ‘ditakuti’ atau dijauhi oleh mana-mana pihak. Bahkan segmen ini juga dilihat boleh memberi jalan keluar kepada banyak pihak terutama kepada kumpulan sasar, graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan, suri rumah, penjaga orang kurang upaya dan lain-lain untuk menjana pendapatan menerusi platform yang berunsur kreatif dan berbeza serta selesa. Justeru, dalam memperkasa teknologi dan jaringan dalam segmen ini, aspek peningkatan kemahiran dan keterangkuman semua lapisan masyarakat perlu ditekankan demi mencapai pembangunan yang disasarkan.