Keadilan merupakan tonggak utama dalam pelaksanaan sistem ekonomi dan menjadi matlamat penting dalam menjamin kesejahteraan manusia.
Ilmu ekonomi menurut Islam ialah suatu mekanisme pengagihan kekayaan yang berpaksikan amanah dan ihsan, bagi mencapai kemakmuran sejagat.
Manusia sebagai ciptaan terbaik (ahsani taqwīm) ditugaskan mengurus ekonomi dengan adil, supaya kekayaan tidak tertumpu kepada segelintir, dan kemakmuran dapat dinikmati bersama.
Maka, sistem ekonomi Islam sentiasa menekankan keseimbangan antara kebebasan individu dan keadilan sosial, antara hak pemilikan dan tanggungjawab pengagihan.
Dalam konteks Malaysia, persoalan amanah dalam ekonomi menjadi semakin mendesak apabila jurang kekayaan melebar dan kelas pertengahan semakin mengecil.
Ketidakseimbangan ekonomi dan realiti semasa
Data terkini menunjukkan peningkatan penumpuan kekayaan dalam kalangan kelompok berpendapatan tinggi.
Kajian World Inequality Lab (2025) mendapati 10 peratus teratas (T10) di Malaysia kini menguasai sekitar 35 peratus daripada pendapatan nasional, manakala kumpulan T20 secara keseluruhan menguasai hampir 45 peratus pendapatan isi rumah negara.
Kajian Khazanah Research Institute (2024) mendapati hanya sekitar 30 peratus isi rumah benar-benar mencerminkan corak perbelanjaan kelas menengah, manakala selebihnya tergolong dalam kumpulan rentan ekonomi.
Jika gejala ini berterusan, Malaysia mungkin beralih kepada struktur B70–M20–T10 atau T10–B90 — suatu keadaan di mana kekayaan berlegar dalam kalangan kecil elit ekonomi, sementara majoriti rakyat bergelut dalam “ekonomi bertahan.”
Laporan Bank Dunia (2023) turut mengesahkan bahawa mobiliti sosial di Malaysia semakin lemah, khususnya dalam kalangan generasi muda luar bandar dan pekerja berkemahiran rendah.
Amanah dalam mengurus kekayaan
Islam menegaskan bahawa kekayaan ialah amanah, bukan suatu pemilikan mutlak. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr, ayat 7:
“…Supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang-orang kaya sahaja di antara kamu.”
Ayat ini menjadi asas moral ekonomi Islam, iaitu kekayaan mesti beredar dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama.
Prinsip Amanah juga menuntut pengurusan ekonomi yang berintegriti dan berihsan, sama ada di peringkat kerajaan, korporat mahupun individu.
Dalam dasar awam, amanah bermakna sumber negara tidak boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik atau kelompok tertentu.
Dalam perniagaan, ia menuntut kejujuran, upah yang saksama, dan penghindaran penindasan terhadap pekerja serta pengguna.
Apabila amanah diabaikan, ekonomi kehilangan nilai dan berubah menjadi alat penguasaan, di mana manfaat dimonopoli oleh segelintir, manakala beban ditanggung rakyat melalui harga tinggi, gaji rendah, dan kadar cukai yang tidak seimbang.
Kesejahteraan bersama sebagai matlamat ekonomi Islam
Falsafah moral Islam menuntut keseimbangan dan keadilan sebagai asas kepada kesejahteraan (sa‘ādah) di dunia dan tidak diukur oleh banyaknya kekayaan.
Ekonomi Islam menolak riba, rasuah, manipulasi harga, dan monopoli, kerana menafikan prinsip amanah serta merosakkan kesejahteraan umum.
Tujuan ekonomi bukan untuk memusatkan kekayaan, tetapi untuk membina struktur sosial yang memungkinkan manusia hidup bermaruah dan berperanan sebagai khalifah.
Dalam konteks negara, konsep ekonomi sebagai amanah mesti diterjemahkan secara sistemik:
- Pelaburan sosial perlu menjadi teras. Pendidikan, kesihatan dan perumahan mampu milik mesti dilihat sebagai pelaburan produktif, bukan beban fiskal.
- Zakat, waqf dan dana sosial perlu diurus secara strategik dan profesional, agar menjadi pelengkap kepada sistem fiskal negara. Potensi besar ini wajar dioptimumkan sebagai sumber pembiayaan pembangunan rakyat.
- Tanggungjawab sosial korporat (CSR) mesti bergerak daripada retorik kepada realiti, berasaskan pelaburan nilai (values-based investment) yang menjamin gaji setimpal serta pekerjaan bermaruah.
- Ketelusan dan integriti harus dijadikan ukuran kejayaan ekonomi, bukan sekadar slogan pentadbiran. Ketirisan dan pembaziran ialah bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Langkah-langkah ini bukan sekadar pilihan, bahkan menjadi syarat kelangsungan ekonomi yang berteraskan maqasid syariah dalam membina keseimbangan antara pertumbuhan dan keadilan.
Mengembalikan nilai dalam dasar dan budaya ekonomi
Reformasi ekonomi tanpa reformasi nilai akan gagal menegakkan keadilan. Amanah menuntut agar setiap dasar mencerminkan kejujuran dan tanggungjawab terhadap rakyat.
Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi, misalnya, mesti diterjemahkan kepada pendidikan, kesihatan dan keselamatan sosial yang lebih baik.
Dalam masa yang sama, budaya ekonomi masyarakat perlu dibina atas nilai tanggungjawab bersama.
Keadilan ekonomi bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi ia adalah suatu amanah bersama: pekerja yang amanah, majikan yang adil, usahawan yang jujur, dan pengguna yang beretika.
Apabila nilai ini menjadi dasar di dalam sistem ekonomi, pasaran tidak lagi sekadar mencari keuntungan, tetapi berperanan memakmurkan kehidupan manusia dan menegakkan keadilan sosial yang hakiki.
Kesimpulan: Amanah sebagai asas keadilan dan peradaban
Menurut pandangan alam Islam, manusia ialah makhluk bertamadun yang terikat dengan perjanjian asali kepada Tuhannya (al-Mīthāq), untuk berlaku adil dalam seluruh urusan hidupnya.
Amanah dalam mengendalikan urusan dunia merupakan sebahagian daripada perjanjian itu; bahawa manusia wajib berlaku adil terhadap Tuhannya, sesama makhluk, serta terhadap dirinya sendiri.
Matlamat ekonomi Islam bukan hanya untuk pertumbuhan, tetapi untuk memastikan pengagihan kekayaan yang adil dan berihsan, agar manusia dapat memenuhi peranannya sebagai hamba dan khalifah.
Kekayaan yang diurus dengan amanah menjadi alat memperkukuh peradaban, manakala kekayaan yang disalah guna membawa kehancuran sosial.
Ekonomi yang berpaksikan amanah bukan sekadar sistem perdagangan dan pengeluaran, tetapi suatu ibadah yang menghubungkan manusia dengan Penciptanya.
Dalam sistem yang menegakkan keadilan dan keseimbangan, kekayaan berperanan sebagai jambatan antara dunia dan akhirat yang membolehkan manusia memenuhi tanggungjawabnya.

