Pernah dilaporkan bahawa jumlah harta beku dan tidak dituntut di negara ini adalah sehingga mencecah puluhan bilion ringgit. Walaupun kebanyakan kita tidak mengetahui jumlah yang tepat berkenaan harta beku dan tidak dituntut dalam negara ini tetapi ia tetap merupakan polemik yang besar dan sentiasa menjadi perbincangan yang penting dalam mencari jalan penyelesaian.
Situasi yang berlaku ini merugikan banyak pihak. Kerugian yang menafikan hak waris, dan menyebabkan terhentinya kitaran harta yang sepatutnya memberi kemakmuran ekonomi negara.
Antara faktor yang menyebabkan krisis ini berlaku adalah disebabkan kurangnya pengetahuan masyarakat kita tentang prosedur yang perlu dilalui dalam membuat urusan dan tuntutan hak mereka terhadap harta pusaka. Walaupun demikian, faktor yang lebih signifikan adalah disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat kita tentang kepentingan perancangan terhadap harta. Atau dengan perkataan lain, selepas harta atau wang diusahakan, diraih dan disimpan juga dikumpulkan, malangnya pemilik wang atau harta tidak mempunyai pengetahuan (juga kemahiran) terhadap mekanisme-mekanisme yang ada dalam pengurusan kewangan dan harta keluarga.
Kalangan kita mungkin memaklumi atau pernah mendengar tentang amanah, harta sepencarian, hibah, wasiat dan wakaf, tetapi tanpa kefahaman yang sebenar dan kesedaran bahawa semua instrumen ini boleh berfungsi dengan berkesan dalam pengurusan harta.
Kemahiran seseorang Muslim dalam pengurusan harta atau kewangannya dapat dilihat apabila ia mampu memberi keadilan dalam urusan pengagihan harta yang dimiliki terhadap ahli keluarganya secara adil. Baginda Rasulullah SAW pernah berpesan dengan maksudnya: “Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli waris engkau itu kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan dalam kemiskinan (serta) meminta-minta kepada manusia.” (HR Bukhari)
Dalam hal pengurusan harta, faraid sebenarnya adalah pendekatan terakhir yang disediakan oleh syariah jika seseorang pemilik harta tidak menguruskan harta yang ada semasa hidupnya. Dalam pengurusan harta kekeluargaan Islam, faraid hanya memperuntukkan bahagian harta kepada ahli waris tertentu sahaja. Dalam keadaan ini, boleh berlaku terhalangnya ahli keluarga tertentu daripada mendapat harta si mati, sedangkan realitinya ia seorang yang amat memerlukan pelbagai keperluan demi kelangsungan hidup.
Sehubungan dengan ini perkara ini juga, barangkali dalam sesebuah keluarga terdapat saudara tiri, anak yatim yang dipelihara, anak angkat, anak tidak sah taraf, anak tiri, anak bawa atau seumpamanya dan semua mereka ini bukan dalam kalangan waris yang berhak terhadap harta pusaka. Jika terdapat kalangan mereka ini dalam sesebuah keluarga, maka hibah dan wasiat boleh dijadikan sebagai instrumen yang lebih praktikal sesuai dalam menghasilkan keputusan “menang-menang” kepada semua ahli keluarga yang ada.
Hibah merupakan mekanisme yang amat fleksibel kerana syariah Islam tidak menentukan had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan.. Sifatnya yang fleksibel disebabkan pemberi hibah boleh membuat pertimbangan secara mutlak terhadap barang itu sendiri, dan kadar yang hendak dihibahkan. Dalam hal ini jumhur ulama dari kalangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat bahawa sunat hukumnya untuk menyamakan pemberian adil jika penerimanya adalah anak-anak. Manakala pemberian dengan melebihkan sebahagian daripada mereka adalah makruh hukumnya, sekalipun sah di sisi syarak.
Walaupun demikian, pada pendapat Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka untuk menyamakan pemberian tersebut. Menurut Mazhab Hanbali pula, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anak tertentu tetapi tidak kepada yang lain.
Wasiat juga boleh digunakan sekiranya dalam sesebuah keluarga terdapat waris-waris yang terhalang daripada menerima pusaka sedangkan mereka sangat memerlukan pembelaan bagi melangsungkan kehidupan. Kalangan mereka ini antaranya ialah saudara perempuan, ibu saudara yang terlantar kesakitan, cucu perempuan atau lelaki yang masih kecil serta yatim. Kesemua ini adalah waris dalam keluarga tetapi tidak berhak terhadap pusaka apabila pemilik harta yang telah mati mempunyai anak lelaki yang kewujudannya akan menghalang waris-waris tersebut untuk memperoleh harta pusaka. Jika pemilik harta membuat wasiat ketika hidupnya, wasiat ini nantinya sedikit sebanyak akan dapat membela kehidupan waris-waris yang disebutkan setelah seseorang itu mati.
Mekanisme yang ada serta pandangan-pandangan yang diberikan ulama dalam pengurusan harta ini boleh menjana kepelbagaian syor dalam membuat keputusan tertentu berkaitan harta. Apa yang diperlukan adalah kebijaksanaan menilai keperluan anak masing-masing atau ahli keluarga yang terlibat, dan suasana keluarga yang ada. Kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan inilah yang akan menghasilkan maslahah kepada keluarga yang terlibat dan mengelakkan hubungan yang tidak baik sesama ahli keluarga.
Sebenarnya mana-mana individu Muslim yang dapat menguruskan hartanya secara berkesan, akan memberi impak kepada persekitaran. Ia bermula dengan diri yang akan memberi kesejahteraan di peringkat keluarga. Unit-unit keluarga yang berhikmah dalam pengurusan harta termasuk kewangan, tentunya akan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai keprihatinan dalam hal-ehwal harta (juga kewangan). Maka, bagi kalangan mereka yang sudah menyedari bahawa pengetahuan mengurus harta itu penting, perlulah berinisiatif untuk mencari ilmu yang berkaitan dan memahirkan diri dalam pengurusan harta keluarga. Ini kerana ia dapat memelihara kebajikan ahli keluarga pada masa akan datang, juga mengelak daripada berlakunya krisis bukan sahaja di peringkat keluarga. Malah, ia juga dapat mengelak daripada menyumbang kepada peningkatan jumlah harta beku atau seumpamanya di peringkat negara.