Al-Quran Kitab Kebenaran
Allah menurunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam al-Qadr yakni dalam bulan Ramadhan. Ia kemudiannya disampaikan kepada utusanNya Nabi SAW selama 23 tahun. Kali pertama ia diturunkan kepada Nabi SAW ialah pada 17 Ramadan di Gua Hira’. Tarikh 17 Ramadan menjadi tarikh yang disambut oleh umat Islam bagi memperingati peristiwa tersebut. Ia dikenali dengan peristiwa nuzul al-Quran. Al-Quran diturunkan antaranya adalah untuk menegakkan tauhid yang hakiki, mengangkat kemuliaan insan tanpa mengira asal usul, pangkat dan harta, menyeru pembersihan jiwa dan menyampaikan khabar-khabar kebenaran. Tidak ada satu pun ayat-ayat dalam Al-Quran yang terselit padanya pendustaan. Firman Allah SWT:
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (Al-Baqarah: 2)
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.” (Al-Baqarah: 119)
Kebenaran kandungan Al-Quran adalah mutlak. Segala cerita dan berita yang disampaikan dalam ayat-ayatnya berkaitan cerita-cerita lampau, yakni semenjak sebelum kejadian Adam dan awal tamadun manusia sehinggalah cerita-cerita masa hadapan yang belum terjadi adalah benar belaka. Oleh sebab itu, Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW. Ia tidak bercampur aduk dengan fitnah, dusta dan helah. Nabi SAW yang menjadi utusan dalam menyampaikan kebenaran ini turut dihiasi dengan akhlak yang serupa. Justeru, dianjurkan kepada seluruh muslim untuk berbicara akan perkara yang benar dalam misi memperbaiki sahsiah diri dan dakwah kepada masyarakat umum.
Tegahan menyampaikan dusta
Kepesatan perkembangan dunia maklumat pada hari ini membolehkan agar semua info diakses dan dikongsi secara atas talian melalui aplikasi facebook, whatsapp, twitter dan sebagainya. Ia menjadi manfaat yang tidak terhingga bagi masyarakat untuk berkongsi maklumat. Malangnya, tidak seperti Al-Quran yang mutlak sifat kebenarannya, maklumat yang disampaikan melalui atas talian ini bercampur aduk antara benar dan dusta dek kerana sikap sesetengah pengguna yang tidak cakna dengan status maklumat yang disampaikan. Seringkali, maklumat yang disampaikan mengandungi fitnah kepada sesuatu pihak. Ia menjadi parah apabila fitnah ini disebarkan tanpa diselidik sehingga ia menjadi “viral” dalam kalangan masyarakat. Allah telah memberi peringatan dalam firmanNya:
“Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa. Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Asy-Syu’araa’: 221-223)
Menyampaikan dusta dan fitnah merupakan sifat yang bersemadi dalam diri syaitan yang dimurkai oleh Allah SWT. Masyarakat perlu mengelakkan diri daripada bersifat sedemikian. Dusta dan fitnah kepada orang lain membawa kesan yang buruk seperti memutuskan silaturahim dan membunuh reputasi baik pihak yang difitnah. Bahkan, sekiranya dusta ditularkan kepada masyarakat sudah tentu akan menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Misalnya, popular di aplikasi Whatapps mengenai berita tidak halalnya sesuatu produk yang telah disahkan sebaliknya oleh badan berautoriti atau berita bahaya sesuatu produk yang direka-reka oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Perkara yang tidak ditentusahkan sebegini menimbulkan kecurigaan masyarakat kepada badan-badan berautoriti dan menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga yang terbabit.
Menilai berita yang meragukan & berbaik sangka
Adalah terbaik bagi masyarakat yang terpasak pada dirinya akan kebenaran tauhid untuk menilai akan benar atau salah sesuatu berita. Ketika datangnya kepada diri kita mengenai sesuatu khabar, hendaklah diselidiki akan kebenaran khabar tersebut sebelum disebarkan.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujuraat: 6)
Masyarakat seharusnya kembali mengingati kisah Saidatina ‘Aishah RA yang difitnah bersekedudukan dengan Safwan bin Al-Mu’attil ketika perjalanan pulang daripada Perperangan Bani Mustaliq. Setelah Madinah “viral” dengan khabar fitnah itu, turunlah beberapa ayat dari Al-Quran yang membela Saidatina ‘Aishah. Antara firman Allah SWT mengenai khabar fitnah itu ialah:
“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata” (An-Nur: 12)
Kisah fitnah terhadap ‘Aishah sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita pada hari ini untuk menyelidik setiap berita tidak baik yang tersebar dan tidak sama sekali mengulangi sikap tidak berburuk sangka kepada orang lain.
Silaturahim adalah sesuatu yang bernilai dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi apabila dikaitkan dengan kesatuan ummah. Cerita dusta dan bohong mengenai individu atau pihak tertentu dalam kelompok masyarakat boleh menimbulkan kebencian dan meruntuhkan hubungan baik dan perpaduan ummah. Maka, sekiranya sampai kepada kita mengenai keburukan yang tidak pasti mengenai seseorang, hendaklah kita mengecualikan diri daripada berbicara mengenai hal tersebut. Ini sesuai dengan pesanan yang diambil daripada Imam Ja’far bin Muhammad RH:
“Apabila sampai kepadamu sesuatu yang buruk mengenai saudaramu, maka carilah alasan keuzuran baginya sehingga 70 keuzuran. Apabila kamu tidak dapat mencari satu pun keuzuran, maka katakanlah, barangkali dia mempunyai keuzuran yang aku tidak ketahui.”