Makanan adalah rezeki namun apabila ia disia-siakan maka terjadilah pelbagai masalah yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan manusia sendiri.
Pembaziran makanan bukan merupakan satu masalah biasa tetapi kini telah mencapai tahap krisis. Krisis bermaksud bahawa pembaziran makanan yang berlaku kini telah sampai ke tahap berbahaya dan bukan sahaja memberi kesan kepada individu tetapi kepada keseluruhan masyarakat.
Buktinya, lambakan sisa makanan bukan sahaja menimbulkan masalah dari sudut kebersihan dan kesihatan tetapi turut memberi kesan kepada perubahan iklim. Jumlah sisa makanan yang terlalu banyak di tapak pelupusan menghasilkan jumlah gas metana yang tinggi. Gas metana ini pula merupakan antara gas rumah hijau yang menyerap radiasi infra merah dan memanaskan bumi. Keadaan ini akhirnya menyebabkan pemanasan global serta perubahan iklim dan akhirnya memberi kesan kepada manusia.
Krisis sisa makanan ini ternyata berkait rapat dengan amalan pembaziran makanan dalam masyarakat. Di seluruh dunia, 25 peratus makanan telah dibazirkan dan 50 peratus daripada sisa ini dihasilkan oleh isi rumah.
Di Malaysia, menurut SWCorp, agensi yang menguruskan sisa pepejal di Malaysia, pada tahun 2015, rakyat Malaysia menghasilkan 15,000 tan sisa makanan. Daripada jumlah ini, 8000 tan makanan telah dibazirkan. Keadaan menjadi lebih tidak terkawal di musim perayaan apabila penghasilan sisa makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus. Nyatalah bahawa pembaziran makanan bagai sudah sebati dengan jiwa masyarakat Malaysia.
Bagi Muslim, Islam mengajarkan bahawa pembaziran merupakan amalan syaitan. Ini dibuktikan dalam ayat 27, surah al-Israa’ yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Amalan membazir makanan dalam kalangan masyarakat merupakan satu bayangan kepada sikap kerakusan manusia yang bertentangan dengan nilai-nilai dalam Islam. Menurut Prof. Shaharir Mohd. Zain dalam makalah bertajuk “Pendekatan Baru terhadap Konsep Optimum kini dan beberapa Konsep Optimum baru,” (diterbitkan dalam Jurnal Kesturi, 16 (1&2), halaman 64-104) terdapat beberapa gelaran khusus tentang golongan rakus ini iaitu al-Musrifun (pemboros), al-Muʻtadin (orang yang melampui batas) dan al-Mubazzirin (pemboros). Hal ini boleh dirujuk dalam surah al-Aʻraf (7:31), surah al-Baqarah (2:190) dan surah al-Israʼ (17:27).
Gelaran-gelaran yang disebutkan ini seharusnya memberikan kita keazaman untuk mengelak daripada menjadi sebahagian daripada golongan tersebut kerana hakikatnya, sikap golongan ini adalah contoh sikap orang yang tidak tahu bersyukur terhadap nikmat yang telah dianugerahkan Allah SWT.
Isu pembaziran makanan ini sebenarnya menjadi petanda kepada manusia yang lupa tentang banyak perkara antaranya lupa terhadap tuntutan agama. Islam menyarankan kita bersederhana dalam banyak perkara termasuklah dalam hal pengambilan makanan. Dalam hadis Rasulullah SAW, disebutkan bahawa “Orang kafir makan dalam tujuh usus sedang orang mukmin makan dalam satu usus” (HR Tirmidzi). Ini dengan jelas menunjukkan bahawa seorang Muslim tidak perlu terlalu beria dalam hal memenuhkan perut sendiri.
Selain itu, ramai juga dalam kalangan kita lupa bahawa terdapatnya hak orang lain dalam makanan yang kita miliki itu. Samalah juga halnya dengan harta bahawa adanya hak orang lain dalam harta tersebut. Atas sebab inilah, kita dituntut untuk membayar zakat dan bersedekah. Dengan itu, jika seseorang Muslim memiliki makanan yang berlebihan, maka amat baik jika makanan tersebut boleh dikongsi bersama orang lain yang lebih memerlukan.
Ini juga membawa kita kepada hakikat bahawa begitu ramai orang yang tidak mampu memiliki makanan atau tidak mendapat makanan yang berkhasiat. Berdasarkan data yang disebutkan di awal tadi, 8000 tan makanan yang dibazirkan oleh rakyat Malaysia sebenarnya adalah makanan yang boleh diberikan kepada tujuh juta orang di seluruh dunia.
Laporan bertajuk Kemiskinan Kanak-kanak Bandar oleh UNICEF Malaysia (terbitan Februari 2018) menunjukkan bahawa seorang daripada 10 kanak-kanak menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari. Manakala, satu daripada dua isi rumah melaporkan bahawa mereka tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Lihatlah, dari satu sudut, makanan dibazirkan begitu sahaja tetapi di sudut yang lain, terdapat segolongan “saudara” kita yang tidak mempunyai kemampuan untuk mendapat makanan secukupnya mahupun menyediakan makanan berkhasiat untuk diri dan ahli keluarga sendiri. Jadi, kenapakah kita masih membazir makanan?
Dengan kenyataan ini, seharusnya kita semua berusaha untuk mengelak pembaziran makanan. Sebagai Muslim, kita seharusnya malu apabila makanan dibazirkan sedang ada saudara atau insan lain yang tidur dalam kelaparan.
Untuk mengelakkan pembaziran makanan, setiap Muslim bukan sahaja perlu berpegang pada tuntutan agama agar banyak bersederhana dalam soal makanan tetapi juga perlu mempunyai kemahiran untuk merancang dan mengurus hal-hal berkaitan makanan.
Perancangan amat penting dan ini melibatkan merancang apa yang hendak dimasak, dimakan serta dibeli. Jangan terlalu beria-ia menyediakan makanan dan akhirnya makanan itu akan dibuang begitu sahaja. Jadilah Muslim yang kreatif apabila bukan sahaja mampu menyediakan makanan yang cukup tetapi berkebolehan juga mengubah lebihan makanan menjadi satu bentuk makanan yang lain.
Akhir sekali, ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila seseorang makan makanan lalu suapannya jatuh, maka hendaklah ia menghilangkan apa yang meragukan kemudian hendaklah ia memakannya dan tidak boleh membiarkan untuk syaitan.” (HR Tirmidzi).
Dalam hal ini, jika makanan yang jatuh masih boleh dimakan dengan syarat makanan itu masih bersih, jadi mengapakah kita perlu membuang makanan yang kita miliki?