Saban tahun, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menjadi medan pertemuan terbesar antara pencinta buku, penulis, penerbit dan penggiat industri perbukuan sama ada dari dalam mahupun luar negara. Pesta yang penuh warna-warni ini bukan sahaja menampilkan ribuan judul baharu, malah turut menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan masyarakat. Semua lapisan umur dan latar belakang meraikannya.
PBAKL telah pun berkembang sejak tahun 1981. Kemeriahan PBAKL bukan sahaja menerusi jualan buku, ianya juga menjadi sebuah platform intelektual yang meriah dengan pelbagai program ilmu, perbincangan sastera, dan aktiviti interaktif yang boleh memperkukuhkan lagi budaya membaca dalam negara kita. Bak kata pepatah “membaca jambatan ilmu” yang bermaksud membaca dapat meluaskan pengetahuan.
Pepatah ini amatlah bersesuaian dengan PBAKL 2025 yang akan dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama agensi perbukuan dan persatuan-persatuan industri buku negara, kali ke-42 bermula pada 23 Mei hingga 1 Jun 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Amalan budaya membaca bukan sahaja merupakan jambatan kepada ilmu, malah ia juga mencerminkan tahap tamadun dan kemajuan sesebuah masyarakat. Maka, adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa generasi celik ilmu sebenarnya bermula dengan budaya membaca yang kukuh dan berterusan itu. Oleh yang demikian, budaya ini sangat digalakkan agar terus diamalkan supaya tidak pupus.
Agama Islam juga menuntut umatnya untuk mengamalkan budaya membaca ini kerana dengannya kita memperolehi ilmu yang tidak akan datang dengan sendiri. Untuk mencapainya, manusia perlu membaca, berfikir dan memahami. Generasi celik ilmu hanya dapat dilahirkan melalui pemupukan budaya membaca secara berterusan dan menyeluruh, bermula dari rumah, sekolah hingga ke peringkat masyarakat.
Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajarkan dengan pena, mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-‘Alaq 96:1-5). Ayat ini sudah memberi penjelasan bahawa wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW adalah perintah membaca.
Wahyu yang diturunkan adalah satu perintah yang penting dan wajib kerana membaca adalah berkait rapat dengan ilmu. Kita juga sedia maklum bahawa ilmu ini bersifat mulia. Justeru membaca termasuk dalam amalan yang mulia. Dalam agama Islam juga menuntut umatnya untuk mengamalkan budaya membaca ini kerana dengannya kita memperolehi ilmu yang tidak akan datang dengan sendiri.
Untuk mencapainya, manusia perlu membaca, berfikir dan memahami. Generasi celik ilmu hanya dapat dilahirkan melalui pemupukan budaya membaca secara berterusan dan menyeluruh. Baik ianya bermula dari rumah, sekolah hingga ke peringkat masyarakat.
Namun, membentuk generasi celik ilmu adalah satu tanggungjawab yang sangat besar. Jika kita ingin melihat lahirnya pemimpin masa depan yang amanah, berpengetahuan dan berakhlak mulia, kita mesti bermula menanam budaya membaca dalam diri mereka sejak kecil lagi. Pembacaan yang berterusan dapat membentuk kefahaman mendalam terhadap agama, meningkatkan daya fikir dan menjadikan mereka insan yang seimbang dari segi intelek dan rohani.
Semua pihak harus menggembleng tenaga dan mempunyai peranan masing-masing untuk melahirkan generasi celik ilmu ini. Tidak perlulah untuk mengamalkan sikap berlepas tangan dalam perkara ini.
Pertama, peranan ibu bapa dalam memastikan mereka inilah yang digelarkan sebagai pendidik pertama kepada anak-anak masing-masing. Antara beberapa kaedah untuk memastikan anak-anak kita sentiasa cintakan ilmu ialah dengan mendedahkan kepada mereka kisah-kisah dan sirah Nabi yang senantiasa memberikan nasihat dan hikmah kepada kita semua untuk dijadikan pedoman hidup.
Selain itu, ibu bapa jugalah perlu menunjukkan minat terhadap membaca terlebih dahulu seperti membuat perpustakaan mini atau sudut bacaan buku di rumah. Persekitaran yang baik dan bersesuaian membuatkan minat generasi anak-anak kita terhadap aktiviti membaca lebih menarik perhatian. Apabila para ibu bapa sudah memulakan ikhtiar ini, maka anak-anak sudah tentu menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh yang paling tepat dan baik.
Kedua, peranan para guru-guru di sekolah tidak kira sama ada sekolah di bawah kerajaan, mahupun swasta atau persendirian, dalam memastikan budaya membaca terus berkembang. Jangan terlalu bergantung kepada perpustakaan di sekolah semata-mata, akan tetapi para guru yang perlu menggerakkan beberapa usaha seperti mengadakan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).
Alternatif yang paling mudah, sesiapa yang membaca paling banyak buku, maka dialah yang akan mendapat hadiah atau anugerah daripada sekolah. Hal ini sedikit sebanyak memberikan motivasi yang tinggi kepada anak-anak untuk terus membaca dan menjadikan rakan-rakan mereka sebagai role model mereka selepas para guru.
Ketiga, peranan pihak media dan teknologi juga memainkan peranan yang penting seperti menyediakan buku elektronik (e-book), artikel ilmiah dalam talian dan banyak lagi aplikasi bacaan interaktif. Bahan ini merupakan antara platform baharu yang boleh digunakan untuk menarik minat generasi muda yang lebih dikenali sebagai generasi digital.
Teknologi tidak seharusnya dinilai sebagai penghalang kepada budaya membaca. Sebaliknya, jika dilihat dan diteliti, ianya boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk memupuk minat membaca dan membentuk individu yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan matang dalam dunia yang serba pantas.
Semua usaha untuk memupuk budaya membaca perlu digembleng oleh semua pihak sama ada ibu bapa, guru dan masyarakat agar ia menjadi satu rutin dalam kehidupan. Statistik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menunjukkan sebanyak 102,813 program galakan membaca diadakan di seluruh negara sepanjang tahun 2024 dan ianya masih diteruskan lagi pada tahun 2025 ini. Usaha di bawah Kementerian Perpaduan Negara ini dapat membantu mencapai matlamat Malaysia sebagai negara pembaca menjelang 2030.
Ringkasnya, faedah daripada galakan membaca bukan sahaja dapat memperluaskan pengetahuan, malah mempertingkatkan kosa kata dan membina kemahiran komunikasi yang lebih baik. Budaya membaca perlulah ditanamkan kepada anak-anak seawal usia sekitar sekolah rendah dan ianya memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakannya baik ibu bapa mahupun guru-guru.
Jadikanlah budaya membaca ini sebagai salah satu kunci kejayaan. Sesungguhnya Allah SWT akan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu. Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”
Anggaplah amalan ini lebih daripada sekadar hobi, dan dijadikan ruang untuk memperluaskan pemikiran dan menjana idea-idea segar yang akan memberi manfaat.