Pandemik COVID-19 sedikit sebanyak telah menjejaskan pembelajaran golongan muda. Bagi sebahagian yang lain, kemajuan kerjaya, rancangan perkahwinan dan memiliki anak turut tergendala. Situasi ekonomi pasti mencabar bagi siswa yang mengambil pinjaman pengajian, sementara lulusan baru IPT risau dalam memburu pekerjaan setaraf. Ibu-bapa muda yang menjadi sandaran keluarga dari gaji ke gaji bulan berikutnya berasa perit, terutama jika terganggu dengan hutang.
Satu konsep perundangan yang boleh dimanfaatkan dalam menghadapi cabaran semasa ialah dengan mempertimbangkan “hak-hak generasi masa depan” (the rights of future generations). Bidang falsafah moral menggelarnya, “kewajiban kita terhadap generasi yang akan datang” (obligations to the future generations).
Konsep tersebut boleh diletakkan dalam kerangka Islam dan shari‘ah yang menekankan diri-rohaniah dan kesejahteraan-ukhrawi. Dalam surah al-Nisa’, ayat 9, al-Qur’an menegaskan, “Dan hendaklah mereka (ibu bapa dan penjaga) takut kepada Allah seandainya meninggalkan selepas mereka keturunan yang lemah, yang membimbangkan kesejahteraannya.”
Tiap generasi perlu menggunakan sumber alam dengan bersederhana. Allah melarang daripada pemborosan yang menyebabkan masa depan yang tidak menentu. Al-Qur’an mempertentang para pemboros saudara syaitan dengan “hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang (iaitu)…orang-orang yang apabila berbelanja, mereka tidak boros, dan tidak pula bakhil, dan mengambil jalan pertengahan antara melampau (boros dan bakhil). (al-Furqan, 25:67).
Sumber harta hanyalah amanah dari Tuhan, seperti firman-Nya, “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah untuk kebajikan masyarakat sebahagian dari harta benda yang Dia telah menjadikan kamu menguasainya sebagai wakil, pemegang amanah” (al-Hadid, 57:7).
Dunia antarabangsa mula rancak membahaskan konsep kewajiban kepada generasi depan dari tahun 1960’an; dan pada 12 November 1997 UNESCO telah memaktubkannya melalui “Perisytiharan Tanggungjawab Generasi Sekarang terhadap Generasi Depan”.
Perjanjian Antarabangsa tersebut menekankan kewajiban untuk mewariskan kesejahteraan menyeluruh kepada generasi mendatang, termasuk dari segi keperluan asas, kebebasan politik, kekeluargaan, alam sekitar, biodiversiti, kebudayaan, keamanan, pembangunan, pendidikan, dan kesaksamaan.
Dunia mula memahami kesejahteraan (well-being) lebih daripada isu produktiviti nasional dan peluang pekerjaan, tetapi turut merangkum kesihatan, hubungan sesama manusia, pendidikan, kemahiran, perumahan, kewangan dan kualiti persekitaran.
Perspektif baru “kewajiban kita untuk memenuhi hak-hak generasi yang akan datang” berupaya menjadi wahana, sarana, instrumen, model dan rangka penyelidikan yang boleh dilaksanakan untuk mewujudkan keadaan yang lebih baik, bahkan masa depan yang lebih cemerlang. Dasar dan polisi negara perlu mengambil berat terhadap kesan sesuatu rancangan dan projek baru terhadap generasi akan datang.
Di negara Wales, konsep tersebut telah dikanunkan dalam Akta Kesejahteraan Generasi Depan (Well-being of Future Generations (Wales) Act 2015) dan pelantikan Pesuruhjaya Generasi Masa Depan yang memiliki kuasa perundangan bebas daripada Kabinet. Suruhanjaya tersebut mengusahakan dasar-dasar baru dengan lunas pembangunan lestari untuk tindakan kerajaan secara menyeluruh (whole of government). Ini termasuklah dokumen Manifesto for the Future yang digubal dalam tahun 2020.
Hungary turut memperkenalkan Suruhanjaya Generasi Depan dalam tahun 2008; sementara Finland telah menubuhkan Panitia Parlimen untuk Masa Depan dalam tahun 1990’an, yang mengenalpasti isu-isu yang rumit pada peringkat awal perencanaan dasar-dasar kerajaan yang berimpak pada hari muka.
Bidang ini menekankan pertamanya, taburan kekayaan yang adil antara generasi. Seperti penegasan al-Qur’an: “janganlah harta itu hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu” (al-Hashr, 59:7). Golongan fakir, miskin dan yang menderita kekurangan ada hak dalam kitaran ekonomi negara, agar martabatnya diangkat ke tahap keadilan.
Sebab itu banyak ayat al-Qur’an yang mengecam ekonomi yang tidak seimbang, kerana ketaksamaan ekonomi amat sukar dibasmi di tengah-tengah perpecahan masyarakat. Kekuatan ekonomi turut bergantung kepada upah dan gaji yang saksama, sementara wajib terdapat galakan keusahawanan dan pembasmian “pendapatan tanpa berusaha” (unearned income atau rent-seeking).
Para pengkaji hari ini turut mengenalpasti beberapa perubahan penting dalam cara hidup semasa untuk menjamin keadilan dan kelestarian generasi depan.
Komitmen terhadap pengurangan pelepasan karbon (carbon emission) perlu diterjemahkan kepada membangunkan tenaga boleh diperbaharui yang mampu dijana daripada sumber alami. Negara dan rakyat perlu berpindah kepada teknologi baru seperti panel suria dan pengangkutan lestari.
Pembaharuan kepada sistem makanan yang mampan (sustainable food systems)—sama ada dari segi perkembangan amalan pertanian, pengagihan makanan, diet dan pengurusan sisa makanan—turut mendapat perhatian.
Lebih jauh lagi, perlu ada perubahan dasar pembangunan ke arah pertumbuhan ekonomi dalam batasan persekitaran tamadun yang mesra-alam. Sebab itu wacana semasa sarat dengan istilah peradaban ekologikal (ecological civilization), ekonomi hijau (green economy), pekerjaan kolar hijau, perniagaan mampan dan yang seumpamanya.
Insan perlu insaf menggunakan sumber alam secara berhemat dan tidak sewenangnya melakukan perubahan—meskipun atas nama kemajuan sains dan teknologi—yang membahayakan ekosistem. Sebaliknya, mutu udara dan air perlu dipertingkat; dan air hujan ialah rahmat yang perlu dikumpul dan dimanfaatkan sepenuhnya. Bahan untuk pembinaan bangunan harus dari sumber yang boleh diperbaharui atau dikitar semula; dan polisi bangunan yang neutral karbon atau rendah kadar pelepasan karbon perlu dikuatkuasakan.
Pengurusan sisa dan sampah wajib dirancang dalam konteks menyokong kitar-semula sambil mengurangkan sisa pepejal domestik di tapak pelupusan. Membebaskan diri dari sisa dan sampah adalah selaras dengan amaran Allah, “Dan janganlah kamu menghamburkan sumber kebendaanmu secara boros. Sungguh para pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya (al-Isra’, 17:26-27).