Mutakhir ini persoalan ‘kebahagiaan’ atau ‘kesejahteraan’ semakin hangat dibahaskan oleh golongan cerdik pandai dan penggubal dasar di dunia Barat.
Profesor Richard Layard dari London School of Economics (LSE) ada menyebut dalam bukunya Happiness: Lessons from a New Science, “Terdapat suatu percanggahan (paradox) dalam kehidupan kita (hari ini). Kebanyakan orang mahukan pendapatan yang lebih tinggi dan berusaha untuk mendapatkannya. Namun apabila masyarakat Barat semakin kaya, orang-orangnya tidak menjadi lebih bahagia.”
Jauh lama sebelum Richard Layard, E.F. Schumacher, seorang ahli ekonomi, telah pun memberi amaran kepada masyarakat Barat sejak tahun 1970an kepada persoalan ini. Ternyata, ketika ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tahap kesengsaraan dari sudut kemurungan, kebimbangan, serangan panik, dan tekanan telah meningkat secara mendadak—bahkan sebelum wabak COVID19 bermula.
Kita harus sedar bahawa dalam sejarah hadarah atau peradaban Barat, pada suatu ketika, mereka tidak memisahkan soal ‘kebahagiaan’ dengan kehidupan amali mereka. Ahli falsafah agung Barat seperti Plato dan Aristotle 2500 tahun dahulu, serta kemudiannya Adam Smith bapa ekonomi Barat juga tidak menyingkirkan soal kebahagiaan daripada kehidupan ekonomi dan politik.
Walau bagaimanapun, cerdik pandai Barat hari ini tidak dapat memberi takrifan serta huraian yang jelas tentang kebahagiaan oleh sebab proses pensekularan yang telah mengaburi hakikat maknawinya dari perspektif selain hadarah Barat.
Sekiranya di teliti penggunaan istilah ‘kebahagiaan’ atau ‘kesejahteraan’ dalam wacana semasa, sering didapati ada kalanya ia difahami sebagai “nasib yang baik dan kemakmuran”; ada yang memahaminya sebagai “keadaan emosi yang bercirikan perasaan gembira dan kepuasan”; dan ada juga yang menggambarkannya sebagai: “suasana senang dan aman, aman damai serta gembira”.
Dalam Pandangan Alam Islam, terdapat beberapa faham atau istilah kunci yang telah membentuk corak kehidupan kaum Muslimin pada zaman silam.
Khususnya faham kebahagiaan atau kesejahteraan seperti yang difahami oleh alim ulama muktabar dalam sejarah dan pandangan alam Islam terangkum dalam makna istilah ‘sa’adah’.
Kaum Muslimin mempunyai takrifan dan pengertian yang jelas tentang kebahagiaan yang berdasarkan kerangka atau pandangan alam Islam seperti yang difahami oleh leluhur Islam dan akhirnya junjungan besar kita Baginda Nabi SAW.
Perkara ini dijelaskan secara tuntas oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam penulisannya Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam, di mana beliau menyebut bahawa kesejahteraan merujuk kepada “keyakinan diri terhadap kebenaran terakhir, yakni al-Hak, dan penunaian amalan yang dikerjakan oleh diri itu berdasarkan keyakinan itu.”
Beliau juga menjelaskan bahawa makna kesejahteraan sebenar merujuk kepada keamanan dan kedamaian dan ketenteraman kalbu akibat terhapusnya syak dan dugaan perihal kebenaran yang ditanzilkan Tuhan melalui datangnya hidayah atau apa yang disebut sebagai keadaan beriman dan keadaan yang disebut adil.
Inilah kebahagiaan yang dikenali serta dialami dan disedari dalam diri mereka yang benar-benar pasrah pada Allah SWT dan mentaati hidayah Nya.
Merujuk tafsiran ulama silam seperti al-Ghazali juga, Prof. Al-Attas menjelaskan terdapat dua peringkat kesejahteraan yang boleh dicerap: Peringkat pertama merujuk kepada perasaan dan emosi yang dialami apabila diri itu mencapai segala keperluan—peringkat nafsi, yang bermula dan berakhir dari saat ke saat (perasaan dan cita rasa), dan ia dapat dicapai dengan tercapainya segala yang diperlukan dan diingini menurut perilaku yang baik berasaskan kepada sifat-sifat mahmudah.
Peringkat kedua ialah peringkat rohani yang kekal, yang dialami secara sedar, yang menjadi landasan hidup di dunia ini. Maka kebahagiaan rohaniah bererti ketenteraman kalbu, akal yang digunakan utk mencapai keluhuran pemikiran demi ketenangan nafsu yg akhirnya akan mendorong kesejahteraan badan jasmani. Peringkat kedua ini, apabila dicapai, berlaku bersamaan dengan peringkat pertama, hanya segala yang diingini (wants) kian berkurangan dan segala yang diperlukan (needs) sudah mencukupi.
Dari segi penzahirannya pula, kefahaman terhadap erti kebahagiaan dalam Islam akan menatijahkan suatu corak kehidupan yang lebih beradab dan adil, yakni adab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar.
Jika diri ditadbir dengan baik kerana memahami hakikat kesejahteraan itu bergantung kepadanya, ia akan menghasilkan perlakuan yang berakhlak berasaskan pada pengenalannya akan sifat-sifat mazmumah (vices) dan mahmudah (fadilah atau virtues).
Oleh itu jika kita menelusuri pengalaman kehidupan sejarah dalam tamadun Islam, jelas membuktikan dan menunjukkan bahawa ia mesra-insan atau bersetujuan dengan fitrah insan, mencerminkan sifat-sifat mahmudah, serta bersetujuan dengan erti kebahagiaan yang ingin dicapai dalam pandangan alam Islam.
Berikut ialah beberapa contoh corak kehidupan pada era Dawlah atau Empayar Uthmaniyah (Turki) yang secocok dengan faham kesejahteraan dalam pandangan alam Islam.
Pada awal tahun 1800-an, menurut satu anggaran kasar, lebih daripada separuh harta tanah di Empayar Uthmaniyah dikelaskan sebagai wakaf. Menurut catatan sejarah, sumbangan wakaf terdiri daripada 75 peratus tanah subur di wilayah Turki hari ini. Pada akhir abad kelapan belas, dianggarkan 20,000 wakaf di Kerajaan Uthmaniyah mempunyai jumlah pendapatan tahunan sama dengan satu pertiga daripada pendapatan tahunan sesebuah kerajaan.
Terdapat budaya keprihatinan yang luar biasa dalam kehidupan rakyat Empayar Uthmaniyah. Salah satu daripada amalan prihatin yang terkenal ialah wujudnya dapur awam (public kitchen), yang dikenali sebagai ‘imaret, aqhane, atau darü’z-ziyafe, yang memberikan makanan secara percuma kepada kumpulan tertentu dan kepada individu yang bernasib baik. Dapur awam ini dibina di seluruh wilayah Kerajaan Uthmaniyah, dari abad keempat belas hingga kesembilan belas. Untuk bacaan lanjut, lihat makalah Amy Singer bertajuk Serving Up Charity: The Ottoman Public Kitchen.
Terdapat juga amalan bantuan dan gotong-royong yang meluas di kalangan rakyat Empayar Uthmaniyah berdasarkan rekod sejarah seperti bantuan untuk individu yang tidak dapat bekerja kerana sakit, bantuan mendirikan perniagaan untuk yang memerlukan, bantuan keluarga yang kehilangan rumah kerana bencana, dan sebagainya.
Dari sudut sektor kesihatan, terdapat banyak pusat kesihatan dipanggil darüşşifa yang mengambil pendekatan holistik terhadap kesihatan dan penyembuhan: para tabib dan pelbagai pakar perubatan disediakan; pemuzik dan kakitangan lain pula berusaha untuk menyumbang kepada kesembuhan jiwa pesakit. Malah reka bentuk bangunan dan taman darüşşifa ini juga diambil perhatian untuk mewujudkan ekologi atau suasana yang menenangkan. Untuk bacaan lanjut lihat buku Miri Shefer-Mossensohn bertajuk Ottoman Medicine: Healing and Medical Institutions, 1500–1700.
Dari sudut kesenian sebagai contoh, zaman Uthmaniyah telah menghasilkan keindahan dalam pelbagai bentuk yang membawa ketenangan dalam kehidupan. Guru-guru seni merupakan di kalangan alim ulama atau guru tasawuf yang menjadikannya sebahagian daripada amalan pendidikan mereka untuk melahirkan insan-insan yang beradab. Bagi mereka, seni ini membina sifat-sifat terpuji seperti kesabaran, disiplin, serta dianggap antara amalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Oleh itu sekiranya kaum Muslimin berupaya untuk memahami faham bahagia atau sejahtera secara menyeluruh dalam kerangka pandangan alam Islam dan berusaha untuk memastikan bidang profesional masing-masing disesuaikan supaya secocok dengan faham dan kerangka ini, saya yakin kita akan berupaya untuk menzahirkan suatu sistem dan corak kehidupan yang menyumbang kepada matlamat yang didambakan masyarakat dunia hari ini: kesejahteraan rakyat dan alam sekitar yang menenangkan.