Baru-baru ini, ketika menghantar anak lelaki sulung saya ke asrama penuh di Utara tanah air untuk pendaftaran ke Tingkatan 2, saya berkesempatan juga berjumpa dengan beberapa ibu bapa yang akan mendaftarkan anak mereka ke Tingkatan 1 keesokkan harinya. Sudah pastilah antara topik yang dibincangkan ialah perbahasan tentang sama ada wajar atau tidak menghantar anak ke asrama seawal usia 13 tahun. Persoalan ini yang sering berlegar antara dua kutub iaitu sama ada terlalu awal atau inilah waktu terbaik. Hakikatnya, persoalan ini tidak pernah bersifat hitam atau putih. Ia menuntut kebijaksanaan dalam menilai kesediaan anak, keadaan keluarga, dan matlamat tarbiyah jangka panjang. Dari kaca mata yang bukan sahaja sebagai ahli akademik tetapi sebagai seorang bapa, saya melihat isu ini bukan sekadar keputusan pendidikan, tetapi amanah tarbiyah yang berterusan.
Usia Muda dalam Tradisi Islam: Peluang Tarbiyah, Bukan Risiko
Sejarah Islam sarat dengan contoh anak-anak muda yang diasuh dengan amanah besar sejak usia remaja. Abdullah ibn Abbas RA, Imam al-Shafi’i, Imam al-Bukhari, Ali bin Abi Talib RA dan Anas bin Malik RA bukan sahaja meninggalkan rumah pada usia muda, tetapi meninggalkan zon selesa demi tarbiyah yang lebih tinggi nilainya. Yang membezakan mereka ialah bukan sahaja jarak fizikal daripada keluarga, tetapi kekuatan bimbingan rohani, pemantauan murabbi dan doa yang berterusan. Tradisi ini mengajar kita bahawa usia muda bukan penghalang pembentukan jati diri. Bahkan, pada masa tertentu, keberanian ibu bapa untuk ‘melepaskan anak dengan panduan’ menjadi pintu kepada kematangan jiwa anak. Dari sudut fiqh, menghantar anak ke asrama adalah harus dan dibenarkan syarak. Namun, keharusan itu tidak pernah bermaksud pelepasan tanggungjawab secara menyeluruh. Anak-anak masih kekal sebagai amanah utama ibu bapa. Jarak fizikal tidak menggugurkan tanggungjawab tarbiyah, malah menuntut pendekatan yang lebih sedar, terancang dan konsisten.
Keibubapaan dalam konteks ini menuntut keseimbangan antara kepercayaan kepada institusi dan keterlibatan berterusan ibu bapa dalam perkembangan emosi, rohani dan akhlak anak.
Perspektif Psikologi Moden: Kemandirian Perlu Disokong
Kajian psikologi perkembangan menunjukkan bahawa usia remaja di antara 12 hingga 14 tahun merupakan fasa pembinaan identiti dan latihan berdikari. Namun, kemandirian yang sihat tidak lahir daripada pemisahan semata-mata, tetapi daripada sokongan emosi yang berterusan. Anak yang berjaya menyesuaikan diri di asrama ialah anak yang tahu dirinya tidak ditinggalkan, sebaliknya dipercayai.
Hubungan hati, komunikasi yang konsisten dan kehadiran ibu bapa serta doa, walaupun dari jauh, menjadi faktor utama kestabilan emosi dan daya tahan anak. Sebagai seorang bapa yang menghantar anak ke asrama, saya memahami kegusaran yang hadir bersama keputusan ini. Melepaskan anak bukan tanda kurangnya kasih sayang, tetapi latihan untuk mempercayai tarbiyah yang telah disemai sejak kecil. Saya belajar bahawa setiap doa menjadi lebih panjang, komunikasi menjadi lebih bermakna, dan setiap pertemuan menjadi ruang tarbiyah yang lebih bermakna. Dalam sistem pendidikan UK pula, anak-anak keluarga diraja dan aristokrat juga dihantar ke asrama sebagai persediaan kepimpinan. Mereka dilatih hidup berdisiplin, berdikari dan bertanggungjawab sejak usia muda. Ini menunjukkan bahawa golongan yang bakal memimpin tidak dibesarkan dengan kemanjaan, tetapi ditempa dengan ketahanan jiwa. Maka, menghantar anak ke asrama, dengan nilai dan pemantauan yang betul bukanlah satu bentuk pengabaian, tetapi satu bentuk persediaan amanah masa depan
Hormati Kepelbagaian Keputusan
Asrama tidak pernah menggantikan rumah. Ia hanyalah medan latihan. Rumah tetap madrasah kasih sayang, nilai dan tempat anak kembali mengukuhkan identiti dirinya.
Walau bagaimanapun, tidak semua anak sesuai dihantar ke asrama pada usia yang sama. Ada yang matang lebih awal dan ada yang memerlukan kehadiran keluarga lebih lama. Kebijaksanaan ibu bapa terletak pada keupayaan membaca keperluan anak, bukan meniru keputusan orang lain. Ini bukan perlumbaan siapa paling cepat ‘melepaskan’, tetapi siapakah paling bertanggungjawab membimbing. Kesimpulannya, umur dan jarak bukanlah penghalang tarbiyah. Yang menjadi penghalang ialah kelalaian, putus doa dan sikap melepaskan tanpa panduan. Selagi ibu bapa kekal sebagai pelita yang menyala, walaupun dari jauh, insya-Allah tarbiyah akan terus hidup dalam jiwa anak.
Membesarkan anak bukan sekadar menghantar mereka ke tempat yang baik, tetapi memastikan kita sendiri kekal hadir dalam hidup mereka dengan cinta, doa dan kebijaksanaan.

