Media berperanan besar dalam masyarakat untuk membina dan membentuk pemikiran dan akal budi. Di awal kewujudan akhbar, akhbar digelar sebagai “Kuasa Keempat” atau “Fourth Estate”, istilah yang katanya diperkenalkan oleh ahli politik Britain Edmund Burke. Ada juga yang menisbahkan ungkapan tersebut kepada Lord Brougham dan Willian Hazlitt. Apa yang dimaksudkan dengan “fourth estate” tersebut ialah akhbar mempunyai kuasa yang tersendiri selain daripada kuasa yang tiga iaitu: kehakiman, eksekutif dan legislatif. Akhbar boleh berperanan bukan sekadar sebagai media yang hanya menyalurkan berita dan maklumat, tetapi juga boleh mempengaruhi masyarakat dan seterusnya membentuk pemikiran masyarakat hingga membawa kepada sokongan atau penentangan masyarakat terhadap sesuatu perkara. Menyedari hakikat peranan besar yang dimiliki oleh media, ahli-ahli politik dan jutawan berlumba-lumba membuka akhbar, tv, radio dan media lain agar pemikiran mereka dapat disalurkan kepada masyarakat dan dipengaruhi. Media juga berperanan sebagai sumber hiburan dan mencari keseronokan.
Namun ada satu lagi peranan media yang paling utama iaitu membentuk peribadi, akhlak dan jati diri bangsa yang tidak begitu ditonjolkan dalam dunia yang penuh dengan keseronokan dan berfalsafahkan hedonisme ini. Di sinilah dikatakan media berperanan sebagai sumber mendidik. Hari ini istilah “edutainment” atau “infotainment” semakin kerap digunakan merujuk kepada kombinasi antara education (pendidikan) dan entertainment (hiburan) atau information (maklumat) dan hiburan. Hiburan sekali lagi, nampaknya tidak dapat tidak, tidak boleh dipisahkan samada untuk mendapatkan ilmu mahupun maklumat.
Media, samada media cetak mahupun media elektronik untuk terus hidup dan mampu bersaing di pasaran, perlu mampu menarik pelanggan untuk membeli atau melanggannya. Jika tiada yang mahu membeli akhbar, majalah atau menonton stesen tv atau mendengar stesen radio mereka, maka media tersebut akan “bungkus” lama-kelamaan. Mahu tidak mahu, media perlu melihat apakan minat dan keinginan masyarakat kerana dengan cara itu pemilik media tersebut dapat terus berniaga dan memberi pulangan perniagaan yang mampu menampung kos operasi. Minat dan kecenderungan masyarakat pula sudah pasti akan sentiasa berubah bergantung kepada zaman. Di akhir zaman seperti hari ini di mana masyarakat semakin rosak, minat dan kesukaan masyarakat juga sudah pasti sukakan perkara-perkara yang merosakkan. Oleh kerana itu, kajian menunjukkan video-video pornografi misalnya dilapurkan ditonton oleh berbillion orang untuk tahun 2016. Dalam satu laporan dikatakan 92 billion video-video lucah ditonton untuk tahun 2016 sahaja, dengan laman lucah tersebut sahaja dikunjungi seramai 64 juta sehari, iaitu 44,000 setiap minit atau 729 orang setiap saat!
Media yang mementingkan kesukaan masyarakat tanpa mengambil kira aspek moral, dan pendidikan udah pasti akan membekalkan apa sahaja yang boleh menarik pelanggan mereka bersama mereka dan sekaligus memberi pulangan yang besar dari segi kewangan. Pertimbangan media kebiasaannya hanya tiga perkara pokok, iaitu pertama dari segi kedudukan mereka berbanding dengan media-media pesaing lain yang sama jenis. Samada media cetak atau media elektronik, termasuk juga media baharu hari ini berlumba-lumba untuk menjadi media nombor 1, bagi kategori mereka, dan untuk itu mereka akan berbuat apa sahaja untuk menjadikan mereka terbaik hingga sanggup mengorbankan prinsip moral dan pendidikan. Pertimbangan kedua ialah dari segi jumlah penonton, pendengar, pelanggan, edaran dan seumpamanya. Hal ini juga penting kerana ini juga melambangkan sejauh mana masyarakat menerima mereka dan di sini juga mereka mahu menjadi media yang mempunyai bilangan yang paling ramai. Ketiga, sudah pastilah pendapatan yang dijana melalui iklan dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Iklan hanya akan masuk sekiranya mereka mempunyai satu dan dua yang disebut sebelum ini. Inilah tiga pertimbangan yang sering dibuat oleh mana-mana media, khususnya media yang bersifat komersil. Oleh kerana itulah kita melihat bagaimana sesetengah media mengambil pendekatan membawakan isu-isu yang boleh disensasikan, isu seperti seks, hiburan, gosip artis, misteri, tahyul, mistik, kerana mereka tahu isu-isu ini digemari oleh kebanyakan ahli masyarakat.
Penggiat media sewajarnya menginsafi bahawa mereka mempunyai senjata yang paling ampuh dama membentuk masyarakat. Ungkapan “mata pena lebih tajam daripada mata pedang” sebenarnya amat tepat untuk ditujukan kepada pengamal media. Media mampu membentu masyakarat menjadi masyakarat yang memiliki keluharan budi pekerti mulia, atau menjahanmkan masyarakat menjadi masyarakat yang gilakan hiburan dan candu keseronokan yang selari dengan citarasa nafsu mereka. Pendekatan mendidik masyarakat, jika dipilih oleh pengamal media bukanlah pendekatan yang popular bahkan menentang arus masyarakat yang sentiasa dambakan hiburan semata, namun dengan pendekatan yang kreatif, mereka masih mampu mendidik masyarkat tetapi dalam masa yang sama turut memasukkan unsur-unsur hiburan dalam mendidik itu. Pahala yang amat besar di sisi Allah SWT sekiranya melalui media yang kita miliki itu ianya menimbulkan keinsafan dan membawa seseorang itu kembali ke pangkal jalan dan mengikut ajaran Islam yang sebenar. Manakala dosanya pula kepada mereka yang menganjurkan sebaliknya sepertimana mafhum hadith Baginda SAW:
“Barangsiapa yang mengerjakan dalam Islam Sunnah yang baik maka ia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala orang yang mengikutinya sedikitpun. Dan barangsiapa yang mengerjakan dalam Islam Sunnah yang jelek maka ia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa orang yang mengikuti mereka sedikitpun.” (HR. Muslim no. 1017)
Satu perkara yang kerap kita temui hari ini juga ialah keghairan media menyiarkan berita-berita sumbang mahram dan hukuman terhadap para pelakunya. Mengikut pakar psikologi Islam yang terkenal, Professor Dr. Malik Badri, juga penulis buku “The Dilemma of Muslim Psychologists” kajian di Barat menunjukkan semakin dilaporkan kes-kes sumbang mahram semakin menjadi-jadi ia berlaku. Menurut beliau ini kerana berita-berita sebegitu menjadi pendorong kepada mereka yang belum melakukannya lagi untuk melakukannya kerana orang lain juga telah lakukan dan ianya tidaklah seteruk mana dan “aku bukanlah orang yang pertama”. Kerana itu jugalah Islam mengharamkan berbicara tentang maksiat tanpa sebab yang keperluan yang kuat kerana ia akan memberi ilham dan mencetuskan minat kepada orang lain untuk melakukan sama. Kaedah menyebut “berbicara tentang maksiat itu merupakan maksiat”. Dalam falsafah juga ada disebut tentang Kuasa Tarikan atau “Law of Attraction”, iaitu perkara negatif akan menarif negatif juga. Justeru penulis menyarankan agar pihak media lebih peka dan sensitif untuk tidak lagi mendedahkan kisah-kisah mahkamah berhubung sumbang mahram.